12 Jul 2026

Dilema Orang Asli “Diperdaya” Masuk Islam

Sejak sekian lama, masyarakat umum di Malaysia didedahkan kepada pelbagai laporan mengenai usaha dak*ah dan pengislaman Orang Asli. Apa yang kurang diketahui oleh masyarakat Bukan Islam adalah hakikat bahawa sebahagian kes pengislaman itu didakwa berlaku tanpa kerelaan sebenar, tanpa kefahaman yang mencukupi, melalui paksaan halus, pujukan berbentuk kebendaan, manipulasi dokumen, atau tekanan institusi.

Lebih membimbangkan, terdapat Orang Asli yang hanya menyedari status agama mereka selepas nama mereka didaftarkan sebagai “muslim” atau “islam” dalam dokumen rasmi kerajaan. Topik ini turut menjadi perbualan bersama beberapa mualaf yang menghubungi saya untuk berkongsi pengalaman masuk islam (mualaf) dan kemudian menghadapi masalah untuk keluar islam (murtad).

Pada Mei 2026, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa kes melibatkan 137 Orang Asli etnik Bateq Mayah di Pahang perlu dibicarakan secara penuh di Mahkamah Tinggi. Untuk makluman, mereka memohon pengisytiharan bahawa mereka sebenarnya tidak pernah memeluk islam sejak awal.

Menurut laporan media seperti Kosmo! dan Free Malaysia Today, mahkamah mendapati terdapat pertikaian fakta yang serius dan tidak boleh diputuskan secara ringkas melalui afidavit semata-mata. Kes ini menjadi penting kerana ia membabitkan dakwaan pengislaman beramai-ramai yang berlaku sekitar tiga dekad lalu serta persoalan sama ada individu-individu terbabit pernah memberikan persetujuan yang sah untuk masuk islam.

Kes 137 Orang Asli Bateq Mayah bukanlah kes terpencil. Pada tahun 2010, portal berita The Nut Graph menyiarkan laporan panjang bertajuk “Orang Asli Converted Against Will” yang mengandungi pelbagai testimoni mengejutkan.

Seorang lelaki Orang Asli bernama Angeh menceritakan bagaimana ketika berusia sekitar 18 tahun, dia menyangka beberapa pegawai kerajaan sedang membantunya menguruskan kad pengenalan yang hilang. Angeh diminta membaca beberapa ayat yang tidak difahaminya. Hanya kemudian dia mengetahui bahawa lafaz yang dibacanya adalah syahadah dan dia segera direkodkan sebagai seorang muslim!

Angeh menegaskan: “Saya tidak pernah minta masuk islam. Saya tidak ada niat langsung.” Pengakuan itu menggambarkan masalah paling asas dalam soal kebebasan beragama iaitu perlunya kewujudan persetujuan yang benar-benar dimaklumkan. Jika seseorang tidak memahami apa yang sedang berlaku, bagaimana mungkin persetujuannya dianggap sah?

Laporan sama turut memuatkan pengakuan seorang kakitangan Orang Asli di Hospital Orang Asli Gombak yang mendakwa dia dibawa menghadiri satu majlis jamuan tanpa dimaklumkan tujuan sebenar. Setibanya di lokasi, dia dan beberapa individu lain dibawa ke surau dan diminta melafazkan syahadah.

Apabila dia menyatakan bahawa dia tidak mahu memeluk islam dan keluarganya tidak mengetahui perkara itu, dia mendakwa didesak supaya terus melafazkan sahaja. Dia akhirnya menurut kerana berasa tertekan dan terperangkap dalam situasi tersebut.

Lelaki itu kemudian pulang ke rumah dan isterinya marah serta terkejut apabila diberitahu apa yang berlaku. Katanya lagi, dia tidak pernah mempunyai niat untuk memeluk islam.

Kata-kata yang dilaporkan The Nut Graph sangat menyentuh perasaan dan minda: “Niat kita, hati kita, tetap tak ada nak masuk Islam.” Namun, walaupun hati dan kepercayaannya tidak berubah, status rasmi yang direkodkan oleh pihak berkuasa menjadi sesuatu yang sukar dipadamkan.

Dalam laporan yang sama, terdapat dakwaan bahawa insentif kewangan digunakan sebagai galakan untuk memujuk orang masuk islam. Angeh mendakwa dia dijanjikan bantuan wang serta peluang pekerjaan sekiranya memeluk islam.

Dakwaan seperti ini menimbulkan persoalan moral yang besar. Jika seseorang yang hidup dalam kemiskinan ditawarkan bantuan material dengan syarat memeluk agama tertentu, adakah itu benar-benar pilihan bebas?

Isu ini turut mendapat perhatian antarabangsa. Dalam Laporan Kebebasan Beragama Antarabangsa 2023 yang diterbitkan oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat, kes melibatkan 137 Orang Asli Bateq Mayah disebut lagi sebagai antara contoh pertikaian mengenai status agama dan hak kebebasan beragama di Malaysia. Laporan itu menunjukkan bahawa isu itu bukan lagi sekadar perdebatan tempatan tetapi telah menjadi perhatian pemerhati hak asasi manusia di peringkat global.

Pada Jun 2019, satu lagi kontroversi tercetus apabila Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) secara terbuka menyatakan sasaran untuk mengislamkan semua Orang Asli di negeri itu dalam tempoh tiga puluh tahun. Menurut laporan Free Malaysia Today, pihak berkenaan memiliki rangkaian lebih seratus pendakwah dan bekerjasama dengan institusi pengajian tinggi bagi melaksanakan agenda tersebut. Kenyataan itu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan aktivis hak Orang Asli kerana ia memperlihatkan komuniti Orang Asli sebagai sasaran projek dak*ah berskala besar.

Aktivis hak Orang Asli dan peguam Siti Kasim ketika itu mendedahkan bahawa beliau pernah didatangi sekumpulan Orang Asli Bateq yang mahu kembali mengamalkan kepercayaan asal mereka selepas didakwa dipaksa atau dipengaruhi untuk memeluk islam.

Dakwaan itu menjadi lebih sensitif ketika berlakunya tragedi kematian Orang Asli Bateq di Kuala Koh, Kelantan. Menurut maklumat yang diterima oleh Siti Kasim, terdapat kebimbangan dalam kalangan penduduk bahawa kematian ahli keluarga mereka akan menyebabkan pengebumian dilakukan mengikut adat islam walaupun mereka tidak pernah mengamalkan agama tersebut.

Pada Julai 2019 pula, sekumpulan 35 Orang Asli Temiar dari Gerik menyerahkan memorandum kepada kerajaan. Menurut laporan Malay Mail, mereka mendakwa ramai dalam komuniti mereka mendapati status agama dalam kad pengenalan telah ditukar kepada “islam” walaupun mereka tidak pernah memeluk agama itu.

Jurucakap mereka, Anjang Aluej, menegaskan bahawa perubahan sedemikian merupakan pencabulan hak kerana ia dilakukan tanpa persetujuan dan pengetahuan individu terbabit.

Memorandum itu turut menyentuh isu kanak-kanak Orang Asli yang diajar agama islam di sekolah dan dipaksa berpuasa walaupun ibu bapa mereka tidak bersetuju. Jika dakwaan ini benar, maka persoalannya bukan lagi tentang kebebasan memilih agama, tetapi mengenai hak ibu bapa menentukan pendidikan agama anak-anak mereka.

Apa yang lebih menyedihkan ialah kesan jangka panjang yang ditanggung oleh mereka yang direkodkan sebagai “muslim” atau “islam” tanpa kerelaan. Dalam konteks undang-undang Malaysia, status islam bukan sekadar label agama. Ia mempengaruhi perkahwinan, pengebumian, pewarisan, penjagaan anak, dan pelbagai aspek kehidupan. Topik ini sudah dihuraikan di blog ini sebelum ini.

Individu yang mahu keluar daripada islam pula sering berhadapan proses yang panjang, mahal, dan memeritkan. Bagi Orang Asli yang tinggal jauh di pedalaman serta berdepan kekangan pendidikan dan ekonomi, perjuangan itu menjadi jauh lebih sukar.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Juli Edo dan beberapa individu lain secara terbuka mengingatkan bahawa Orang Asli tidak boleh diperdaya atau dipergunakan untuk tujuan pengislaman. Mereka menegaskan bahawa Perlembagaan Persekutuan menjamin kebebasan memilih agama dan budaya Orang Asli perlu dihormati.

Malangnya, suara seperti itu sering tenggelam di tengah-tengah semangat sesetengah pihak yang melihat Orang Asli sebagai sasaran dak*ah yang mesti “dimenangi”. Dalam proses tersebut, hakikat bahawa Orang Asli memiliki sejarah, budaya, identiti, dan kepercayaan sendiri seolah-olah hilang daripada pertimbangan puak pendak*ah.

Masyarakat Bukan Islam perlu memahami bahawa isu ini bukan soal membenci mana-mana agama. Isunya adalah soal hak asasi manusia. Jika seseorang memilih untuk memeluk islam secara sukarela, selepas memahami sepenuhnya ajaran dan implikasinya, maka itu hak individu tersebut.

Namun, apabila pengislaman berlaku melalui helah, manipulasi, tekanan, imbuhan kewangan, penyalahgunaan kedudukan, atau pendaftaran tanpa pengetahuan, maka apa yang sedang dicabuli bukan sahaja kebebasan beragama tetapi juga maruah manusia.

Kisah-kisah yang didedahkan oleh Orang Asli sendiri selama bertahun-tahun menunjukkan bahawa perjuangan mereka bukan sekadar mempertahankan tanah adat dan budaya warisan nenek moyang. Mereka juga sedang mempertahankan hak paling asas yang sering dianggap remeh oleh masyarakat majoriti, iaitu hak untuk menentukan kepercayaan sendiri tanpa paksaan, tanpa ugutan, dan tanpa penipuan.

Bacalah juga catatan berkaitan bertajuk “Dilema Mualaf: Terlajak Perahu Boleh Diundur” dan “Biar Kisah Saya Jadi Pengajaran – Vijay” serta “Proses Keluar Islam di Malaysia”.

Bacaan seterusnya: Susahnya Murtad! Contoh Laporan Media

[Tulisan ini bertujuan mendidik umat Bukan Islam. © Uthaya Sankar SB. Harap maklum bahawa anda meneliti sebarang paparan di mana-mana blog dan media sosial kendalian Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]