18 Dec 2011

Akhirnya Putrajaya dengar suara rakyat, kata NIAT

KUALA LUMPUR, 17 Dis 2011 — Pasukan Tindakan Interlok Nasional (NIAT), yang membantah penggunaan Interlok karya Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain sejak Januari lalu, menyifatkan keputusan menggugurkan novel kontroversi itu sebagai kemenangan rakyat khususnya kaum India, dengan kerajaan akhirnya sedia mendengar suara dan sentimen orang ramai.

Pengerusi NIAT Datuk Thasleem Mohamed Ibrahim berkata, pihak berkuasa kini sudah mendengar penemuan dan alasan bahawa Interlok sememangnya tidak sesuai, dari aspek agama dan sosial, untuk digunakan di sekolah sebagai buku teks.


“Penemuan-penemuan kami adalah berdasarkan kriteria-kriteria Kementerian Pelajaran dan Dewan Bahasa dan Pustaka sendiri, di mana novel ini walaupun ditulis oleh Sasterawan Negara tetapi tidak sesuai digunakan di sekolah.


“Pada masa yang sama kami mengucapkan penghargaan kepada Tuanku Mizan Zainal Abidin (Yang di-Pertuan Agong Tuanku ke-13), yang berkenan menerima memorandum kami bulan lalu ... kami di NIAT yakin ia turut ada membawa kesan dalam kerajaan membuat keputusan ini,” kata beliau ketika dihubungi.


Ketika ditanya sama ada ia keputusan politik, beliau enggan menjawab.


“Apapun keputusan ini baik daripada tiada langsung,” katanya lagi.


Pada 12 November lalu, susulan gesaan selama 10 bulan, NIAT dengan sokongan lebih 100 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong agar campur tangan membolehkan novel Interlok yang kontroversi ditarik balik daripada silibus sekolah.


NGO itu juga menyerahkan memorandum yang sama kepada Sultan Selangor dan Yang di-Pertuan Negeri Sembilan pada 19 November lalu.


Dalam pada itu, Setiausaha Agung Persatuan Progresif India Malaysia (Mipas), S Barathidasan berkata, kenyataan dikeluarkan Dr Subramaniam semalam tidak boleh dianggap rasmi.


“Kenyataan berhubung novel Interlok seharusnya datang daripada menteri yang bertanggungjawab ke atas portfolio berkenaan iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin.


“Maka, Mipas percaya pengumuman yang dibuat Menteri Sumber Manusia tidak masuk akal dan seakan-akan tidak sahih. Ia juga dilihat sebagai usaha memancing undi masyarakat India pada pilihan raya umum ke-13,” katanya dalam kenyataan berasingan.


Kata beliau, jika benar ia dilakukan atas dasar kepentingan masyarakat, maka Muhyiddin tidak perlu membisu.


“Beliau tidak perlu berdolak dalih dengan menyatakan akan membuat pengumuman pada suatu masa nanti.


“Bilakah masa yang disebutkan beliau? Mungkinkah sehari sebelum tarikh pengundian?” katanya.


Kata beliau, Mipas memang dari dulu mahukan Interlok ditarik balik tetapi kesal Menteri Pelajaran mengupah orang lain untuk menyampaikan mesej dan bukan berani tampil mengeluarkan kenyataan rasmi.


“Mipas meminta Menteri Pelajaran agar tidak menunggu lagi dan segera mengeluarkan satu kenyataan rasmi.


Ini akan menampakkan sikap bertanggungjawab beliau terhadap isu ini dan juga menamatkan spekulasi sesetengah pihak yang menyatakan pengumuman Menteri Sumber Manusia sebagai satu sandiwara politik,” katanya lagi.


(G. Manimaran, The Malaysian Insider, 17 Disember 2011. Sila KLIK DI SINI untuk membaca koleksi bahan dokumentasi berhubung kontroversi novel Interlok Edisi Murid sejak Disember 2010.)