Kini, selepas dua dekad, saya mula menyedari keperluan menterjemah karya-karya saya – sebagai permulaan – ke Bahasa Inggeris dan Tamil.
Umum mengetahui bahawa walaupun saya turut menguasai Bahasa Inggeris, saya tetap memilih untuk menghasilkan cerpen, novel, sajak dan makalah dalam Bahasa Malaysia.
Hanya apabila timbul keperluan dan keadaan tidak dapat dielakkan, barulah saya menulis artikel dan kertas kerja dalam Bahasa Inggeris.
Sejak 20 tahun lalu juga, saya sering ditanya wartawan, mengapa saya tidak menulis karya kreatif secara langsung dalam Bahasa Inggeris yang merupakan bahasa kedua saya.
Soalan mereka adalah amat wajar kerana walaupun saya menghasilkan cerpen dalam Bahasa Malaysia, proses kreatif – termasuk pengeraman idea – dalam minda menggunakan Bahasa Inggeris secara spontan.
Ya, saya berfikir dalam Bahasa Inggeris. Namun, hakikat itu tidak menjadi alasan – atau penghalang – untuk saya menulis dan bercakap menggunakan Bahasa Malaysia yang betul.
Begitu juga dalam soal Bahasa Tamil. Tahap penguasaan dan pertuturan saya dalam bahasa itu berada pada tahap yang “boleh dibanggakan”.
Malah, saya sering mengikuti perkembangan sastera Tamil di Malaysia selain selalu terlibat dalam pelbagai aktiviti/perbincangan melibatkan penulis Tamil tempatan.
Sebenarnya, sejak 15 tahun lalu, ada beberapa cerpen saya diterjemah ke Bahasa Tamil untuk disiarkan di akhbar/majalah Bahasa Tamil dan juga menerusi siaran radio yang kini dikenali sebagai MinnalFM.
Walaupun kebanyakan cerpen saya mengangkat tema dan permasalahan dalam kalangan masyarakat India di Malaysia, karya saya masih dalam Bahasa Malaysia.
Rasional saya amat mudah. Pertama, sudah ada begitu ramai penulis tempatan yang menghasilkan cerpen Bahasa Tamil, lalu tidak timbul keperluan untuk saya “masuk” ke lapangan itu.
Kedua, memandangkan saya menulis menggunakan Bahasa Malaysia, maka cerpen saya mampu dibaca, difahami dan dihayati masyarakat pelbagai kaum di seluruh Malaysia (termasuk di Semenanjung Malaysia).
Sejak 11 Oktober 2011, saya meletakkan satu ruangan khas bagi artikel Bahasa Inggeris di blog saya. [LIHAT DI SINI]
Hal ini bukan bermakna saya sudah hilang “keyakinan” dan “kepercayaan” terhadap kemampuan Bahasa Malaysia. Sama sekali tidak!
Sebaliknya, seperti yang saya nyatakan pada blog, ruangan khas artikel Bahasa Inggeris adalah khusus bagi warga luar negara yang tidak tahu Bahasa Malaysia.
Semasa saya menyertai Kuala Lumpur Writers Unlimited Tour (10-12 Jun 2011), saya membaca petikan cerpen (“Cat”) dan sajak (“Usah Gentar Tinggal di Pondok Sendiri”) dalam Bahasa Malaysia. Ramai yang berminat membaca karya saya dalam terjemahan Bahasa Inggeris.
Kemudian, apabila menyertai Ubud Writers & Readers Festival (5-9 Oktober 2011) di Bali, Indonesia, keperluan menterjemah karya-karya saya ke Bahasa Inggeris semakin “mendesak”.
Sewaktu menyertai World Tamil Writers Conference di Singapura (28-30 Oktober 2011) pula, saya menyedari betapa khalayak pembaca karya Bahasa Tamil berada bukan hanya di Malaysia dan Tamil Nadu, India tetapi di seluruh dunia.
Maka, pada awal November 2011, saya memulakan usaha mendapatkan bantuan beberapa rakan bagi menterjemah cerpen-cerpen saya ke Bahasa Inggeris dan Tamil.
Sebagai permulaan, saya sendiri menterjemah beberapa cerpen saya ke Bahasa Inggeris dan petikannya dimuatkan di blog untuk tatapan umum.
Sambutan yang diterima amat menggalakkan. Antara individu yang turut tampil menterjemah cerpen saya ke Bahasa Inggeris ialah Chris Arjun yang menterjemahkan “Catatan Sipahi Muda” sebagai “Notes of a Young Sepoy”.
Emmy Hermina Nathasia dari Ipoh pula membantu menterjemah “Surat Dari Madras” sebagai “Letters from Madras”.
“Menterjemah cerpen itu membawa kenangan saya menterjemah buku karya Roald Dahl dan Guy de Maupassant sebagai projek tahun tiga semasa mengikuti pengajian Terjemahan dan Interpretasi di USM,” katanya.
Emmy turut memberitahu saya bahawa semasa melakukan kerja terjemahan cerpen itu, beliau merasakan bahawa beliau perlu benar-benar menterjemah dengan baik bagi mencapai sasaran pemahaman pembaca dan sesuai dengan kehendak pengarang asal.
“Saya seronok menterjemahkannya dan merasakan bahawa jika diberi peluang menterjemah buku pengarang lain, saya tidak keberatan menerima tawaran itu,” kata Emmy yang melakukan kerja-kerja terjemahan artikel sejarah, politik, sosiologi dan falsafah daripada Bahasa Inggeris kepada Bahasa Malaysia sejak Januari 2008.
Terjemahan cerpen ke Bahasa Tamil pula dibantu oleh Hemantha Kumar Nagappan, Salma Dhineswari dan Anurada Murugesan.
Petikan cerpen “Paurnami” yang diterjemah oleh Salma daripada cerpen “Cerita Paurnami” dibaca oleh lebih 125 orang dalam masa dua hari sebaik dimuatkan di blog saya pada 8 Disember 2011.
Menceritakan mengenai pengalamannya menterjemah cerpen itu, Salma berkata, kehadiran bulan purnama (“paurnami”) memang selalu menggembirakannya.
“Menurut Sasterawan Negara Datuk Anwar Ridhwan, sudut pandangan adalah cara bagaimana pembaca dihidangkan dengan bahan cerita atau bagaimana pengarang memilih cara terbaik untuk menyampaikan cerita.
“Rasa-rasanya saya dapat mendalami watak pencerita Kaamini sebaik mungkin semasa menterjemah cerpen ini kerana bagi saya, teknik sudut penceritaan orang pertama adalah lebih baik untuk menjadikan cerita lebih realistik,” katanya yang sedang belajar di Fakulti Bahasa dan Linguistik, Universiti Malaya.
Anurada pula mengakui bahawa pengalaman menterjemah cerpen “(2) Post-mortem” memang cukup mencabar.
“Tetapi saya bersyukur kerana mendapat peluang untuk membaca, menghayati dan menterjemah sebuah cerpen Bahasa Malaysia ke Bahasa Tamil. Kali terakhir saya membaca karya fiksyen Bahasa Malaysia adalah sekitar 12 tahun lalu,” katanya yang tinggal di Ipoh dan pernah menjadi guru pelatih di Kuala Terengganu baru-baru ini.
Salma pula menceritakan bahawa beliau menghadapi kesukaran semasa menterjemahkan “makna bahasa”.
“Kesukaran dihadapi kerana tiada kata-kata bahasa sasaran yang sepadan dengan bahasa sumber. Contohnya perumpamaan, walaupun terdapat persamaan tetapi ada perbezaan mengikut konteks budaya.
“Saya membaca cerpen itu berulang kali sebelum melakukan terjemahan kerana mahu memastikan pembaca mudah memahami versi Bahasa Tamil. Saya tidak hanya menterjemah ayat tetapi menterjemah makna ayat asal mengikut prinsip terjemahan,” kata Salma yang juga aktif menghasilkan karya Bahasa Tamil.
Bagi Anurada pula, cabaran yang paling ketara adalah mencari dan menterjemah istilah tertentu ke Bahasa Tamil.
“Hal ini memandangkan banyak istilah khusus dalam cerpen ‘(2) Post-mortem’ tidak ada dalam penggunaan Bahasa Tamil seharian. Malah, ada frasa dan istilah tertentu yang terpaksa diterjemahkan dengan menghasilkan frasa sendiri dalam Bahasa Tamil mengikut kesesuaian konteks cerita,” katanya.
Beberapa lagi individu sedang melakukan terjemahan beberapa lagi cerpen saya ke Bahasa Tamil. Hasil terjemahan oleh Khulalhalini Serastalin, Shanmila Lingamoorthy, Nitya Arumugam, Elavarsi Sivashanmugam dan beberapa lagi sukarelawan akan dimuatkan di blog saya sepanjang bulan ini.
Saya juga semakin berminat menterjemah sendiri cerpen-cerpen saya ke Bahasa Inggeris, khusus bagi membolehkan karya-karya saya turut dibaca khalayak di luar negara.