16 May 2020

7 Rahsia Penulisan Dan Brown


“The reason I write is to learn.” – Dan Brown (2014)

Nama Dan Brown tiba-tiba menjadi sebutan di seluruh dunia susulan kelahiran novel The Da Vinci Code (2003). Agak menghairankan kerana tiga novel sebelum itu — Digital Fortress (1998), Angels & Demons (2000), dan Deception Point (2001) — tidak menerima sambutan sehangat itu.

Dan Brown selalu menggabungkan pertentangan antara kepercayaan (agama) dan fakta (sains). Malah, kontroversi dan penentangan pihak gereja “membantu” mempopularkan karya-karya beliau.


Novel-novel beliau — termasuk The Lost Symbol (2009), Inferno (2013), dan Origin (2017) — sudah diterjemah kepada lebih daripada 55 bahasa di seluruh dunia. Filem The Da Vinci Code (2006), Angels & Demons (2009), dan Inferno (2016) adalah berdasarkan novel Dan Brown.

Novel The Lost Symbol yang turut menampilkan watak Robert Langdon pada mulanya mahu dijadikan filem; tetapi akhirnya dijadikan asas bagi siri televisyen berbentuk prekuel dengan judul Langdon. Mengikut laporan media pada Januari 2020, Ashley Zukerman menggantikan Tom Hanks bagi memegang watak Robert Langdon yang  lebih muda.


Sekiranya keenam-enam novel Dan Brown diteliti, kita akan nampak bahawa kesemuanya menampilkan plot dan struktur cerita yang hampir sama. Tidak hairanlah beberapa penulis seperti Stephen King dan Salman Rushdie tidak mengiktiraf Dan Brown sebagai penulis yang boleh dibanggakan. (Baca di sini)

Walau bagaimanapun, novel-novel Dan Brown ternyata berjaya menambat hati khalayak seluruh dunia; khususnya selepas The Da Vinci Code “meletup” di luar jangkaan.


Petua yang digunakan oleh pengarang itu boleh dimanfaatkan juga oleh penulis cerpen. Berikut adalah tujuh “rahsia” penulisan Dan Brown yang diperhatikan dalam novel-novelnya:

1 Bahagian awal (beberapa halaman awal dalam novel) memiliki cangkuk naratif (narrative hook) yang terus mencengkam minat pembaca untuk meneruskan pembacaan.

Sekiranya kita meneliti novel Digital Fortress, misalnya, kita akan perhatikan banyak aksi pada 10 halaman pertama. Terdapat juga banyak dialog yang pendek dan menggerakkan cerita. Pembaca akan terpukau untuk meneruskan pembacaan kerana tertarik dengan bahagian awal (intro).

2 Watak-watak yang ditampilkan sentiasa penuh misteri dan membuatkan kita tertanya-tanya. Aksi dan tindak-tanduk watak amat mempesonakan (fascinating). Maka, kita sebagai pembaca mahu lebih “mengenali” watak itu. Kita mahu tahu apakah motif di sebalik setiap tindak-tanduk watak berkenaan.


3 Dan Brown memastikan konflik berlaku secara berterusan sepanjang cerita. Mungkin satu masalah (konflik) selesai, tetapi konflik baharu muncul. Lebih menarik apabila konflik menjadi semakin kompleks dan terus “memukau” pembaca.

Selain daripada konflik yang sentiasa hadir sepanjang cerita (novel/cerpen), teknik plot twist juga dimanfaatkan secara bijak dan meyakinkan bagi menggerakkan cerita dan watak.

4 Bahasa adalah satu-satunya alat, senjata, atau wahana yang dimiliki penulis. Menurut Dan Brown, penulis perlu sentiasa menggunakan bahasa yang mudah difahami.


5 Perenggan pula biarlah pendek; bukannya hampir separuh halaman buku. Begitu juga dengan bab. Elakkan bab yang terlalu panjang, jika menulis novel. Bahagikan kepada bab-bab yang pendek. Pada masa sama, akhiri setiap bab dengan teknik cliffhanger.

6 Penulis perlu bersedia menimba ilmu bantu sebelum menulis. Data dan fakta perlu dikumpul secukupnya. Walaupun hanya menulis fiksyen, aspek ini tetap perlu dipentingkan. Ilmu bantu, data dan fakta boleh didapati melalui pembacaan, pengalaman, lawatan, wawancara, dan sebagainya.


7 Kita perlu memilih topik yang baharu dalam penulisan. Dalam wawancara di CBS This Morning (Mei 2014), Dan Brown menggesa penulis supaya menulis tentang sesuatu topik yang memerlukan kita pergi belajar tentang topik itu. Biarlah proses mengumpul bahan itu sendiri menjadi sebahagian proses pembelajaran untuk kita.

Dalam sesi bicarawara di Mumbai, India pada 12 November 2014, Dan Brown mengaku bahawa sebab beliau menulis adalah untuk belajar (“The reason I write is to learn”). Beliau sengaja memilih topik-topik yang memerlukan kerja-kerja kajian dan pengumpulan bahan kerana ia membuka peluang untuk belajar perkara baharu.


Memanglah Dan Brown tidak menghasilkan novel yang diiktiraf sebagai karya sastera (literature). Sebaliknya, beliau menghasilkan fiksyen komersial atau lebih tepat lagi, commercial thriller.

Rahsia penulisan Dan Brown bolehlah dimanfaatkan bagi menjadikan karya — cerpen atau novel — lebih berjaya dan mendapat sambutan para pembaca.

Paparan ini disediakan oleh Uthaya Sankar SB berdasarkan dokumentasi, wawancara, berita, dan novel-novel Dan Brown. 

Topik berkaitan Tulis Cerpen Gaya Tarantino Consider This: Chuck Palahniuk 12 Nasihat Jeffery Deaver Kepada Penulis 4 Petua Penulisan Elmore Leonard  Reaksi Pembaca Beta.