Jeffery Deaver
merupakan bekas wartawan, peguam, dan penulis terkenal yang memenangi pelbagai
anugerah. Selain lebih daripada 30 buah novel, beliau turut menulis cerpen — Twisted (2003),
More Twisted (2006), dan Trouble in Mind (2014) — yang mementingkan
unsur twist.
Novelis dengan pengalaman menulis lebih daripada 30 tahun ini
berkongsi panduan dan pengalaman pada The
Creatures, Crime and Creativity Conference (2018).
1 — Tentukan peranan anda
Adakah anda penulis sambilan, penulis sepenuh masa, menulis
sebagai hobi, atau sekadar suka-suka? “Peranan” anda akan menentukan tahap “komitmen”
anda.
2 — Fahami misi penulisan
Anda perlu mampu menulis cerita yang menyentuh emosi, membuatkan
pembaca terus membaca sehingga hujung cerita, dan mahu terus membaca
karya-karya anda.
3 — Menulis adalah disiplin
Kirim manuskrip sebelum tarikh akhir. Disiplinkan diri untuk
menulis secara berkala — sekurang-kurangnya sebuah karya setiap tahun.
4 — Menulis untuk pembaca
Anda tidak menulis untuk diri sendiri, sebaliknya untuk
pembaca. Anda perlu rasa seronok menulis cerita yang khalayak sasaran anda suka
baca.
5 — Tulis apa yang anda suka baca
Pilihlah genre yang anda sendiri amat suka baca. Jangan
terikut-ikut dengan trend semasa. Atau mulakan trend baharu yang menggambarkan
keunikan anda.
6 — Merancang sebelum menulis
Buat rangka cerita (plot). Buat kajian ilmu bantu yang
diperlukan. Pastikan ketepatan fakta. Kenali watak dalam cerita sebelum mula
menulis.
7 — Kuasai bahasa
Jangan gunakan bahasa bombastik dan istilah yang memaksa
pembaca merujuk kamus. Tiada alasan untuk anda melakukan kesalahan tatabahasa,
ejaan, tanda baca, dan sebagainya. Dapatkan khidmat penyunting profesional jika perlu. Tahu
format menaip manuskrip menggunakan komputer.
8 — Semak dan betulkan
Baca, sunting, dan baiki karya anda. Baca dengan suara untuk
“mendengar” dan “menangkap” kesalahan. Kemudian, cetak dan semak semula
manuskrip itu.
9 — Bersedia untuk belajar
Pelajari kemahiran baharu dalam penulisan. Sentiasa bersedia
untuk menimba ilmu. Banyakkan membaca. Sertai sesi
bimbingan. Analisis karya yang dibaca.
10 — Jangan terburu-buru
Ambil masa untuk merancang, menulis, menyemak, membaiki, dan
memantapkan karya. Dapatkan reaksi pembaca beta.
11 — Bersedia untuk kecewa
Terima hakikat jika karya ditolak. Mungkin anda telah kirim
ke akhbar/majalah/media yang salah. Bersedia untuk baiki karya. Belajar
daripada kesilapan — dan jangan ulangi!
12 — Berbanggalah menjadi penulis
Karya anda mampu membuatkan orang ketawa, menangis, menimba
ilmu, mengenal dunia, menjadi manusia, dan bermacam-macam lagi. Anda memiliki
anugerah untuk mampu melakukannya. Maka, berbanggalah.
Paparan
ini disediakan oleh Uthaya Sankar SB berdasarkan rakaman
video ucapan Jeffery Deaver pada The Creatures,
Crime and Creativity Conference (2018).
Topik berkaitan — Tulis Cerpen Gaya Tarantino — Consider This: Chuck Palahniuk — 12 Nasihat Jeffery Deaver Kepada Penulis — 7 Rahsia Penulisan Dan Brown — 4 Petua Penulisan Elmore Leonard — Reaksi Pembaca Beta — 25 Topik “Panas” Dalam Malaiur Manikam.
Topik berkaitan — Tulis Cerpen Gaya Tarantino — Consider This: Chuck Palahniuk — 12 Nasihat Jeffery Deaver Kepada Penulis — 7 Rahsia Penulisan Dan Brown — 4 Petua Penulisan Elmore Leonard — Reaksi Pembaca Beta — 25 Topik “Panas” Dalam Malaiur Manikam.