13 Jul 2026

Kaka Smriti: Ingatan yang Tidak Mati (Bahagian 5)



[Sambungan daripada Bahagian Empat]

Langit tidak pernah benar-benar kosong. Itu yang aku pelajari selepas Rajendran Arunachalam meninggal dunia.

Manusia melihat langit sebagai ruang. Kaum gagak pula melihatnya sebagai memori yang terbentang. Setiap lapisan awan membawa sisa peristiwa yang tidak selesai. Setiap desir angin membawa serpihan suara yang tidak sempat menjadi doa.

Dan di antara semua itu, ada sesuatu yang tidak pernah bergerak. Sesuatu yang hanya menunggu. Dan masih menunggu.

Aku mula menahan diri daripada tidur sejak mematian Rajendran. Bukan kerana takutkan mimpi. Tetapi kerana kaka smriti tidak lagi terasa seperti milik mutlak kami. Ia kini seperti sebatang sarit (sungai) yang tiba-tiba berubah arah sebelum sampai ke sagara (laut).

Selama ini, ingatan kaum gagak bergerak seperti warisan budaya dari generasi ke generasi. Sekarang, ia seolah-olah bergerak mengikut kehendak atau wants. Dan kehendak, keinginan, kemahuan, dan hajat hati tidak memiliki belas kasihan. Hakikat ini yang membuatkan aku tidak mampu melelapkan mata pada waktu malam.

Pada malam ketiga selepas kematian Rajendran, aku bertenggek di atas bumbung sebuah bangunan lama di Klang. Di bawah, bandar raya diraja masih hidup seperti biasa.

Penjaja kecil sedang menutup gerai di tepi jalan. Lori sampah mengaum perlahan. Anjing liar mencari sisa makanan. Manusia ketawa di restoran mamak yang beroperasi 24 jam.

Aku cuba meyakinkan diri bahawa semuanya normal. Tetapi kaka smriti tidak membenarkan pembohongan menjadi keselesaan dalam diri. Sebaliknya, ia tampil menunjukkan sesuatu yang amat berlainan.

Aku mampu melihat Rajendran. Bukan tubuhnya. Bukan jenazahnya. Tetapi saat dia menarik picu senapang pada tahun 2026. Aku melihat wajahnya dari sudut yang tidak mungkin dilihat oleh mana-mana saksi.

Aku turut melihat sesuatu yang berdiri di belakangnya. Sesuatu yang tidak mempunyai bentuk tetap. Kadangkala ia kelihatan seperti bayang gagak yang terlalu besar. Kadangkala seperti asap yang sudah belajar meniru bentuk rupa sayap. Kadangkala seperti seorang lelaki tua yang tidak pernah wujud.

Dan pada saat itu, aku faham satu perkara yang tidak pernah diajar oleh ibu. Ternyata ibu tidak pernah menceritakan keseluruhan kebenaran kepadaku.

Sesungguhnya, nama sebenar yang kami warisi bukan hanya “gagak”. Kami adalah penjaga kepada sesuatu yang lebih tua daripada usia bahasa.

Dalam teks purba yang kini hanya tinggal serpihan dalam tradisi lisan, ada disebut tentang sani dristi. Pandangan suci Dewa Sani tidak melihat kepada perbuatan manusia, sebaliknya tertumpu kepada kesan atau akibat yang belum berlaku.

Manusia menyebutnya sebagai mitologi. Tetapi mitos dan mitologi hanyalah cara manusia mengelak daripada mengakui bahawa mereka tidak memahami sesuatu.

Pada tahun 2028, Dr. Ananthan Subramaniam menulis nota yang tidak pernah diterbitkan. Aku berpeluang melihatnya kemudian melalui mata salah seekor gagak muda yang mencuri dokumen dari makmal di Chennai.

Nota itu berbunyi: “Terdapat corak neuro-elektrik dalam otak gagak mati yang tidak sesuai dengan model ingatan individu. Ia menyerupai sistem rujukan kolektif merentas generasi. Jika benar, ini bukan sekadar memori. Ini adalah sistem pemerhatian yang lebih tua daripada kewujudan spesies corvid itu sendiri.”

Di bawah nota itu, ditambah tulisan tangan yang lebih kecil: “Atau sesuatu yang menggunakan gagak sebagai medium pemerhatian.”

Aku menutup kelopak mata. Pada saat itu, aku faham sesuatu yang tidak mampu aku fahami selama ini. Ternyata kami selaku kaum gagak bukan hanya menyimpan ingatan. Kami juga sedang dilihat melalui ingatan itu.

(bersambung pada 20 Julai 2026)

[Petikan fiksyen spekulatif ini merupakan draf manuskrip yang dihasilkan pada Permukiman Penulisan Kavyan di Bentong, Pahang pada 13-14 Jun 2026. © Uthaya Sankar SB. Harap maklum bahawa anda meneliti sebarang paparan di mana-mana blog dan media sosial kendalian Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]