12 Sept 2019

Siapakah Penculik Itu?


Pada 11 September 2019, saya mengemukakan suatu pertanyaan kepada rakan-rakan menerusi Facebook. Soalan ini bertujuan menguji minda. Maka, tentu sahaja jawapan tidak semudah yang disangka.

Rakan-rakan diminta meneka siapakah seorang individu dalam epik India yang sudah ada anak-isteri, tetapi terus mahu memperisterikan seorang wanita yang dilihatnya di dalam sebuah hutan. Wanita itu berada dalam buangan (exile).

Seterusnya, saya memberikan gambaran bahawa semasa wanita itu sedang bersendirian, lelaki berkenaan datang dan cuba memujuknya supaya menjadi isteri. Wanita yang sudah bersuami itu menolak, lalu diculik dan dilarikan secara paksa.

Antara rakan Facebook yang tampil memberi jawapan ialah Syed Muaz Syed Putra, Hasmiza Idris, Anuradha Chelliah, Prem Raj, Vashugi Venugopal, dan Punithavathy Arumugam.

Hasmiza yang mengaku “sudah lupa” kisah epik Ramayana kerana “sudah lama membaca epik ini dalam ceritera wayang kulit Kelantan” memberi jawapan Rama, dan segera pula Thanusya Shanmuganathan menjelaskan bahawa Rama ialah suami kepada Sita, iaitu “wanita dalam buangan (exile)”.

Kesemua rakan-rakan lain memilih jawapan Ravana @ Rawanan. Pada tengah malam, saya memaklumkan bahawa belum ada jawapan yang tepat dan meminta rakan-rakan terus mencuba soalan “uji minda” itu.

Vashugi Venugopal mula tertanya-tanya adakah individu yang dimaksudkan adalah seorang sahaja, kerana menurutnya, “[individu] yang dimalukan dan balas dendam itu Surpanagai”.

Surpanagai dalam epik Ramayana ialah adik kepada Ravana, raksasa yang menculik Sita, isteri Rama, semasa berada dalam buangan (exile) di hutan.


Sesungguhnya, perenggan pertama dan kedua memberi gambaran kemungkinan besar soalan saya merujuk kepada insiden Ravana menculik Sita dalam epik Ramayana — suatu kisah yang diketahui umum. Ilustrasi hiasan yang diletakkan juga menggambarkan peristiwa itu.

Walau bagaimanapun, memandangkan soalan yang dikemukakan adalah soalan “uji minda”, maka tentulah tidak semudah itu. [Lihat jugaPakaian Draupadi: Siapa Pemberi?]

Selepas saya mengesahkan jawapan “Ravana @ Rawanan” tidak tepat, maka mulalah rakan-rakan mencuba pelbagai jawapan lain, sekali gus tidak lagi “terikat” pada insiden Ravana menculik Sita.

Thanusya Shanmuganathan memilih Indra, manakala Syed Muaz Syed Putra bertanya mungkinkah watak itu ialah Dharma. Dewa Indra memang “watak” yang selalu muncul dalam pelbagai epik, purana, dan cerita rakyat India — termasuk dalam epik Ramayana dan Mahabharata.

Perenggan pertama dan kedua dalam paparan saya memberi gambaran kemungkinan besar jawapan yang betul dan tepat adalah Ravana. Akan tetapi, perenggan ketiga perlu dibaca dengan teliti.


Dinyatakan bahawa watak yang mahu memperisterikan wanita itu “menerima padah”. Benar; Ravana juga menerima padah selepas menculik Sita dalam epik Ramayana dan Hanuman: Suara Hati (2013).

Benar; Ravana berjaya dikalahkan. Akan tetapi, Ravana tidak dimalukan di khalayak ramai susulan kekalahan itu. Sebaliknya, Ravana berjaya dibunuh dengan bantuan Hanuman. Maka, tidak ada ruang dan peluang untuk Ravana “berjanji akan membalas dendam”.

Sesungguhnya, peristiwa yang digambarkan — khususnya perenggan pertama dan kedua —sangat sesuai dengan kisah yang berlaku dalam Ramayana. Tidak hairanlah rakan-rakan memilih jawapan “Ravana” tanpa berfikir panjang.

Walau bagaimanapun, memandangkan soalan berkenaan berciri “uji minda”, maka tentulah jawapan tidak semudah itu. Watak yang dimaksudkan bukan Ravana yang menculik Sita. Malah, bukan daripada epik Ramayana!


Sebaliknya, kisah yang digambarkan itu berlaku dalam epik Mahabharata. Dalam epik Ramayana, watak Rama, Laksamana, dan Sita berada dalam buangan di hutan. Situasi sama berlaku kepada adik-beradik Pandava (lima orang) serta isteri mereka, Draupadi. (Ya, kelima-lima Pandava menjadi suami kepada Draupadi. Bacalah Mahabharata!)

Pada suatu hari, semasa Draupadi tinggal sendirian, raja Kerajaan Sindhu bernama Jayadratha datang dan memujuk wanita itu menjadi isterinya. Jayadratha sebenarnya sudah ada beberapa orang isteri — termasuk adik bongsu kepada adik-beradik Kaurava (seramai seratus orang).

Jayadratha menculik dan melarikan Draupadi. Adik-beradik Pandava mengejar Jayadratha dan berjaya menyelamatkan Draupadi. Bhima mengheret penculik itu dengan memegang rambutnya, serta menendang kepalanya. Kemudian, kepalanya dibotakkan — dengan membiarkan lima untaian rambut sahaja sebagai tanda penghinaan paling besar.

Selepas dikalahkan, dimalukan, dan dihina sedemikian rupa, Jayadratha berikrar akan membalas dendam terhadap adik-beradik Pandava. Kisah itu boleh dibaca dalam epik Mahabharata. Anda juga dipelawa membaca Ramayana dan Mahabharata (2019) yang menceritakan pelbagai kisah menarik dalam kedua-dua epik berkenaan sebelum kelahiran Rama dan adik-beradik Pandava.

Sesungguhnya, epik seperti Ramayana dan Mahabharata umpama telaga ilmu — semakin digali, semakin banyak kisah, pengajaran, dan pengetahuan yang boleh ditimba. Lihat jugaJarak Masa Antara Ramayana dan Mahabharata.