22 May 2020

Petua Menulis Ayat Pertama Cerpen


Bagaimana mahu menulis ayat pertama pada sebuah cerpen? Bagi ramai penulis baharu mahupun mapan, memang sukar untuk menulis ayat pertama.

Ayat pertama dan perenggan pertama amat penting kerana berperanan sebagai cangkuk naratif (narrative hook) yang mampu memancing minat pembaca untuk meneruskan pembacaan.

“An opening line should invite the reader to begin the story. It should say: Listen. Come in here. You want to know about this.”

Demikian kata Stephen King dalam wawancara bersama Joe Fassler di The Atlantic (23 Julai 2013). Pada pandangannya, ayat pembuka cerita perlu berupaya mengundang pembaca untuk memulakan pengalaman pembacaan.


Bagi Stephen King, ayat pertama atau perenggan awal perlu seolah-olah memberitahu pembaca:

“Dengar. Ke mari. Anda mahu tahu kisah ini.”

Ayat pertama yang anda tulis dalam draf cerpen tidak semestinya kekal sebagai ayat pertama apabila manuskrip siap untuk dikirim ke akhbar atau majalah. Mungkin boleh diubah atau dibuang.

Tetapi sekurang-kurangnya, ayat pertama yang ditulis membantu anda memulakan dan menggerakkan cerita.


Diane Callahan, seorang penulis dan pembimbing penulisan profesional berkongsi panduan di Quotidian Writer (12 Januari 2018) tentang petua menulis perenggan pertama — atau lebih tepat lagi, ayat pertama.

Beliau berpegang kepada apa yang dipelajarinya:

“Write a first line that makes you want to know more.”

Ayat pertama perlu mampu mengundang rasa ingin tahu pembaca. Petua ini bukan sesuatu yang baharu tetapi amat wajar diingatkan semula.

Diane Callahan memberi contoh ayat pertama yang pernah ditulisnya: “The boats arrived in springtime, carrying the bodies of headless men.”


Apa yang perlu ada pada ayat atau perenggan awal?

Biasanya, pembaca sudah boleh kenal siapa watak utama. Atau tahu apakah konflik atau isu yang diketengahkan. Perkara lain yang mungkin “didedahkan” menerusi perenggan pertama termasuk gambaran umum berkaitan latar tempat (setting), suasana batin (mood), tema, dan gaya penulisan.

Tidak semestinya kesemua unsur di atas dimasukkan. Pilihlah mana-mana yang sesuai dan perlu. Apa yang penting, perenggan awal — atau ayat pertama — perlu mampu menimbulkan minat dan pertanyaan dalam diri pembaca.


Berikut perenggan awal beberapa cerpen terbaharu saya dalam kumpulan fiksyen Putaria, serta pautan kepada reaksi daripada rakan-rakan yang menjadi pembaca beta.

Khan tahu bahawa dia perlu bertindak segera. Mangsa sedang meronta-ronta. Tangan yang mencekik leher nampaknya belum mampu menundukkan mangsa. [Reaksi Pembaca Beta]

Akhirnya, Sumanti akur pada hakikat bahawa dia tidak boleh melarikan diri daripada mereka. Namun, dia amat berharap dapat bertemu Jokowo walau hanya sekali. [Reaksi Pembaca Beta]

Sejak kecil, kakak takut akan kegelapan. Kata ayah, lampu terpaksa sentiasa dipasang bagi meredakan ketakutan kakak. Hanya selepas kakak nyenyak, barulah ibu berani memadam lampu. [Reaksi Pembaca Beta]

Dahulu, dia memang pernah mengimpikan kehidupan mewah dan berkuasa sebagai ketua kerajaan. Pada tanggapannya waktu itu, segala proses akan berjalan lancar dan bulan akan jatuh ke riba. [Reaksi Pembaca Beta]

Saya sentiasa memberitahu peserta bengkel penulisan tentang kepentingan ayat pertama dan perenggan pertama sebuah cerpen. Diana Callahan juga menegaskan perkara sama.


Perenggan pertama perlu mampu menimbulkan pertanyaan dalam diri pembaca. Pembaca perlu dipaksa berfikir: “Saya perlu dan mahu tahu apa yang berlaku seterusnya.” Sesuatu sudah berlaku dan sedang berlaku, dan pembaca mahu tahu apa yang akan berlaku.

Perenggan pertama juga seharusnya sudah menampilkan watak utama. Cara paling mudah adalah dengan menyebut namanya — atau mungkin kata ganti nama “dia” atau “aku” atau “saya”.

Pembaca seharusnya sudah tahu siapakah watak utama dalam cerpen berkenaan. Mungkin ada sedikit gambaran tentang sikap dan perwatakannya. Mungkin sahaja ada sesuatu ciri unik pada diri watak itu.


Perenggan pertama boleh dimulakan dengan gambaran sesuatu objek, latar tempat, suasana, atau gambaran alam. Tetapi hanya jika ia — objek, latar tempat, suasana, atau gambaran alam — ada kaitan secara langsung dengan kisah atau isu yang diceritakan. (Lihat juga — Jangan mulakan cerita dengan gambaran alam dan cuaca)

Perenggan pertama boleh juga ditulis dengan terus menyatakan tema, mesej, atau inti pati cerita. Misalnya: “Persahabatan alam kanak-kanak akan kekal hingga ke liang lahat” di mana cerpen yang ditulis memang membawa kisah persahabatan alam kanak-kanak yang kekal sepanjang hayat.

Keistimewaan menulis perenggan pertama dengan tema, mesej, atau inti pati cerita adalah bahawa ia akan menjadi panduan kepada penulis — dan pembaca — tentang apa yang akan berlaku sepanjang cerita.


Satu lagi cara menarik untuk memulakan cerpen adalah dengan memanfaatkan teknik dialog. (Malangnya, murid sekolah rendah dan pelajar sekolah menengah jarang diajar — apatah lagi digalakkan — memanfaatkan teknik dialog dalam penulisan karangan.)

Dalam kumpulan cerpen Twisted (2003), Jeffery Deaver memulakan 7 daripada 16 buah cerpen dengan dialog.
Dialog pada perenggan awal yang digabungkan atau diselitkan pula dengan aksi, emosi, dan konflik pasti menarik minat pembaca. Pembaca merasakan seolah-olah mereka berada di tengah-tengah cerita; seperti sedang menyaksikan apa berlaku di depan mata.

Walau bagaimanapun, sila ingat bahawa dialog bukan “perbualan”. Dialog menggerakkan cerita, sementara “perbualan” sekadar membazir halaman dan membuang masa pembaca.

Ingat pesan Stephen King:

“An opening line should invite the reader to begin the story. It should say: Listen. Come in here. You want to know about this.”