[Seorang yang mengaku sahabat, berpura-pura untuk merealisasikan agenda tersembunyi untuk diri sendiri.]
Saya secara penuh sedar
suka menghasilkan “faksyen” (faction) iaitu
gabungan “fakta & fiksyen” (fact
& fiction). Atau lebih tepat lagi, fakta (kisah benar) yang disajikan
dalam bentuk fiksyen.
Tentu sahaja karya
berbentuk faksyen tidak mudah difahami; khususnya oleh pembaca yang tidak
mengetahui sumber (fakta) yang menjadi asas kepada penghasilan karya berkenaan.
Salah sebuah faksyen
yang saya tulis dan selalu juga “diperkatakan orang” – secara positif dan juga
negatif – adalah cerpen “Kita Sudah Gagal, Raja” yang tersiar di akhbar Mingguan Malaysia (22 Februari 2004) sebelum dimuatkan dalam buku Rudra Avatara (2008).
Sewaktu menyorot cerpen
berkenaan di akhbar Mingguan Malaysia
(7 Mac 2004), pengarang terkenal, Zaharah Nawawi mengakui bahawa cerpen itu menuntut
pembaca untuk meneliti dan mengulang baca beberapa kali.
“Sekiranya tidak,
mereka tidak akan dapat memahami ‘Kita Sudah Gagal, Raja’ yang agak keliru dan
mengelirukan. Dalam keserabutan penyampaiannya, cerpen ini memaparkan kisah
manusia yang memakai topeng kebaikan bagi melindungi hasrat dan agenda
kejahatannya,” katanya.
Rakan-rakan dan kenalan
serta peserta bengkel penulisan cerpen anjuran Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) sering juga mahu tahu dari mana saya
mendapat idea bagi cerpen berkenaan. Mereka mahu tahu siapakah “Raja” itu.
Sesungguhnya cerpen itu
adalah sebuah faksyen yang mengangkat pengalaman saya “ditikam dari belakang”
oleh seorang individu yang (pada mulanya) amat saya hormati dan kagumi. Dia
juga tampil mewartakan sendiri dirinya sebagai “sahabat karib” (best friend) saya.
“Seperti dalam
cerpen ini, seorang yang mengaku sahabat, berpura-pura memperlihatkan kebaikan
dan keintiman semata-mata untuk merealisasikan agenda tersembunyi untuk diri
sendiri.” Demikian Zaharah mengulas dan memang tepat sekali.
Watak bernama “Raja”
(bukan nama sebenar) mula-mula menghubungi saya pada 1998 untuk membantunya
dalam menyelesaikan tesis yang sedang diusahakannya. Saya turut membantunya
untuk menyalurkan hasil tulisannya ke akhbar dan majalah.
Dipendekkan
cerita, dia mula dikenali orang sebagai penulis. Namun, menjelang tahun 2003,
Raja ternyata sedang membina impian untuk menjadi penulis paling terkenal. Cara
paling mudah yang dapat difikirkannya adalah dengan “mencantas” saya.
Hasil maklumat
yang saya terima kemudian daripada rakan-rakan editor di beberapa akhbar dan
majalah arus perdana, Raja mula mengutuk saya dan Kavyan sejak 2002 dalam usaha
liciknya mengangkat diri sendiri sebagai penulis yang lebih baik daripada
mana-mana penulis dalam Kavyan.
“Uthaya merungkai
satu per satu kebejatan sekelompok manusia yang suka dan pandai mengampu, licik
mengatur strategi, bijak menjatuhkan kawan dan hebat dalam berkonspirasi. ‘Kita Sudah Gagal, Raja’ lantang
melontarkan sindiran tajam, pedas dan sinis kepada jenis manusia yang bersikap
gunting dalam lipatan.”
Demikian Zaharah
menyorot cerpen berkenaan dalam tulisannya di akhbar Mingguan Malaysia. Namun, saya percaya bahawa pengarang wanita
terkenal itu tidak tahu ada “kisah sebenar” (fakta) di sebalik penghasilan
cerpen berkenaan. Apa pun, ulasan yang dilakukan memang amat tepat!
Dalam cerpen
“Kita Sudah Gagal, Raja” ditampilkan watak Raja yang mahu menggagalkan usaha
seorang “sahabat karib” mencipta rekod dalam The Malaysia Book of Records.
Tentu sahaja
kisah ini secara nyata merujuk pada usaha Kavyan mencipta rekod menerusi acara
“Baca Cerpen Kavyan” pada tahun 2003.
Maka, pembaca yang tahu mengenai “Baca Cerpen Kavyan” akan lebih mudah memahami
faksyen yang disajikan.
Sebuah faksyen
tidak pula berciri parodi atau satira. Novel Hanuman: Suara Hati yang disiarkan
secara bersiri di Free Malaysia Today
(Februari – Ogos 2012) adalah sebuah parodi retorik. Kisah-kisah Faksyen Pulau Cinta yang turut
disiarkan di Free Malaysia Today
(April – Mei 2011) pula berciri faksyen berunsur satira.
Dalam Bahasa
Inggeris, ada istilah “inside joke”
yang merujuk pada lawak yang hanya difahami oleh kelompok tertentu yang tahu
kisah di sebalik lawak berkenaan. Kelompok terbabit mungkin kecil dan terhad,
atau sangat besar tetapi masih terhad.
Sebagaimana “inside joke”, sebuah faksyen tidak boleh
diharapkan supaya difahami sepenuhnya oleh semua orang. Begitu juga dengan
cerpen “Kita Sudah Gagal, Raja” yang boleh dibaca dan difahami pada lapis makna
berbeza oleh khalayak yang berbeza.
Sebaik sahaja
cerpen itu tersiar pada Februari 2004, Raja segera menelefon seorang rakannya
di utara (Kedah) dan mengadu bahawa karya berkenaan adalah pendedahan terbuka mengenai
dirinya. Lalu, rakan itu pula menelefon saya untuk mendapatkan pengesahan. Saya
katakan bahawa terpulanglah kepada pembaca untuk memikirkan soal itu.
Sesungguhnya,
faksyen berkenaan adalah berdasarkan fakta dan kisah benar. Raja turut
mendaftar untuk mengambil bahagian dalam acara “Baca Cerpen Kavyan” tetapi
tidak muncul pada tarikh acara berlangsung. Sama seperti watak Raja dalam
cerpen itu “sengaja tidak pergi” sebaliknya “duduk di rumah dan membayangkan
adegan Saif dan rakan-rakannya membunuh pemuda itu”.
Melalui pengakuan
Raja sendiri kemudian, dia kononnya telah dihubungi oleh seorang individu
bernama Saif dari “kumpulan” tertentu yang berjanji mahu “mencantas Uthaya dan
mengangkat awak” sebagai tokoh penulis terkemuka. [baca di sini]
Kononnya, menurut
Raja, hampir 20 wakil kumpulan itu sudah turut mendaftar sebagai peserta “Baca Cerpen
Kavyan” menerusi e-mel tetapi tidak akan muncul pada tarikh acara. Melalui cara
itu, mereka akan “berjaya” menggagalkan rancangan Kavyan mencatat nama dalam The Malaysia Book of Records.
“Tetapi pada
pengakhiran cerita, kita dikejutkan dengan pernyataan lain iaitu semua watak
yang diwujudkan untuk berkonspirasi iaitu Raja, Rani dan Saif semata-mata
imaginasi yang dicipta dalam dunia fantasi diri watak utama.”
Demikian huraian
Zaharah dan memang begitulah juga yang berlaku dalam realiti. Raja membuat
pengakuan kepada saya selepas itu bahawa “kumpulan ultra Melayu itu” (katanya)
telah berjanji kepadanya bahawa mereka akan menggagalkan “Baca Cerpen Kavyan”
dan sekali gus “menghancurkan” nama baik Kavyan dalam dunia sastera tanah air.
Perlu dinyatakan
bahawa acara “Baca Cerpen Kavyan” berlangsung
tanpa henti selama 96 jam 32 minit dan berjaya mencatat nama dalam The Malaysia Book of Records. Tidak pula
timbul soal 20 wakil “kumpulan” tertentu mensabotaj dengan cara mendaftar
sebagai peserta tetapi tidak hadir.
Hanya seorang individu
yang mendaftar sebagai peserta tetapi tidak hadir. Saya percaya anda sendiri
boleh mengagak siapakah orang itu. Raja, Rani, Saif dan Rakan-rakan (RRSR) adalah orang yang sama.
Dalam sorotannya,
Zaharah menyimpulkan: “Melalui cerpen ini, Uthaya mengingatkan bahawa setiap
impian biar sebesar gunung atau sekecil semut; tidak akan menjadi kenyataan
andai hanya dirangka dan disimpan dalam ilusi, tanpa sebarang tindakan susulan.”
Ternyata
begitulah juga dengan watak Raja. Apabila gagal “memusnahkan” Kavyan pada 2003,
dia berpura-pura bertaubat tetapi sebenarnya bertukar menjadi “Raja Se(ri)gala Bahasa” untuk
meneruskan misinya.
Menjelang hujung
tahun 2010, dia bersubahat pula dengan Encik Salib, Cik Timun Busuk, Penerima Anugerah Laut, dan Encik Limau (“Tokoh Lidah Bercabang”) bagi merancang
siri baru agenda jahat untuk “menghancurkan Kavyan dan membunuh Uthaya”.
Tetapi itu kisah
dalam faksyen yang lain pula!
(Kavyan diasaskan pada 22 Ogos 1999 hasil
perbincangan sekumpulan penulis kaum India seperti Uthaya Sankar SB, Retna Devi Balan, M. Mahendran dan
Ramakrishnan Ramasamy. Makalah ini ditulis pada 17 Ogos 2012 dan disiarkan di Free Malaysia Today pada 20 Ogos 2012. © Uthaya Sankar SB
2012. Sila KLIK DI SINI
untuk membaca ulasan Zaharah Nawawi.)