[Suatu topik sensitif yang tetap wajar dibincangkan secara sihat
dalam konteks Bangsa Malaysia.]
Saya sering menggunakan laman rangkaian
sosial Facebook untuk berbincang,
berbahas dan berdialog mengenai pelbagai topik yang sesuai dan wajar
dibincangkan secara terbuka bersama-sama rakan-rakan pelbagai kaum, agama,
pegangan politik serta latar pendidikan dan kerjaya.
Saya amat selesa berbuat demikian kerana
rakan-rakan saya di Facebook adalah
golongan berfikiran matang dan mampu berhujah secara matang juga. Cuma, saya
sentiasa meletakkan syarat bahawa komen-komen perlu menggunakan bahasa yang
betul dari segi ejaan, tanda baca dan kesantunan – BACA DI SINI.
Walaupun Perdana Menteri tercinta, Datuk
Seri Najib Razak dilaporkan berkata “debat bukan budaya kita” (22 Jun 2012),
topik terbaru yang dibincangkan adalah berdasarkan topik yang pada asalnya
dikemukakan oleh seorang rakan, Faiz
Jamaluddin, pada ruangan statusnya pada 28 Disember 2012.
Pemuda itu menghuraikan bahawa
“Assalamualaikum” atau “Salam” merupakan ucapan doa kesejahteraan, di mana
“Assalamualaikum” sama ertinya dengan “Selamat Sejahtera”.
Untuk berlaku adil, tentu sahaja kita boleh
membuat rujukan dan semakan dalam Kamus Dewan jika tidak percaya pada
huraian Faiz. Frasa “Assalamualaikum” dalam Bahasa Arab membawa makna “Selamat
Sejahtera” dalam Bahasa Malaysia. Atau “Vanakam” dalam Bahasa Tamil.
“Anehnya, di Malaysia, kita diharamkan
untuk mengucapkan ‘Assalamualaikum’ kepada orang Bukan Islam, padahal kita
dihalalkan mengucapkan ‘Selamat Sejahtera’ kepada mereka,” kata Faiz dan saya
amat bersetuju.
Walaupun saya termasuk
dalam golongan “Bukan Islam”, rata-rata rakan-rakan dan bekas pelajar – saya
menjadi pensyarah kolej pada 1999-2007 – dari beberapa negara Islam tetap
mengucapkan “Assalamualaikum” apabila kami bertemu.
Saya ada menulis mengenai perkara ini di blog pada Jun 2009 – BACA DI SINI.
Malah, apabila mereka
(yang sudah tamat belajar dan kembali ke negara asal atau ke negara-negara lain
untuk bekerja) menghubungi saya (melalui telefon atau internet), perkara
pertama yang mereka ucapkan adalah “Assalamualaikum,
Bayya/Brother”.
Lokas samastha sukhino bhavantu
Saya juga tidak berasa janggal untuk memberi salam kepada mereka; dan mereka juga akan menjawab salam itu dengan penuh ikhlas. Namun, suasana harmoni seperti ini agak mustahil untuk diamalkan apabila kita bersama rakan-rakan beragama Islam di Malaysia.
Malah, semasa dalam alam persekolahan, saya pernah diberitahu oleh beberapa guru dan rakan-rakan (
Melayu-Islam) bahawa mereka dilarang memberi salam (Assalamualaikum) kepada atau menjawab salam
daripada seorang Bukan Islam.
Walaupun saya pada waktu itu hairan dan tertanya-tanya akan rasional di sebalik “syarat” seperti itu, saya terpaksa mendiamkan diri kerana tidak mahu “dilabel” mempersoalkan “peraturan” agama. Dalam hati, saya tertanya-tanya apakah mungkin Allah (s.w.t) dan
Nabi Muhammad (s.a.w) menghalang umat Islam daripada mengucapkan salam –
Assalamualaikum dalam Bahasa Arab atau Selamat Sejantera dalam Bahasa Malaysia – kepada orang lain.
Tentu sahaja semua itu amat menghairankan bagi saya sebagai seorang pengamal budaya India dan agama Hindu pada usia remaja kerana dalam budaya India-Hindu, kata-kata yang sering diucapkan (dalam Bahasa Sanskrit) adalah “Lokas samastha sukhino bhavantu. Om … Shanti, Shanti, Shanti.”
Saya tidak pandai Bahasa Sanskrit, tetapi apa yang difikirkan dalam hati dan jiwa semasa mengucapkan kata-kata itu adalah (lebih kurang): “Saya doakan supaya semua orang selamat dan gembira. Aman, aman, aman.”
Tentu sahaja “semua orang” yang dimaksudkan merujuk kepada “semua orang” – tanpa mengira kaum, agama, bangsa, sekutu atau seteru. Saya berani katakan bahawa ajaran sebenar dalam Islam juga sama berhubung hal ini. Mustahil Islam mengajar sebaliknya. Hasil pergaulan bersama-sama rakan-rakan beragama Islam, saya amat yakin bahawa pandangan saya dalam hal ini adalah betul.
Dalam komennya, Ustaz Ahmad Baei yang berpengalaman sebagai
editor dan ketua editor majalah-majalah Islamik menjelaskan bahawa dalam Islam,
orang Bukan Islam yang bersetuju hidup damai dengan orang Islam, dianggap sama.
Mengelakkan salah faham, kekeliruan
“Ucapan
‘Assalamualaikum’ bermaksud ucapan selamat sejahtera. Malah ucapan itu sebagai
doa orang Islam kepada orang yang kita bertemu itu, semoga juga dalam
peliharaan Allah,” beliau menjelaskan menerusi komen di blog saya.
Tiga bulan selepas
catatan saya di blog, Khairulhak H
juga menulis komen bersetuju dengan penerangan Ustaz Ahmad Baei. Namun, katanya,
ucapan “Assalamualaikum” tidak digunakan kepada orang Bukan Islam bagi
mengelakkan salah faham, atau mengelirukan orang Bukan Islam yang tidak begitu
faham makna ungkapan dalam Bahasa Arab.
“Berbeza dengan orang
Arab daripada pelbagai agama. Mereka memahami maksud ungkapan tersebut, maka
mereka tidak bermasalah menggunakannya. Apabila ucapan ‘Salam’ atau ‘Selamat
Sejahtera’ dalam Bahasa Malaysia digunakan kepada orang Bukan Islam di negara
kita, ucapan itu lebih difahami dan keikhlasan sapaan itu dapat diterima oleh
kedua-dua belah pihak,” beliau menjelaskan dengan amat baik.
Seorang lagi pengunjung blog yang
menggunakan nama Sisipan Ilham pula
tetap menegaskan bahawa ucapan “Assalamualaikum” adalah khusus “dari Muslim
untuk Muslim”.
“Ungkapan itu jika
digunakan dengan sengaja oleh non-Muslim sedangkan dia tahu ungkapan itu
dilarang bagi non-Muslim, itu samalah seperti mempermainkan ucapan suci itu.
Saya harap tuan memahami, ungkapan ‘Assalamualaikum’ tidak boleh digunakan
sewenang-wenangnya. Hanya dari Muslim untuk Muslim. Umat Islam digalakkan
memberi salam dan mengucapkan selamat kepada kaum lain dengan pelbagai cara
selain ‘Assalamualaikum’,” katanya.
Berbalik pada paparan
di ruangan status pada 28 Disember 2012 mengenai topik yang dikemukakan oleh Faiz,
saya nyatakan bahawa situasi yang didedahkan itu menjadi bukti nyata bahawa
kejahilan masih menebal di negara bertuah ini.
Fiqri Razak
pula tampil menegaskan bahawa “orang Islam dilarang mendahulukan salam kepada
orang Bukan Islam”. Sementara pengarah filem Lelaki Komunis Terakhir (2006), Amir
Muhammad berpandangan, “masyarakat kita hanya mementingkan hak cipta atau copyright dalam hal-hal sebegini”.
Masyarakat 70-an, 80-an tidak fanatik
Pandangan juga
diperoleh daripada rakan-rakan Bukan Islam. Vijay Saravanen Vasudevan misalnya mengimpau pengalaman di bangku
sekolah di mana seorang guru meminta mereka (pelajar) mengucapkan “Selamat
Sejahtera” apabila masuk ke kelas.
“Beliau mengajar kami
persamaan mengucapkan ‘Assalamualaikum’ dan ‘Selamat Sejahtera’. Oleh kerana
kelas mempunyai pelajar pelbagai kaum dan agama, kami semua termasuk pelajar
Islam diminta hanya mengucapkan ‘Selamat Sejahtera, Cikgu’. Saya rasa,
masyarakat kita pada tahun 70-an dan 80-an tidak fanatik seperti sekarang,”
katanya.
Dalam pada masyarakat dan pemimpin
tertentu begitu menekankan syarat bahawa ucapan “Assalamualaikum” adalah khusus
bagi sesama Islam, nampak gayanya, atas alasan politik, ucapan “Salam 7Malaysia” (atau seumpamanya) tidak pula mendapat
apa-apa teguran daripada “pakar” berkenaan. Maklumlah, apa-apa sahaja yang
dilakukan oleh politikus dalam kerajaan pusat tidak akan berani ditegur oleh
juak-juak tertentu.
Dalam hal ini, Zul Fikri Zamir turut mengingatkan bahawa ucapan “Salam 1Malaysia”
diucapkan di mana-mana dan oleh sesiapa sahaja tanpa mengira kaum dan agama.
Beliau juga terkejut dengan pandangan pihak tertentu bahawa orang Islam
dilarang mendahulukan salam kepada orang Bukan Islam.
“Bagaimanakah pula dengan ‘Salam
Sejahtera’ dan seumpamanya yang menjadi amalan di negara kita? Bukankah
sepatutnya semua itu juga haram dan dilarang juga jika mengikut panduan dan
syarat yang diletakkan?” Demikian Faiz Jamaluddin bertanya penuh retorik.
Memanglah ini suatu topik yang
mungkin dianggap terlalu sensitif oleh golongan tertentu. Namun, dalam suasana
kepelbagaian adat, budaya dan agama di Malaysia – di mana Islam adalah agama
rasmi – dialog berhubung topik ini adalah amat wajar. Malah perlu digalakkan
demi kebaikan bersama. Demi memastikan kesucian Islam tidak dirosakkan golongan
“pakar” yang entah apa-apa.
Sekadar contoh mudah, ramai yang
mengatakan bahawa orang Islam tidak boleh mendahulukan salam (“semoga
sejahteralah anda” atau “selamat sejahtera” atau “Assalamualaikum”) kepada
orang Bukan Islam. Tetapi boleh pula menerima salam daripada orang Bukan Islam.
Maka, betapa negatif gambaran
(dakwah songsang) yang diberikan tentang Islam dan umat Islam! Bahawa orang
Islam mahu orang lain mendoakan kesejahteraan mereka tetapi mereka kononnya
“dilarang” mendoakan kesejahteraan orang lain; walaupun orang itu tidak
memusuhi Islam. Saya percaya bahawa Islam tidak pernah mengajar perkara seperti
itu. Wallahu
A’lam. – Baca juga satu lagi makalah
berkaitan topik sama DI SINI. Baca juga: Demi Allah!
[Uthaya
Sankar SB seorang penganut agama Hindu yang menjiwai ajaran-ajaran mulia dalam
semua agama. Makalah ini ditulis pada 28 Disember 2012 dan disiarkan di Free Malaysia Today pada 31 Disember 2012.
© Uthaya Sankar SB
2012. Harap maklum bahawa anda membaca
makalah ini serta segala kandungan di Blog Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]