18 Jul 2026

Tidak Sesuai Dibaca dengan Lutut

Kedua-dua buku Sebelas Amanat Swamiji (2025) dan Siapa Bunuh Veer Singh? (2026) bukan teks keagamaan, sebaliknya karya satira dan fiksyen yang mengkritik fenomena sosial secara umum. Namun, apabila dibaca oleh khalayak tertentu—terutama dalam konteks Malaysia—terdapat beberapa unsur yang boleh ditafsir sebagai bertentangan dengan prinsip agama tertentu, sekali gus berpotensi menimbulkan rasa tidak selesa.

Pertama, aspek watak tokoh agama yang menyimpang boleh mencetuskan ketegangan pembacaan. Watak seperti Guruji, Swamiji, dan Prashamsaneeji digambarkan sebagai tokoh yang menyalahgunakan kuasa, membina kultus, dan menuntut ketaatan mutlak daripada pengikut.

Ajaran yang disampaikan oleh mereka bercampur antara mitos, kepercayaan tidak rasional, dan manipulasi emosi. Dari sudut agama tertentu, konsep kepimpinan agama sangat berkait dengan amanah, ilmu, dan akhlak tokoh agama.

Oleh itu, gambaran pemimpin spiritual yang menyeleweng boleh menimbulkan rasa tidak selesa jika pembaca merasakan ia seolah-olah merendahkan institusi agama secara umum—walaupun teks tidak merujuk kepada mana-mana agama secara khusus.

Kedua, unsur kultus dan pemujaan individu yang ditampilkan dalam cerpen-cerpen pengarang ini bertentangan secara jelas dengan prinsip tauhid iaitu keesaan Tuhan. Dalam beberapa cerita, pengikut kultus digambarkan memuja Guruji atau Swamiji dengan penuh taksub, menerima setiap “amanat” tanpa soal.

Dalam kerangka agama tertentu, sikap sedemikian boleh dikaitkan dengan konsep ghuluw (melampau dalam beragama) atau bahkan syirik jika seseorang meletakkan manusia pada kedudukan yang sepatutnya hanya milik Tuhan.

Walaupun karya dalam kedua-dua buku ini sebenarnya mengkritik fenomena tersebut, cara penyampaian pengarang yang memaparkan amalan itu dengan gaya penceritaan yang sangat meyakinkan boleh menimbulkan rasa kurang senang bagi pembaca yang sensitif terhadap isu akidah.

Ketiga, terdapat unsur moral dan tingkah laku yang bercanggah dengan etika, termasuk penyalahgunaan kuasa, rasuah, dan eksploitasi seksual. Dalam “Lingkaran Shaitaan”, misalnya, watak Guruji terlibat dalam gangguan seksual terhadap pengikut.

Dalam “Demi Sebuah Keampunan” pula, watak seperti Karuppar mengakui pelbagai kesalahan seperti rasuah, pecah amanah, dan pengubahan wang haram”. Walaupun tujuan pengarang mungkin untuk mengkritik perbuatan tersebut, pendedahan yang terus terang terhadap perlakuan ini boleh menimbulkan ketidakselesaan, khususnya bagi pembaca yang mengharapkan karya sastera memaparkan nilai moral secara lebih normatif.

Keempat, pendekatan satira dan parodi yang digunakan pengarang boleh menimbulkan risiko salah tafsir. Satira bergantung pada ironi dan keterbalikan makna, di mana apa yang dipaparkan secara zahir sering kali bertujuan untuk dikritik.

Namun begitu, tidak semua pembaca beupaya menafsirkan satira dengan cara yang sama. Dalam konteks pembaca agama tertentu, terdapat kemungkinan bahawa gambaran ajaran yang tidak rasional atau kepercayaan karut dianggap sebagai sindiran halus terhadap agama mereka secara umum.

Di sinilah boleh timbul potensi rasa tidak selesa semasa menekuni kedua-dua kumpulan fiksyen ini. Bukan kerana niat pengarang per se, sebaliknya berkemungkinan terjadi kerana kepelbagaian tafsiran yang boleh dilakukan pembaca.

Kelima, terdapat juga gembaran perbandingan antara agama dan budaya yang mungkin mencabar minda sebahagian pembaca. Cerpen seperti “Sejarah Tiga Ribu Tahun Yahudi dan Babi” memaparkan dialog antara pelbagai tradisi agama dunia.

Walaupun perbincangan ini bersifat intelektual, ia melibatkan isu hukum, identiti, dan sejarah yang sensitif. Bagi pembaca daripada agama tertentu yang tidak terbiasa atau tidak pernah didedahkan dengan pendekatan perbandingan agama dan budaya secara terbuka, perbincangan sedemikian mungkin dirasakan sebagai mengaburkan batas antara kebenaran dan relativisme. Pembaca agama tertentu mungkin akan melihat cerpen ini mencabar pegangan agama mereka.

Namun begitu, penting untuk ditegaskan bahawa ketidakselesaan ini tidak semestinya bermakna karya tersebut bersifat menyerang atau menghina mana-mana agama. Sebaliknya, ia mencerminkan pertembungan antara gaya sastera kritikal dengan sensitiviti keagamaan pembaca.

Dalam banyak kes, karya seperti ini sebenarnya boleh dibaca selari dengan nilai yang terkandung dalam mana-mana agama murni. Misalnya sebagai peringatan tentang bahaya penyelewengan agama, kepentingan integriti moral, dan keperluan berfikir secara kritis.

Perlu diakui, buku Sebelas Amanat Swamiji  dan  Siapa Bunuh Veer Singh?  mengandungi beberapa unsur seperti kultus, satira agama, tingkah laku tidak bermoral, dan perbincangan lintas agama yang boleh ditafsir sebagai bertentangan dengan ajaran agama tertentu, sekali gus berpotensi menimbulkan rasa tidak selesa dalam kalangan pembaca agama berkenaan.

Namun, apa pun reaksi pembaca, semuanya bergantung pada pendekatan pembacaan yang digunakan. Jika dibaca dengan lutut, maka lututlah yang difahami. Sebaliknya, dengan minda dan kerangka yang tepat, karya-karya ini boleh dilihat sebagai bahan refleksi yang menguatkan kesedaran pembaca terhadap nilai-nilai yang dijunjung dalam ajaran mana-mana agama yang benar (bukan palsu).

Bacaan seterusnya: Paparan Realiti Budaya Kaum India