Saya mula kenal kisah-kisah Vetalam dan
Vikramaditya melalui majalah Ambulimama
yang dibeli oleh ibu saya saban bulan sewaktu saya masih di bangku sekolah
rendah. Saya boleh membaca berdikit-dikit dalam Bahasa Tamil sejak berumur enam
tahun.
Untuk lebih memperdalami bacaan saya dan abang
saya, ibu membelikan majalah Ambulimama
yang penuh dengan kisah dahulu kala masyarakat di India serta kisah-kisah
dongeng seperti Vikramaditya. Lukisan-lukisan di dalam majalah Tamil itu
menarik minat saya untuk meneruskan pembacaan.
Pada ketika itu, saya tidak dapat menghayati
sepenuhnya kisah-kisah pengembaraan Vikramaditya kerana banyak perkataan dalam
Bahasa Tamil tidak saya fahami. Cuma, selepas meningkat remaja, saya mengerti. Selepas
itu, majalah Ambulimama sama ada tidak
lagi dijual di kawasan kami, atau ibu tidak membeli lagi majalah berkenaan.
Selepas sekian lama hampir dilupakan, Uthaya
mengembalikan nostalgia itu dengan menceritakan semula dalam dengan gaya tersendiri dalam buku Vetalam dan Vikramaditya (2020).
Walaupun beliau ada menulis kisah ini di blog sebelum ini, saya tidak membaca
dengan sepenuhnya. Di dalam buku ini, dikisahkan lebih panjang-lebar dengan
cara tersendiri. Terdapat sembilan kisah yang amat menyeronokkan.
[Lihat — Senarai
Buku Uthaya]
Kisah bermula di lokasi sebuah istana di Ujjain.
Raja Vikramaditya menerima kunjungan seorang alim yang sentiasa membawa buah
tangan. Kedatangan orang alim itulah yang membawa kepada kisah Vetalam.
Kisah-kisah dalam buku Vetalam dan Vikramaditya diceritakan secara bersahaja dan mudah
difahami oleh semua lapisan masyarakat. Buku ini amat sesuai dibaca oleh para
pelajar; baik murid sekolah rendah mahupun pelajar sekolah menengah. Walaupun ia
merupakan kisah dongeng, Uthaya telah menulis dengan begitu telus agar ia
memberi teladan kepada pembaca.
Terdapat gambar-gambar di beberapa halaman dalam
buku ini. Namun, pasti lebih menarik jika dilukiskan khas untuk buku ini. Buku
setebal 82 muka surat ini sudah pasti boleh dibaca berulang kali dan akan
membawa kegembiraan sepenuhnya kepada para pembaca.
[Ulasan ini ditulis oleh M.
Mahendran bagi Pertandingan Menulis Ulasan Buku yang
dikendalikan oleh Uthaya Sankar SB semasa Perintah
Kawalan Pergerakan dilaksanakan di seluruh negara. Pengulas
menerima senaskhah novel Hanuman: Suara Hati sebagai tanda
penghargaan. Baca juga — Ulasan Anuradha Chelliah]