18 Dec 2011

Langkah Kabinet lewat tapi baik demi maruah penulis, harmoni

KUALA LUMPUR, 17 Dis 2011 — Walaupun tindakan Putrajaya dilihat sudah terlambat, Seniman Paksi Rakyat Malaysia (Paksi) menganggap keputusan menarik balik novel kontroversi “Interlok”, yang berlarutan hampir setahun, daripada digunakan di sekolah sebagai satu tindakan terbaik demi menjaga kewibawaan penulis dan keharmonian kaum.

Setiausaha Agung Paksi, Hasni Abas berkata, daripada melakukan terlalu banyak pindaan dan pada masa yang sama rasa tidak puas hati pula berlanjutan, maka “adalah lebih baik tidak digunakan.”


“Saya fikir ini langkah baik walaupun Kementerian Pelajaran mengambil masa yang terlalu lama untuk membuat keputusan ini,” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider.


“Penulis (Sasterawan Negara Datuk Abdullah Husain) pun ada kewibawaan, maruah. Apa gunanya kita buat terlalu banyak pindaan sehingga mengubah ketulenan tulisan dan kandungan novel.


“Kita kena menghormati karya penulis, dan dalam hal ini, daripada dipinda dan dipinda, lebih baik jangan digunakan di sekolah, kalau ada kontroversi jangan digunakan sebagai bahan teks pelajar,” kata beliau sambil menambah, “jika orang dewasa hendak membaca sebagai bahan pengetahuan dan fakta, tiada masalah.”


Kata beliau, kerajaan sepatutnya telah mengambil langkah menarik balik “Interlok” ini sejak awal-awal lagi, bukannya membiarkan isu berkenaan berlarutan hampir setahun.


“Dalam mana-mana tulisan, penulis pun ada hak dan pembaca pun ada hak. Kalau novel ini mendatangkan suasana tidak harmoni, lebih wajar ia ditarik balik, tidak sesuai untuk dibaca oleh pelajar,” katanya lagi.


(G. Manimaran, The Malaysian Insider, 17 Disember 2011. Sila KLIK DI SINI untuk membaca koleksi bahan dokumentasi berhubung kontroversi novel Interlok Edisi Murid sejak Disember 2010.)