19 Feb 2013

Assalamualaikum

[Suatu topik sensitif yang tetap wajar dibincangkan secara sihat dalam konteks Bangsa Malaysia.]
 
Saya sering menggunakan laman rangkaian sosial Facebook untuk berbincang, berbahas dan berdialog mengenai pelbagai topik yang sesuai dan wajar dibincangkan secara terbuka bersama-sama rakan-rakan pelbagai kaum, agama, pegangan politik serta latar pendidikan dan kerjaya.
 
Saya amat selesa berbuat demikian kerana rakan-rakan saya di Facebook adalah golongan berfikiran matang dan mampu berhujah secara matang juga. Cuma, saya sentiasa meletakkan syarat bahawa komen-komen perlu menggunakan bahasa yang betul dari segi ejaan, tanda baca dan kesantunan – BACA DI SINI.
 
Walaupun Perdana Menteri tercinta, Datuk Seri Najib Razak dilaporkan berkata “debat bukan budaya kita” (22 Jun 2012), topik terbaru yang dibincangkan adalah berdasarkan topik yang pada asalnya dikemukakan oleh seorang rakan, Faiz Jamaluddin, pada ruangan statusnya pada 28 Disember 2012.
 
Pemuda itu menghuraikan bahawa “Assalamualaikum” atau “Salam” merupakan ucapan doa kesejahteraan, di mana “Assalamualaikum” sama ertinya dengan “Selamat Sejahtera”.
 
Untuk berlaku adil, tentu sahaja kita boleh membuat rujukan dan semakan dalam Kamus Dewan jika tidak percaya pada huraian Faiz. Frasa “Assalamualaikum” dalam Bahasa Arab membawa makna “Selamat Sejahtera” dalam Bahasa Malaysia. Atau “Vanakam” dalam Bahasa Tamil.
 
“Anehnya, di Malaysia, kita diharamkan untuk mengucapkan ‘Assalamualaikum’ kepada orang Bukan Islam, padahal kita dihalalkan mengucapkan ‘Selamat Sejahtera’ kepada mereka,” kata Faiz dan saya amat bersetuju.
 
Walaupun saya termasuk dalam golongan “Bukan Islam”, rata-rata rakan-rakan dan bekas pelajar – saya menjadi pensyarah kolej pada 1999-2007 – dari beberapa negara Islam tetap mengucapkan “Assalamualaikum” apabila kami bertemu. Saya ada menulis mengenai perkara ini di blog pada Jun 2009 – BACA DI SINI.
 
Malah, apabila mereka (yang sudah tamat belajar dan kembali ke negara asal atau ke negara-negara lain untuk bekerja) menghubungi saya (melalui telefon atau internet), perkara pertama yang mereka ucapkan adalah “Assalamualaikum, Bayya/Brother”.
 
Lokas samastha sukhino bhavantu



Saya juga tidak berasa janggal untuk memberi salam kepada mereka; dan mereka juga akan menjawab salam itu dengan penuh ikhlas. Namun, suasana harmoni seperti ini agak mustahil untuk diamalkan apabila kita bersama rakan-rakan beragama Islam di Malaysia.





Malah, semasa dalam alam persekolahan, saya pernah diberitahu oleh beberapa guru dan rakan-rakan (
Melayu-Islam) bahawa mereka dilarang memberi salam (Assalamualaikum) kepada atau menjawab salam daripada seorang Bukan Islam.



Walaupun saya pada waktu itu hairan dan tertanya-tanya akan rasional di sebalik “syarat” seperti itu, saya terpaksa mendiamkan diri kerana tidak mahu “dilabel” mempersoalkan “peraturan” agama. Dalam hati, saya tertanya-tanya apakah mungkin Allah (s.w.t) dan

Nabi Muhammad (s.a.w) menghalang umat Islam daripada mengucapkan salam – Assalamualaikum dalam Bahasa Arab atau Selamat Sejantera dalam Bahasa Malaysia – kepada orang lain.



Tentu sahaja semua itu amat menghairankan bagi saya sebagai seorang pengamal budaya India dan agama Hindu pada usia remaja kerana dalam budaya India-Hindu, kata-kata yang sering diucapkan (dalam Bahasa Sanskrit) adalah “Lokas samastha sukhino bhavantu. Om … Shanti, Shanti, Shanti.”





Saya tidak pandai Bahasa Sanskrit, tetapi apa yang difikirkan dalam hati dan jiwa semasa mengucapkan kata-kata itu adalah (lebih kurang): “Saya doakan supaya semua orang selamat dan gembira. Aman, aman, aman.”





Tentu sahaja “semua orang” yang dimaksudkan merujuk kepada “semua orang” – tanpa mengira kaum, agama, bangsa, sekutu atau seteru. Saya berani katakan bahawa ajaran sebenar dalam Islam juga sama berhubung hal ini. Mustahil Islam mengajar sebaliknya. Hasil pergaulan bersama-sama rakan-rakan beragama Islam, saya amat yakin bahawa pandangan saya dalam hal ini adalah betul.


 
Dalam komennya, Ustaz Ahmad Baei yang berpengalaman sebagai editor dan ketua editor majalah-majalah Islamik menjelaskan bahawa dalam Islam, orang Bukan Islam yang bersetuju hidup damai dengan orang Islam, dianggap sama.
 
Mengelakkan salah faham, kekeliruan
 
“Ucapan ‘Assalamualaikum’ bermaksud ucapan selamat sejahtera. Malah ucapan itu sebagai doa orang Islam kepada orang yang kita bertemu itu, semoga juga dalam peliharaan Allah,” beliau menjelaskan menerusi komen di blog saya.
 
Tiga bulan selepas catatan saya di blog, Khairulhak H juga menulis komen bersetuju dengan penerangan Ustaz Ahmad Baei. Namun, katanya, ucapan “Assalamualaikum” tidak digunakan kepada orang Bukan Islam bagi mengelakkan salah faham, atau mengelirukan orang Bukan Islam yang tidak begitu faham makna ungkapan dalam Bahasa Arab.
 
“Berbeza dengan orang Arab daripada pelbagai agama. Mereka memahami maksud ungkapan tersebut, maka mereka tidak bermasalah menggunakannya. Apabila ucapan ‘Salam’ atau ‘Selamat Sejahtera’ dalam Bahasa Malaysia digunakan kepada orang Bukan Islam di negara kita, ucapan itu lebih difahami dan keikhlasan sapaan itu dapat diterima oleh kedua-dua belah pihak,” beliau menjelaskan dengan amat baik.




Seorang lagi pengunjung blog yang menggunakan nama Sisipan Ilham pula tetap menegaskan bahawa ucapan “Assalamualaikum” adalah khusus “dari Muslim untuk Muslim”.
 
“Ungkapan itu jika digunakan dengan sengaja oleh non-Muslim sedangkan dia tahu ungkapan itu dilarang bagi non-Muslim, itu samalah seperti mempermainkan ucapan suci itu. Saya harap tuan memahami, ungkapan ‘Assalamualaikum’ tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya. Hanya dari Muslim untuk Muslim. Umat Islam digalakkan memberi salam dan mengucapkan selamat kepada kaum lain dengan pelbagai cara selain ‘Assalamualaikum’,” katanya.
 
Berbalik pada paparan di ruangan status pada 28 Disember 2012 mengenai topik yang dikemukakan oleh Faiz, saya nyatakan bahawa situasi yang didedahkan itu menjadi bukti nyata bahawa kejahilan masih menebal di negara bertuah ini.
 
Fiqri Razak pula tampil menegaskan bahawa “orang Islam dilarang mendahulukan salam kepada orang Bukan Islam”. Sementara pengarah filem Lelaki Komunis Terakhir (2006), Amir Muhammad berpandangan, “masyarakat kita hanya mementingkan hak cipta atau copyright dalam hal-hal sebegini”.
 
Masyarakat 70-an, 80-an tidak fanatik
 
Pandangan juga diperoleh daripada rakan-rakan Bukan Islam. Vijay Saravanen Vasudevan misalnya mengimpau pengalaman di bangku sekolah di mana seorang guru meminta mereka (pelajar) mengucapkan “Selamat Sejahtera” apabila masuk ke kelas.
 
“Beliau mengajar kami persamaan mengucapkan ‘Assalamualaikum’ dan ‘Selamat Sejahtera’. Oleh kerana kelas mempunyai pelajar pelbagai kaum dan agama, kami semua termasuk pelajar Islam diminta hanya mengucapkan ‘Selamat Sejahtera, Cikgu’. Saya rasa, masyarakat kita pada tahun 70-an dan 80-an tidak fanatik seperti sekarang,” katanya.
 
Dalam pada masyarakat dan pemimpin tertentu begitu menekankan syarat bahawa ucapan “Assalamualaikum” adalah khusus bagi sesama Islam, nampak gayanya, atas alasan politik, ucapan “Salam 7Malaysia” (atau seumpamanya) tidak pula mendapat apa-apa teguran daripada “pakar” berkenaan. Maklumlah, apa-apa sahaja yang dilakukan oleh politikus dalam kerajaan pusat tidak akan berani ditegur oleh juak-juak tertentu.
 
Dalam hal ini, Zul Fikri Zamir turut mengingatkan bahawa ucapan “Salam 1Malaysia” diucapkan di mana-mana dan oleh sesiapa sahaja tanpa mengira kaum dan agama. Beliau juga terkejut dengan pandangan pihak tertentu bahawa orang Islam dilarang mendahulukan salam kepada orang Bukan Islam.
 
“Bagaimanakah pula dengan ‘Salam Sejahtera’ dan seumpamanya yang menjadi amalan di negara kita? Bukankah sepatutnya semua itu juga haram dan dilarang juga jika mengikut panduan dan syarat yang diletakkan?” Demikian Faiz Jamaluddin bertanya penuh retorik.
 
Memanglah ini suatu topik yang mungkin dianggap terlalu sensitif oleh golongan tertentu. Namun, dalam suasana kepelbagaian adat, budaya dan agama di Malaysia – di mana Islam adalah agama rasmi – dialog berhubung topik ini adalah amat wajar. Malah perlu digalakkan demi kebaikan bersama. Demi memastikan kesucian Islam tidak dirosakkan golongan “pakar” yang entah apa-apa.
 
Sekadar contoh mudah, ramai yang mengatakan bahawa orang Islam tidak boleh mendahulukan salam (“semoga sejahteralah anda” atau “selamat sejahtera” atau “Assalamualaikum”) kepada orang Bukan Islam. Tetapi boleh pula menerima salam daripada orang Bukan Islam.
 
Maka, betapa negatif gambaran (dakwah songsang) yang diberikan tentang Islam dan umat Islam! Bahawa orang Islam mahu orang lain mendoakan kesejahteraan mereka tetapi mereka kononnya “dilarang” mendoakan kesejahteraan orang lain; walaupun orang itu tidak memusuhi Islam. Saya percaya bahawa Islam tidak pernah mengajar perkara seperti itu. Wallahu A’lam. – Baca juga satu lagi makalah berkaitan topik sama DI SINI. Baca juga: Demi Allah!
 
[Uthaya Sankar SB seorang penganut agama Hindu yang menjiwai ajaran-ajaran mulia dalam semua agama. Makalah ini ditulis pada 28 Disember 2012 dan disiarkan di Free Malaysia Today pada 31 Disember 2012. © Uthaya Sankar SB 2012. Harap maklum bahawa anda membaca makalah ini serta segala kandungan di Blog Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]