14 Jul 2026

Mengenal 22 Kepercayaan Lokal di Indonesia – Bahagian Satu



Bayangkan anda memulakan perjalanan dari hujung barat Indonesia, lalu bergerak perlahan-lahan ke timur. Bayangan ini muncul dalam minda sewaktu saya melihat satu paparan Wikimedia Indonesia pada 13 Julai 2026 sempena Hari Kepercayaan Kepada Tuhan Yang Maha Esa.

Saya membayangkan, anda tidak mencari pusat beli-belah, bangunan pencakar langit, atau lokasi percutian yang sedang tular di media sosial. Sebaliknya, anda singgah di kampung-kampung yang masih memelihara cerita lama.

Anda duduk di beranda rumah kayu sambil mendengar kisah yang tidak pernah tercatat dalam buku teks sekolah. Anda menyaksikan bagaimana sebatang pokok dihormati bukan kerana usianya semata-mata tetapi kerana ia menjadi saksi perjalanan beberapa generasi. Anda melihat sungai bukan sekadar saliran air, sebaliknya nadi kehidupan yang mempunyai roh dan ingatan.

Pada saat itu, Indonesia tidak lagi kelihatan sekadar sebuah republik moden yang mempunyai jutaan penduduk. Indonesia berubah menjadi gugusan tamadun yang dibina oleh ratusan bangsa, ribuan cerita, dan pelbagai cara manusia memahami alam semesta.

Saya membayangkan pula bahawa saya mula teruja, lalu menyertai anda dalam pengembaraan itu. Maka, kita berbual juga tentang pengalaman baharu di sana. Kita di Malaysia lazimnya mengenali Indonesia sebagai negara yang mengiktiraf enam agama, khasnya Islam, Kristian, Hindu, dan Buddha. Gambaran itu tidak salah, tetapi belum lengkap.

Di sebalik angka dan kategori rasmi, masih wujud puluhan kepercayaan adat yang diwarisi sejak zaman nenek moyang. Kepercayaan-kepercayaan ini bukan sekadar berkaitan upacara keagamaan. Di dalamnya tersimpan ilmu tentang pertanian, pelayaran, pemburuan, seni bina, perubatan tradisional, puisi lisan, muzik, tarian, falsafah kehidupan, dan hubungan manusia dengan alam. Semua itu membentuk satu sistem pengetahuan yang berkembang jauh sebelum sempadan negara moden dilukis pada peta.

Apabila saya menyebut “kepercayaan adat”, janganlah anda segera membayangkan sesuatu yang beku atau terperangkap dalam masa silam. Sebaliknya, bayangkan sebuah sungai. Airnya sentiasa mengalir tetapi sungainya tetap sama. Begitulah juga adat. Generasi berganti, teknologi berubah, bahasa berkembang, namun inti nilai yang diwariskan terus mengalir dalam kehidupan masyarakat.

Kita mengembara ke Sumatera Utara di mana masyarakat Karo masih mengamalkan Pemena, suatu tradisi yang meletakkan keseimbangan sebagai asas kehidupan. Alam bukan sesuatu yang boleh dieksploitasi sesuka hati, sebaliknya ruang yang perlu dihormati kerana manusia hanyalah sebahagian daripada keseluruhan ciptaan.

Gunung, hutan, dan sungai bukan latar belakang kehidupan, sebaliknya teman yang memungkinkan kehidupan itu sendiri berlangsung dengan selesa. Falsafah sedemikian mungkin kedengaran sederhana, namun dalam dunia yang sedang bergelut dengan perubahan iklim, pencemaran, dan kemusnahan hutan, kebijaksanaan lama itu memperoleh makna yang baharu pada memerhatian kita berdua.

Tidak jauh dari situ, kita menyaksikan masyarakat Batak mempertahankan Ugamo Malim. Ramai yang mengenalinya sebagai agama adat masyarakat Batak tetapi hakikatnya, ia lebih luas daripada itu. Ugamo Malim membentuk disiplin hidup yang menekankan kesucian, kejujuran, tanggungjawab, dan penghormatan kepada Debata Mula Jadi Nabolon sebagai sumber segala kewujudan.

Kita mula sedar bahawa menjadi penganut Ugamo Malim bukan sekadar melaksanakan ritual tertentu, malah lebih penting adalah berusaha menjalani kehidupan yang bermaruah dalam hubungan dengan sesama manusia dan alam.

Di Pulau Nias pula berkembang Fanömba Adu, tradisi yang sering disalahfahami apabila hanya dilihat melalui kewujudan patung-patung kayu. Hakikatnya, patung-patung itu bukan sekadar objek fizikal, sebaliknya melambangkan ingatan terhadap leluhur dan kesinambungan sesuatu keturunan.

Dalam banyak masyarakat moden, gambar keluarga menjadi penghubung dengan generasi terdahulu. Dalam Fanomba Adu, fungsi itu diterjemahkan melalui simbol yang lahir daripada budaya tempatan. Apabila dilihat dari sudut ini, kita mula memahami bahawa setiap masyarakat mempunyai bahasa simbolik sendiri.


[Lihat buku-buku Uthaya Sankar SB]


Lebih jauh ke selatan, di Kepulauan Mentawai, kita melihat Arat Sabulungan yang memperlihatkan hubungan manusia dengan alam dalam bentuk yang amat intim. Hutan bukan sekadar tempat mengambil hasil. Setiap pokok mempunyai semangat. Setiap sungai mempunyai penjaga. Setiap haiwan mempunyai tempat dalam keseimbangan alam.

Oleh sebab itu, tindakan manusia sentiasa disertai tanggungjawab moral. Memburu, menebang pokok, atau membuka kawasan baharu bukan keputusan individu semata-mata, sebaliknya tindakan yang perlu mengambil kira keseimbangan seluruh alam.

Pandangan seperti ini mungkin dianggap kuno oleh sesetengah pihak, sedangkan kita berdua sedar, dunia moden kini mula bercakap tentang pembangunan lestari, biodiversiti, dan etika alam sekitar menggunakan istilah yang lebih saintifik.

Di Tanah Sunda pula, dua nama sering muncul bersama, iaitu Buhun dan Sunda Wiwitan. Buhun membawa makna warisan lama yang terus hidup melalui adat, cerita rakyat, muzik, bahasa, dan pelbagai ritual masyarakat. Sunda Wiwitan pula memberikan bentuk yang lebih tersusun kepada pandangan hidup tersebut. Dalam tradisi ini, kita perhatikan sendiri bagaimana manusia tidak ditempatkan sebagai penguasa alam, sebaliknya sebagai penjaga keseimbangan.

Kehidupan yang baik bukan diukur melalui kekayaan atau kuasa, sebaliknya melalui kemampuan memelihara keharmonian dengan manusia lain, alam sekitar, dan Sang Pencipta. Barangkali sebab itulah masyarakat Sunda masih mempertahankan pelbagai upacara berkaitan penanaman dan penuaian padi. Padi bukan sekadar tanaman, malah juga lambang hubungan antara manusia dengan kehidupan.

Semakin kita berdua mengembara dan mengenali kepercayaan-kepercayaan ini, semakin jelas bahawa masyarakat Nusantara sejak dahulu tidak pernah hidup tanpa falsafah. Mereka mungkin tidak menulis kitab tebal atau membina universiti seperti yang kita fahami hari ini. Namun begitu, mereka membangunkan sistem ilmu yang lahir daripada pemerhatian terhadap hujan, musim, bintang, laut, hutan, dan pengalaman hidup yang dikumpulkan selama ratusan tahun.

Ilmu itu kemudian disampaikan melalui cerita, peribahasa, nyanyian, tarian, dan upacara. Tradisi lisan menjadi perpustakaan mereka, manakala ingatan kolektif menjadi rak-rak yang menyimpan segala pengetahuan. Kita berdua amat teruja untuk menikmati kesemuanya dengan fikiran terbuka.

Barangkali di sinilah letaknya cabaran masyarakat moden. Kita terlalu mudah menganggap sesuatu hanya bernilai apabila dicetak dalam buku atau disimpan dalam pangkalan data digital. Sebaliknya, masyarakat adat mengajar kita bahawa ilmu juga boleh hidup dalam suara seorang tua yang bercerita kepada cucunya di hadapan unggun api, dalam rentak gendang yang mengiringi upacara menuai, atau dalam pantang larang yang sebenarnya mengandungi logik ekologi yang hanya difahami selepas beberapa generasi.

Mengenali Pemena, Ugamo Malim, Fanömba Adu, Arat Sabulungan, Buhun, dan Sunda Wiwitan bukan bererti kita perlu menerima atau mengamalkan kepercayaan tersebut. Sebaliknya, kita sedang belajar menghormati pengalaman manusia yang berbeza. Kita berdua sedang mengiktiraf hakikat tamadun tidak dibina oleh satu cara berfikir sahaja. Kepelbagaian budaya bukan ancaman kepada identiti. Sebaliknya, kepelbagaian itulah yang menjadikan Nusantara sebuah wilayah yang sentiasa menarik untuk diterokai.

Apabila kita membuka pintu kepada kisah-kisah seperti ini, kita sebenarnya sedang membuka pintu kepada satu bentuk kerendahan hati. Kita berdua sama-sama mengakui, dunia jauh lebih luas daripada pengalaman kita sendiri. Di sebuah lembah di Tanah Karo, di sebuah kampung di Pulau Nias, atau di tengah hutan Mentawai, manusia sedang mencari makna kehidupan dengan bahasa budaya yang berbeza daripada kita yang berfikiran sekular.

Namun, apabila diselami dengan hati yang terbuka, pencarian itu akhirnya menuju kepada persoalan yang sama: Bagaimana manusia harus hidup bersama sesama manusia, bersama alam, dan bersama warisan yang ditinggalkan oleh generasi terdahulu. – Bersambung pada 21 Julai 2026

[Bahan ini ditulis pada 13 Julai 2026 hasil pembacaan pelbagai sumber berkaitan topik yang diperkatakan. © Uthaya Sankar SB. Harap maklum bahawa anda meneliti sebarang paparan di mana-mana blog dan media sosial kendalian Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!