Elmore Leonard (1925
– 2013) bukanlah nama yang selalu diperkatakan golongan penulis dan pembaca di
Malaysia. Namun, kita mungkin pernah menonton filem-filem yang dibuat
berdasarkan karya-karya beliau.
Leonard bermula dengan penulisan cerita koboi (western) sebelum mengkhusus dalam genre
fiksi kriminal (crime fiction) dan
cerita debaran (thriller). Antara
novel terkenal beliau adalah Glitz
(1985), Get Shorty (1990), Maximum Bob (1991), dan Rum Punch (1992).
Keunikan Leonard terletak pada kemampuan beliau menjadi
penulis yang popular dan disegani para penulis seangkatan dan
penulis terkemudian, khususnya di Amerika Syarikat.
Pada tahun 1992, sumbangan beliau dalam bidang penulisan menerima
pengiktirafan menerusi Grand Master Award
for Lifetime Achievement daripada Mystery
Writers of America.
Dalam sebuah artikel di New
York Times (16 Julai 2001), Leonard berkongsi beberapa panduan (tips) yang boleh dimanfaatkan bagi
menghasilkan cerpen bermutu.
1 — Jangan Mulakan Cerita dengan Gambaran Alam dan Cuaca
Kalau sekadar mahu melukiskan alam sekitar, cuaca, dan
suasana yang tidak ada kaitan secara langsung dengan watak dan isu, maka
Leonard menasihatkan supaya gambaran itu dibuang — atau lebih baik jika tidak
ditulis langsung.
Namun begitu, sekiranya gambaran alam dan cuaca ada kaitan
dengan cerita — atau mengundang reaksi watak — maka boleh dimasukkan. Semasa
mengendalikan bengkel
penulisan, saya sering menggunakan contoh mudah ini:
Angin bertiup sepoi-sepoi bahasa.
Pohon kelapa melambai-lambai. Ombak berlari-lari menyapa pantai.
Bandingkan pula apabila gambaran alam dikaitkan dengan watak
dan cerita:
Angin yang bertiup
sepoi-sepoi bahasa masih gagal meredakan penyesalan dalam jiwa. Pohon kelapa melambai-lambai bagaikan mengajak
aku melawat semula ke masa silam. Ombak yang berlari-lari menyapa pantai
mengingatkan kepada pengalaman menyusur Pantai Morib bersama-sama bekas
isteriku, lima bulan lalu.
2 — Jangan Memberi Terlalu Banyak Gambaran Fizikal Watak
Bagi menegaskan hal ini, Leonard mengambil contoh karya
penulis kesukaannya, Ernest Hemingway. Dalam cerpen “Hills Like White Elephants”
(Ogos 1927), Hemingway memberi gambaran fizikal yang amat minimum tentang
kedua-dua watak. Namun begitu, cerpen itu amat berjaya. Anda boleh membacanya
dalam buku Men Without Women (1927).
Memanglah ada penulis — termasuk ramai penulis mapan di
Malaysia — gemar memberi gambaran fizikal yang terperinci tentang watak-watak
dalam novel dan cerpen. Kononnya supaya pembaca boleh “membayangkan”
watak-watak itu di depan mata.
Dalam karya saya, hanya gambaran fizikal yang minimum disajikan.
Perkara yang perlu sahaja diberitahu kepada pembaca. Hal ini dilakukan dengan
penuh sedar supaya pembaca boleh “membayangkan” watak-watak itu di depan mata
menggunakan imaginasi, pemahaman, dan pengalaman masing-masing.
3 — Jangan Terlalu Banyak Menggambarkan Tempat dan Benda
Leonard sebagai penulis veteran yang berpengalaman dan
tersohor menasihatkan para penulis muda supaya jangan terlalu ghairah menulis
gambaran latar tempat dan barangan (benda) yang terdapat dalam cerpen.
Biar saya beri satu contoh
mudah. Katakan watak A menyerbu masuk ke bilik tidur B dan mengacukan pistol ke
dada watak B. Dalam situasi ini, tidak perlulah penulis menggambarkan keadaan
bilik tidur itu: katil, almari pakaian, tingkap, langsir, dan sebagainya.
Tidak perlulah menulis secara terperinci tentang alat-alat
solek yang tersusun di meja solek. Malah, tidak perlu juga menceritakan
spesifikasi atau butiran terperinci model pistol yang sedang diacu itu.
Pembaca mahu tahu apa yang berlaku selepas watak A menyerbu
masuk ke bilik tidur B dan mengacukan pistol ke dada watak B. Siapa kisah
tentang katil, almari pakaian, meja solek, tingkap, langsir, dan model pistol!
Biarlah pembaca membayangkan semua itu berdasarkan imaginasi,
pemahaman, dan pengalaman masing-masing — sambil membaca dengan penuh minat apa
yang berlaku selepas pistol diacu ke dada watak B.
4 — Jangan Masukkan Apa-apa yang Pembaca Akan Langkau
Menurut Leonard, beliau menyedari — lalu mula mengamalkan — peraturan
ini sejak tahun 1983.
Seorang penulis tentulah perlu banyak membaca. Semasa
membaca sebuah cerpen, mungkin ada bahagian tertentu yang anda langkau (skip). Mungkin salah satu daripadanya
adalah perenggan awal yang menggambarkan alam sekitar, cuaca, dan suasana — sebagaimana
sudah dibincangkan tadi. (Teknik penulisan itu juga gagal memiliki cangkuk naratif.)
Apa lagi yang biasanya anda langkau (skip) semasa membaca sebuah cerpen? Saya sependapat dengan Leonard
kerana kami akan tinggalkan (skip)
perenggan yang terlalu panjang (mungkin hampir separuh halaman).
Saya sentiasa mengingatkan peserta bengkel
penulisan supaya tidak menulis perenggan lebih panjang
daripada lima baris. Bukan lima ayat,
tetapi lima baris pada manuskrip
bertaip.
Jika perenggan itu panjang, maka fikirkan cara untuk
menjadikannya dua, tiga, atau empat perenggan.
“Pada masa sama,” menurut Leonard, “penulis boleh
memanfaatkan dialog kerana pembaca jarang meninggalkan (skip) dialog dalam cerita.”
Kecuali jika dialog itu merupakan monolog separuh halaman! Atau
jika dialog itu sekadar perbualan kosong yang tidak menggerakkan cerita.
Catatan ini disediakan oleh Uthaya Sankar SB pada 19 Mei 2020 berdasarkan pandangan Elmore Leonard
yang dikongsi di pelbagai media antarabangsa.