20 MEI 2012 –
Tidak lama selepas mula bekerja, Chellam melahirkan anak keempat. Anak itu juga perempuan.
“Tak guna! Semuanya anak perempuan. Memang
awak dan anak-anak awak sangat sial,” marah Selvam.
Chellam hanya mampu bersabar. Dia bertekad
untuk membuktikan bahawa anak-anaknya tidak membawa sial.
Dia bertekad untuk membuktikan kepada semua
bahawa anak-anaknya boleh berjaya dalam hidup.
Untuk itu, pelajaran adalah penting. Untuk
menghantar anak-anak ke sekolah, Chellam perlukan duit. Untuk mendapatkan duit,
Chellam mesti bekerja.
Seminggu sahaja selepas anak keempat lahir,
Chellam memutuskan untuk pergi bekerja semula. Walaupun badannya sakit, dia
tetap bekerja keras. Dia sanggup berkorban demi anak-anaknya.
Akhirnya, Chellam mampu menghantar
anak-anaknya ke sekolah. Kavita, Kogila dan Kannama terasa seronok kerana dapat
belajar.
Mereka memang suka pergi ke sekolah. Mereka
belajar Bahasa Tamil, Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris.
“Emak, hari ini cikgu ajar peribahasa Tamil,”
kata Kavita pada suatu hari apabila pulang dari sekolah.
“Peribahasa apa?” Tanya Chellam dengan
mesra walaupun dia sangat penat kerana bekerja keras.
“Cikgu mengatakan bahawa kita boleh menukar
nasib dengan akal,” kata Kavita dengan bangga lalu menyebut peribahasa itu
dalam Bahasa Tamil.
Chellam tersenyum mendengar peribahasa itu.
Dia juga pernah pergi ke sekolah dan belajar peribahasa itu. Akan tetapi hanya
sekarang Chellam benar-benar sedar akan kepentingan peribahasa Tamil yang
sangat bermakna itu.
“Betul,” kata Chellam kepada Kavita,
Kogila, Kannama dan Karpagam. “Kalau kita ada akal, kita boleh mengubah nasib
kita.”
“Kita sangat miskin. Bolehkah kita mengubah
hidup kita?” Tanya Kogila.
“Tentulah boleh,” jawab Kavita. “Sebab
itulah kita mesti rajin belajar. Kalau kita rajin belajar, kita boleh jadi
pandai. Kita akan ada banyak ilmu. Selepas itu, kita tentu boleh mengubah nasib
keluarga kita.”
“Betul!” Kogila dan Kannama menyahut hampir
serentak.
Chellam benar-benar terharu mendengar
kata-kata anak-anaknya. Dia kagum dengan kebijaksanaan anak-anaknya.
Lalu, Chellam bertekad untuk bekerja lebih
keras supaya anak-anaknya boleh belajar tinggi. Pada waktu siang, Chellam
menyapu jalan. Pada sebelah malam, dia bekerja di kedai makan.
“Saya kini hidup untuk anak-anak saya
sahaja,” kata Chellam dalam hati sambil meneruskan kerja mencuci
pinggan-mangkuk di kedai makan.
“Saya mahu buktikan bahawa anak-anak
perempuan tidak membawa sial. Saya mahu anak-anak saya mengubah nasib buruk
yang menimpa keluarga ini,” bisik hatinya.
Akan tetapi, apakah impian Chellam bakal
menjadi kenyataan? Bagaimana pula dengan Selvam yang menagih dadah dan menghina
anak-anak perempuan? Semuanya masih menjadi suatu persoalan. – Bersambung
(Uthaya Sankar SB menulis cerita ini berdasarkan kisah benar yang
diceritakan kepadanya beberapa tahun lalu. Nama-nama watak ditukar atas
permintaan individu terbabit. © Uthaya Sankar SB. Disiarkan di The Malaysian Insider pada 20 Mei 2012.)