18 Dec 2011

Kerajaan perlu tegas pertahan dasar, kata SU Agung Pena

KUALA LUMPUR, 17 Dis 2011 — Persatuan Penulis Nasional (Pena) kecewa dengan keputusan Putrajaya menarik balik pengguna novel kontroversi “Interlok” sebagai silibus sastera sambil menyifatkan perkembangan terbaru menunjukkan kerajaan tidak tegas dalam polisinya.

Setiausaha Agung Pena, Syed Mohd Zakir Syed Othman berkata, keputusan itu, yang diumumkan oleh pemimpin-pemimpin MIC semalam, tidak harus berlaku.


“Kementerian Pelajaran seharusnya tegas ... kita mengambil keputusan ‘flip-flop’, kata beliau yang masih menunggu keputusan rasmi kerajaan berkenaan keputusan.


“Kami akan membuat pendirian apabila adanya kenyataan rasmi daripada Kementerian Pelajaran,” kata beliau kepada The Malaysian Insider.


“Tidak ada kenyataan rasmi. Kita perlu dengar kenyataan rasmi, kita akan tengok,” kata beliau lagi.


Katanya, keputusan terbaru ini akan memberi implikasi ke atas sistem pendidikan negara ini.


Dalam kenyataannya, Mohd Zakir juga mempersoalkan sebab keputusan Kabinet itu diumumkan oleh pemimpin-pemimpin MIC.


“Mengapa mereka perlu mendahului Kementerian Pelajaran, jadi tanda tanya adakah keputusan itu ada tujuan kepentingan politik,” katanya lagi.


(G. Manimaran, The Malaysian Insider, 17 Disember 2011. Sila KLIK DI SINI untuk membaca koleksi bahan dokumentasi berhubung kontroversi novel Interlok Edisi Murid sejak Disember 2010.)