Lazimnya, masyarakat India-Hindu yang mengetahui kisah epik Mahabharata pasti tahu tentang episod
pakaian Draupadi ditanggalkan atau ditarik secara paksa selepas Yudhishtira
kalah dalam perjudian di Hastinapura.
Jika anda bertanya kepada masyarakat India-Hindu, mereka
mungkin menceritakan bagaimana pada saat genting itu, Draupadi telah merayu Dewa Krishna membantu melindungi
maruahnya.
Maka, secara penuh magis, semasa Dushasana (adik kepada
Dhuryodhana) menarik sari yang dipakai Draupadi, kain itu tidak habis-habis
muncul secara berterusan dan melindungi tubuh (maruah) wanita berkenaan!
Sekiranya diimbas kembali, beberapa bab lebih awal, Dewa
Krishna telah berkunjung ke Indraprasta (milik Pandava). Selepas menikmati
jamuan, dewa itu sedang memotong buah untuk dimakan. Jarinya terluka secara
tidak sengaja.
Tanpa berfikir panjang, Draupadi mengoyak hujung kain sari
yang dipakai dan memberikannya kepada Dewa Krishna untuk membalut luka. Lalu,
dewa itu yang merupakan avatara
Vishnu berjanji bahawa apabila timbul keadaan
Draupadi berada dalam bahaya, dewa itu akan memberikannya pakaian untuk
melindungi tubuh dan maruahnya.
Maka, tidak hairanlah masyarakat India-Hindu akan mengatakan
bahawa Dewa Krishna yang telah membantu Draupadi pada saat kain sarinya cuba
ditanggalkan oleh Dushasana.
Akan tetapi, sekiranya kita membaca epik Mahabharata, semasa adik-beradik
Pandava dan Draupadi sedang menuju ke hutan di bab seterusnya, Dewa Krishna
akan datang. Dewa itu akan menceritakan bahawa dia tidak dapat datang lebih
awal kerana sedang sibuk berperang di tempat lain. Dia tidak tahu tentang sesi perjudian
yang berlangsung di Hastinapura.
“Jika tidak, tentu saya telah datang untuk menghalang
permainan judi itu dengan menerangkan segala keburukannya. Baru kini saya tahu
apa yang berlaku, lalu segera datang untuk bertemu anda semua yang terpaksa
tinggal di dalam hutan selama 12 tahun,” kata Dewa Krishna.
Maka, bagaimana sari Draupadi menjadi panjang berjela-jela
secara penuh magis? Ternyata Dewa Krishna tidak tahu-menahu mengenai kejadian
itu.
Kita perlu melakukan rujukan silang kepada Shiva
Purana untuk mengetahui kisah Maharisyi
Durvasa. Diceritakan bagaimana pada suatu hari, semasa maharisyi itu sedang
mandi di sungai, arus menghanyutkan pakaiannya. Draupadi yang ternampak
kejadian itu telah menyerahkan pakaiannya sendiri kepada maharisyi berkenaan.
Maka, Maharisyi Durvasa berkata, pada saat Draupadi
memerlukan pakaian untuk melindungi tubuh dan maruahnya, pakaian akan muncul
secara magis.
Itulah sebabnya semasa Draupadi dimalukan di Hastinapura,
sari yang dipakai tidak habis walaupun ditarik terus-menerus oleh Dushasana.
Kini, anda tahu kisah sebenar! Jangan lupa untuk mendapatkan
buku Ramayana
dan Mahabhrata (2019) untuk membaca satu lagi kisah melibatkan
Maharisyi Durvasa, serta pelbagai kisah menarik yang berlaku jauh sebelum
kelahiran Rama dan Arjuna.