16 Apr 2011

Wawancara Nizam-Uthaya

Saya telah lama mengikuti tulisan-tulisan Utaya Sankar SB setelah membaca beberapa buah karyanya yang pernah tersiar di Mingguan Malaysia dan Dewan Sastera. Saya terus jatuh hati kepada karya-karya Uthaya setelah saya membaca kumpulan cerpennya yang terkumpul dalam buku Sasterawan Pulau Cinta. Saya mengambil keputusan untuk membeli buku ini, setelah saya membaca ulasan mengenai buku ini oleh Amir Muhammad, jika tidak, mungkin saya tidak tahu langsung tentang kewujudan buku ini.


Saya memang meminati penulis-penulis bukan Melayu yang menulis dalam Bahasa Malaysia, (mulai sekarang, saya perlu betulkan istilah “Bahasa Melayu” kepada “Bahasa Malaysia”) sebagaimana saya juga meminati penulis-penulis Anglophone yang bukan berbangsa Inggeris. Semasa di Singapura, saya meminati dan mengikuti penulis Peter Augustine Goh. Saya gemar membaca tulisan-tulisannya yang sering disiarkan dalam akhbar Berita Harian Singapura.



Saya gemar akan hasil-hasil karya saudara Uthaya kerana prosa-prosa absurdisnya yang ditulis dengan penuh lirikal. Karya-karyanya di luar jangkaan dan jelas, karya yang telah “diukir” ke atas kertas dengan penuh teliti dan bijak. Satira dalam karyanya pedas, tetapi cukup kuat untuk meninggalkan kesan mendalam pada pembaca-pembacanya.



Seperkara yang saya hormati tentang saudara Uthaya adalah beliau tidak mungkin mengkompromi hasil-hasil tulisannya, lantas menghasilkan karya-karya yang mediocre. Seperkara lagi, bahasa yang digunakannya mudah difahami – yang dipentingkannya adalah mesej dalam cerita yang ingin disampaikannya. Perkara ini, entah mengapa, jarang saya lihat dilakukan di kalangan penulis-penulis yang menulis dalam Bahasa Malaysia.



Mungkin ramai di antara kita masih belum mengenali Uthaya, apatah lagi karya-karyanya. Jadi saya ingin mengambil kesempatan ini untuk memperkenalkan dirinya kepada para pembaca budiman. Saya harapkan, selepas ini para pembaca akan lebih mengenali lagi karya-karya bermutu yang dihasilkan oleh saudara Uthaya, dengan mencari karya-karyanya di kedai-kedai buku yang berdekatan. Berikut adalah soalan-soalan yang saya tujukan kepadanya melalui satu temubual e-mel:



NZ: Saya meminati karya-karya saudara, yang saya anggap antara yang terbaik di antara karya-karya Bahasa Malaysia hasil tulisan penulis-penulis muda di Malaysia. Saya juga meminati karya-karya Penulis Anglophone berbangsa India (atau dari Asia Selatan). Saya jatuh hati kepada karya-karya Rushdie, Naipaul dan Kureishi kerana mereka menulis tentang pengalaman diaspora bangsa India yang hidup di luar India. Bagaimana pula saudara meletakkan diri saudara dalam hal ini? Maksud saya, menulis sebagai seorang anak jati Malaysia berketurunan India, dalam Bahasa Malaysia? Apakah yang mahu saudara jelaskan dalam karya-karya saudara?



Uthaya: Hal ini berbalik pada pengalaman saya sebagai seorang kanak-kanak dan remaja yang meminati sastera Bahasa Malaysia. Malangnya, saya dapati rata-rata karya Bahasa Malaysia di masa lalu dikuasai watak, perwatakan, tema dan persoalan masyarakat Melayu. Ada juga beberapa penulis kaum India - tetapi mereka sama ada menulis mengenai watak Melayu atau gagal menggambarkan watak serta permasalah hidup kaum India dalam karya Bahasa Malaysia. Akhirnya, kerana jemu, marah - malah meluat - dengan realiti yang wujud, saya mula menulis sendiri untuk bacaan sendiri-sendiri. Kemudian, dibaca oleh rakan-rakan dan guru. Mungkin ada pihak yang marah dengan kenyataan saya tetapi itulah hakikat dan pengalaman yang memang tidak dapat dinafikan.



Saya juga menganggap - malah percaya - bahawa menjadi tanggungjawab saya untuk memaparkan citra budaya kaum India di Malaysia dalam karya sastera Bahasa Malaysia. Bagi saya, Bahasa Malaysia adalah milik setiap rakyat Malaysia. Sebab itu saya lebih memilih istilah “Bahasa Malaysia” berbanding istilah “Bahasa Melayu”.



Karya saya selalu menyentuh hidup seharian kaum India di Malaysia. Saya selitkan gaya hidup dan budaya mereka untuk tatapan semua. Cara terbaik untuk menanam bibit persefahaman dan pemahaman - serta menghormati - budaya berbeza adalah melalui pengenalan. Itulah yang saya lakukan. Malah, kini, beberapa istilah Bahasa Tamil dan Bahasa Malayalam sudah menjadi kebiasaan di kalangan pembaca karya saya. Antaranya: Vanakam, Nandri, Siru Kambam. Pembaca juga lebih memahami makna dan simbol di sebalik adat amalan kaum India - sebab telah saya jelaskan secara kreatif melalui karya.



Karya saya juga bertujuan mendidik generasi muda kaum India mengenai budaya sendiri. Perlu diakui, ramai yang tidak kenal budaya sendiri. Saya dengan rela memikul tugas dan tanggungjawab memperkenalkan semula budaya kaum India kepada pembaca kaum India - melalui karya Bahasa Malaysia. Terbaru, melalui cerpen “Kathakali” (Dewan Siswa, April 2003) - mengenai seorang remaja keturunan Malayalam mengenali bentuk seni persembahan keturunannya sendiri yang sudah dilupainya.



Saya juga kini sedang membantu menyalurkan karya penulis baru (remaja dan pelajar) ke majalah kecil Nila yang disasarkan kepada kelompok pembaca remaja dan belia yang lebih pandai membaca tulisan (rumi) Bahasa Malaysia berbanding tulisan Bahasa Tamil. Saya turut menulis dalam majalah Nila. Lalu, saya gunakan peluang ini dengan sebaik-baiknya untuk memperkenalkan semula budaya kaum India kepada pembaca kaum India - serta memperkenalkan budaya kaum India kepada mana-mana pihak yang berkemungkinan turut membaca majalah Nila kerana ia majalah Bahasa Malaysia.



NZ: Boleh saudara ceritakan sedikit tentang latar belakang dan sejarah penulis-penulis kaum India yang menulis dalam Bahasa Malaysia di Malaysia? Tema apakah yang selalunya ditulis mereka?



Uthaya: Sebenarnya, maklumat mengenai hal ini sudah terdapat di laman sesawang saya - ditulis oleh saya sendiri, Dr Krishanan Maniam dan Pn Raja Rajeswari. [Boleh dibaca DI SINI dan DI SINI]



NZ: Penulis seperti Kazuo Ishiguro yang berbangsa Jepun dapat menulis dengan baik tentang kehidupan dan peradaban bangsa Inggeris melalui karyanya Remains of the Day. Vikram Seth pula menulis tentang perkara-perkara di luar jangkauan etnik, dalam novelnya Equal Music. Adakah saudara sendiri akan melakukan perkara yang sama, maka menulis tentang kehidupan orang-orang Melayu, ataupun menulis tentang sesuatu yang tidak ada kena mengena tentang etnik India di Malaysia? Atau adakah saudara lebih senang menulis tentang kehidupan orang-orang India di negara kita ini?



Uthaya: Sebenarnya, saya tidak hanya tertumpu pada watak kaum India dalam karya. Banyak juga cerpen saya mengangkat watak, perwatakan dan permasalahan hidup kaum Melayu-Islam. Sering pula tersiar dalam majalah berunsur Islam. Dalam hal ini, saya boleh menyatakan dengan penuh bangga bahawa saya tidak menghadkan diri pada budaya dan cara hidup kaum India sahaja. Sebaliknya, saya sentiasa belajar dan meneliti budaya pelbagai kaum. Batas kaum dan batas agama tidak menjadi penghalang. Tidak pernah saya bimbang “akidah” saya sebagai seorang beragama Hindu “tergugat” kerana membaca teks suci agama lain. Saya bersikap terbuka dalam menimba ilmu. Malah itulah juga yang disaran dalam semua agama.



Cerpen “Ustaz Nordin, Salmah dan Seorang Penulis Muda” adalah mengenai watak Melayu. Begitu juga “Aku dan Anak Itu”. Senarai lengkap cerpen saya boleh dirujuk DI SINI. … Boleh juga membaca petikan cerpen saya di sana dan buat keputusan sendiri sama ada saya hanya mampu menggambarkan citra budaya kaum India.



NZ: Manakah antara banyak-banyak karya saudara yang saudara rasa adalah karya terbaik saudara. Dan mengapa saudara berkata begitu. Apa keistimewaan yang ada dalam karya tersebut?



Uthaya: SEMUA. Setiap satu. Each and every. Kesemua cerpen saya adalah yang terbaik pada saat saya menghasilkan. Malah, selepas karya siap, saya tidak pernah menganak tiri mana-mana karya saya. Semuanya ada keistimewaan tersendiri. Memang ada yang menang hadiah dan ada yang tidak menang. Tapi tak bermakna yang tak diberi hadiah kurang baik berbanding yang diberi hadiah.



Mungkin dalam hal ini, lebih baik minta pandangan peneliti. Mungkin mereka ada kriteria tertentu untuk pilih mana “lebih baik” daripada yang lain!



Buat masa ini, Puan Raja Rajeswari sedang membuat tesis MA mengenai cerpen-cerpen saya. Mungkin beliau lebih sesuai menjawab pertanyaan ini. Atau tentu sahaja Dr Othman Puteh yang menjadi (dan masih menjadi) pembimbing saya dalam penulisan. Begitu juga Dr Krishanan Maniam yang menjurus pada kajian perbandingan cerpen Bahasa Tamil dan Bahasa Malaysia.



NZ: Saya betul-betul tertarik dengan tulisan saudara: “Imej Wanita Kaum India Dalam Cerpen Bahasa Malaysia”. Boleh saudara rumuskan sedikit, apakah imej kaum wanita India yang sering dipaparkan dalam cerpen-cerpen Bahasa Malaysia? Adakah imej yang dipaparkan negatif ataupun sebaliknya?



Tulisan itu sebenarnya sebahagian daripada tesis BA saya semasa di Universiti Malaya. Kajian saya khusus terhadap watak wanita kaum India dalam cerpen Bahasa Malaysia oleh penulis kaum India. Hasil kajian, ternyata kebanyakan watak wanita kaum India masih digambarkan secara konvensional. Tidak ada perkembangan watak secara mendalam. Bagaimanapun, keadaan itu semakin berubah. Lebih ramai penulis kaum India mula lebih bijak menangani penulisan supaya watak yang berciri progresif dan tiga dimensi terhasil.



NZ: Boleh saudara ceritakan serba sedikit tentang Kavyan? Kenapa ia telah ditubuhkan dan apakah objektif-objektifnya?



Uthaya: Kavyan tercetus pada Ogos 1999 apabila beberapa penulis kaum India (yang menulis karya Bahasa Malaysia) bertemu di Kuala Lumpur. Kami memutuskan untuk mewujudkan satu kumpulan yang mewakili kami. Perlu diingatkan bahawa kami bukan penulis Tamil. Kami adalah penulis kaum India yang menulis karya Bahasa Malaysia. Belum pernah ada persatuan khusus bagi kelompok ini - kerana kumpulan penulis sebelum kami masih melabel diri mereka sebagai penulis “Tamil” atau penulis “Melayu”!



Kavyan wujud bersama surat berita Kavya dan kumpulan elektronik e-Kavyan. Segala maklumat (sejarah, latar belakang, aktiviti dll) mengenai Kavyan boleh dibaca DI SINI. Secara am, Kavyan bertujuan menyatukan kelompok penulis kaum India yang menulis karya Bahasa Malaysia. Juga untuk membimbing bakat baru dalam penulisan serta memupuk minat membaca di kalangan generasi muda. Semua ini kami lakukan melalui siri bengkel, ceramah serta pelbagai aktiviti lain.



NZ: Jadi mana satu agaknya yang betul, Bahasa Melayu atau Bahasa Malaysia?



Uthaya: Saya tetap dengan pendirian bahawa istilah “Bahasa Malaysia” betul, benar, wujud dan sah digunakan. Sesiapa yang menafikan hakikat ini sudah pasti kelompok yang fanatik, fikiran tertutup, takut bayang-bayang sendiri, tidak yakin pada kemampuan sendiri, tidak ada keyakinan serta mungkin sahaja membenci kelompok penulis kaum India yang sudah mengusai Bahasa Malaysia. Kerana rasa benci, marah dan tercabar itulah maka mereka mula menafikan kewujudan istilah “Bahasa Malaysia”. Mungkin pada imaginasi mereka, jika istilah “Bahasa Malaysia” tidak wujud, maka kelompok penulis kaum India yang menulis dalam Bahasa Malaysia juga tidak wujud. Maka, mereka boleh kekal sebagai wira dalam dunia imaginasi yang mereka cipta. Semacam sakit jiwa! Kalau tidak diubati segera, nescaya membahayakan keselamatan negara. … Boleh mencetuskan konflik antara kaum di negara kita. Bagaimanapun, dalam pekembangan terbaru, kelompok yang menafikan kewujudan istilah “Bahasa Malaysia” terpaksa tutup mulut kerana mereka telah cuba menafikan sesuatu yang memang wujud. Takziah kepada mereka! Dan tahniah kepada mana-mana pihak yang tetap mengakui kewujudan istilah “Bahasa Malaysia”.



NZ: Mengapa saudara memilih untuk menulis dalam Bahasa Malaysia, dan bukan Tamil ataupun Hindi? Atau mungkin Bahasa Malaysia merupakan bahasa ibunda saudara?



Uthaya: Saya bukan penulis Tamil kerana dua sebab: satu, saya bukan berketurunan Tamil; dua, saya tidak menulis karya Bahasa Tamil. Memang karya saya (cerpen dan drama) ada diterjemah ke Bahasa Tamil tetapi bukan karya asli ditulis dalam Bahasa Tamil. Saya juga hanya belajar Bahasa Tamil selepas umur 15 tahun.



Bahasa Hindi? Jauh panggang dari api. Bahasa Hindi adalah salah satu bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan di India tetapi bukan di Malaysia. Di negara kita, majoriti kaum India berketurunan Tamil. Sebab itulah kita ketara membuat andaian bahawa semua kaum India adalah keturunan Tamil. (Pemimpin politik yang kononnya berjuang bagi orang Tamil di negara kita juga melakukan kesilapan yang maha bodoh ini!)



Saya membesar dengan Bahasa Malaysia. Bahasa Malaysia menjadi bahasa utama saya. Maka, tak salah saya iktiraf Bahasa Malaysia sebagai bahasa ibunda saya. Malah, semasa kanak-kanak, saya tidak pernah melihat diri saya sebagai orang India, dia sebagai Melayu dan dia pula Cina. Saya anggap semuanya sama sahaja: Malaysia. Kemudian, dunia luar (bukan Amerika tapi Malaysia sendiri) mula melabel saya sebagai orang India. Yang melakukan pembahagian ini adalah pemimpin negara yang kini sibuk bercakap soal perpaduan dan konsep “Bangsa Malaysia”. Konsep Bangsa Malaysia sedia wujud dalam diri saya sejak kecil. Kemudian diwujudkan perbezaan dari segi kaum.



Kemudian, semasa berumur 19 tahun, saya disedarkan bahawa saya bukan India-Tamil tetapi adalah Malayalam (Malayali). Memang begitu catatan dalam surat beranak saya. Maka, saya putuskan bahawa saya tidak boleh mengubah keturunan, kaum dan bangsa saya. Keturunan: Malayalam, Kaum: India, Bangsa: Malaysia.



Ya, Bahasa Malaysia adalah bahasa ibunda saya dan saya tidak akan benarkan sesiapa menghina bahasa berkenaan - walau dia ada hak istimewa mengikut perlembagaan. Atau jika dia adalah editor di DBP.



NZ: Ceritakan sedikit tentang proses saudara hendak menulis. Adakah saudara mempunyai sistem-sistem yang tertentu, setidak-tidaknya satu ritual untuk memampukan saudara menulis?



Tak ada apa-apa ritual atau disiplin. Saya menulis kerana minat dan suka menulis. Tak ada syarat berapa lama satu cerpen siap. Saya telah jelaskan hal ini dalam prakata bagi kumpulan cerpen Siru Kambam serta di blog saya.



Saya biasanya biarkan idea (bukan “ilham” atau “wahyu”!) terkumpul dalam fikiran. Saya percaya pada sixth sense yang saya gelar “genius”. Maklumat terperinci mengenai proses kreatif saya boleh juga dibaca di blog saya.



NZ: Apakah yang menjadi kemelut dalam dunia sastera penulis-penulis muda di Malaysia? Adakah nanti kita akan mampu menyiapkan hasil karya bertaraf dunia? Apa yang menjadi penghalang untuk penulis-penulis muda kita berkarya dengan baik?



Uthaya: Ramai yang menjadi Penulis Sayembara, Penulis Tempahan dan Penulis Chipsmore. Penulis Sayembara hanya menulis untuk menang hadiah. Penulis Tempahan pula selalu menulis karya yang banyak. Kalau diminta tulis puisi tentang perang, dia tulis. Kalau minta tulis cerpen bohsia, dia tulis. Minta puisi keamanan, dia bagi puisi keamanan. Ringkasnya, dia serba boleh - asal sahaja ditempah atau diupah. Penulis Chipsmore pula seperti iklan biskut - sekejap ada, sekejap tak ada.



Kemelut lain yang saya lihat adalah pengaruh politik - menulis atas tujuan propaganda ahli politik tertentu. Juga trend mengharapkan pulangan dana yang banyak. Ada seorang editor sebuah majalah beritahu saya bahawa seorang penulis yang dikenali umum tersiar cerpennya dalam sebuah majalah. Kemudian dia terima bayaran. Terus penulis itu menelefon editor dan menyoal mengapa dia hanya dibayar RM150 untuk sebuah cerpen sedangkan DBP selalu membayarnya RM250 untuk sebuah cerpen.



Kemelut lain, rasa iri hati sesama penulis. Kalau ada penulis mula menampakkan kejayaan, mulalah ada rakan penulis yang mencemburuinya serta cuba menjatuhkannya. Hakikat inilah juga telah saya timbulkan dalam cerpen “Fail Merah: Konspirasi Membunuh Sasterawan Pulau Cinta”.



Juga masalah mendefinisikan apa sebenarnya makna “Sastera Kebangsaan” - sastera Bahasa Malaysia atau sastera mana-mana bahasa yang dihasilkan oleh rakyat Malaysia. Dan tentu sahaja masalah antara konsep “Sastera Melayu” dan “Sastera Malaysia”. Ada pihak tertentu yang beranggapan “Sastera Malaysia” adalah milik kaum Melayu sahaja - serta mesti dikenali hanya dengan nama “Sastera Melayu” dan bukannya “Sastera Malaysia”. Golongan ini perlu sedar bahawa Bahasa Malaysia adalah milik semua dan golongan ini tidak berhak untuk mengatakan bahasa itu milik mereka sahaja; lalu terlupa pada hakikat asal-usul “Bahasa Melayu” itu sendiri.



Dengan segala kemelut dalaman yang sebenarnya merupakan perkara remeh-temeh, saya belum melihat pengiktirafan bagi Sasterawan Malaysia di peringkat global. Malah, kalau ada pun, pasti sahaja akan ada yang bersok-sek mengatakan begitu-begini. Ringkasnya, musuh kita adalah kita sendiri - di kalangan kita sendiri!



Begitu juga dengan soal “penghalang” untuk menghasilkan karya baik. Tak ada faktor penghalang lain selain diri sendiri. Kalau ada penulis yang memberi contoh “penghalang” lain, itu hanyalah alasan bodoh (stupid excuses) untuk menutup hakikat kelemahan diri. Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.



NZ: Apakah makna sastera, menurut pendapat saudara?



Uthaya: Pada pendapat dan pandangan saya, sastera adalah elemen yang memberi manusia peluang untuk melihat dunia dari kaca mata manusia. “Manusia” di sini saya maksudkan manusia yang ada enam deria (5 + 1). Segala aspek kehidupan seharian manusia akan menjadi lebih ceria dan lebih dekat/lekat di hati jika diberi sentuhan sastera. Harus dibezakan tanggapan salah terhadap sastera.



Saya terlalu sering melihat pembaca sajak di pentas terjerit terlolong terpekik memekak kerana menganggap itulah cara meluahkan rasa protes dan marah. Orang seperti itu tidak tahu seni dan sastera. Sastera mampu melahirkan kemarahan dan protes secara yang halus; tanpa memekak di pentas. Kata-kata bombastik juga tidak perlu.



Memang wujud penulis yang mengakui bahawa mereka sengaja memilih kata-kata yang sukar dari dalam kamus untuk dimasukkan dalam sajak supaya ada unsur sastera. Mereka ini juga tidak tahu makna sastera. Mereka tidak faham bahawa istilah dan perkataan mudah yang ada makna lebih berguna daripada kata-kata bombastik yang mengelirukan. Mereka fikir kata-kata bombastik adalah sastera bermutu.



Sastera membantu manusia melihat hidup seharian manusia secara berseni.



NZ: Banyak kali mendengar keluhan anak-anak muda kita yang menjauhkan diri mereka dari membaca karya-karya Bahasa Malaysia kerana menurut mereka, bahasa yang digunakan agak kompleks dan berbelit-belit, sedangkan karya-karya sastera yang ditulis dalam Bahasa Inggeris, (terutamanya sastera kontemporarinya) senang dibaca dan agak straight forward. Adakah menjadi trend dalam dunia kesusasteraan Bahasa Malaysia untuk menghasilkan karya-karya yang menggunakan bahasa yang bombastik sehingga meminggirkan pembacanya sendiri? Atau adakah kita harus menyalahkan pembaca kita sendiri yang tidak mahu diri mereka dirimaskan dengan bahasa-bahasa yang berat?



Uthaya: Saya fikir saya telah turut menjawab pertanyaan ini di atas tadi. Memang wujud penulis yang terkeliru kerana tidak faham apa itu sastera. Mungkin mereka diajar di sekolah untuk mengkaji metafora dan sebagainya sehingga apabila mereka cuba-cuba menjadi penulis, mereka pastikan semua unsur yang dibaca dalam buku itu ada dalam karya mereka. Salah tanggap mereka terserap dalam karya dan terpaksa pula dilerai oleh pembaca.



Penulis perlu sentiasa ingat bahawa pembaca bukan bodoh. Kalau mereka bodoh, tentu mereka tidak membaca karya sastera. Jadi, jangan sekali-kali cuba menipu atau memperbodohkan pembaca. Ada penulis sengaja memasukkan istilah bombastik semata-mata untuk menunjuk-nunjuk kononnya karya dia tu ada unsur sastera - ada unsur kabur dan perlu ditafsir secara sastera. Sebenarnya, habuk pun tiada. Memang wajarlah pembaca meminggirkan karya sedemikian kerana memang bukan karya sastera sebenar.



Benar, karya sastera sebenar perlu mudah dibaca dan mudah difahami. Salah satu kelebihan sasterawan sejati adalah kemampuan “memperkatakan perkara-perkara yang kompleks secara yang mudah”. Dan apabila pembaca membacanya, mereka akan mula memahami isu kompleks yang cuba disampaikan secara mudah itu.



Berbeza pula dengan kelompok penulis yang “memperkatakan perkara-perkara yang mudah secara yang kompleks”. Dan apabila pembaca (yang memang tidak bodoh) membacanya, mereka akan mempertawakan kebodohan penulis terbabit.



Sebab itulah saya sentiasa sedar dan akur pada hakikat bahawa pembaca karya saya adalah golongan bijak dan mampu berfikir. Saya harus - malah wajib - menghormati intelektualiti mereka.



NZ: Apakah trend dalam dunia sastera Bahasa Melayu pada masa ini? Tema apakah yang sering diperkatakan?



Uthaya: Macam-macam. Sentiasa berubah mengikut isu semasa. Dan kelompok penulis muda (baca: kelompok yang baru mula menulis) pula ketara mengambil tema-tema klise yang sudah 1008 kali ditulis orang. Kisah emak berkorban untuk anak-anak, kisah kakak berkorban untuk adik, kisah kekasih yang perpisah kerana keluarga carikan pasangan lain, kisah remaja bercinta, kisah-kisah yang MESTI berakhir dengan kematian. Tema cinta pula terus digarap tanpa jemu. Malangnya tema cinta dilihat dan diangkat secara dangkal dalam karya. Erti cinta disempitkan mengikut fikiran sempit penulis itu sendiri.



Di kalangan penulis yang sudah agak lama menulis pula, timbul isu-isu semasa: perang, reformasi, penentangan terhadap apa yang dianggap kezaliman, dunia keusahawanan, dunia IT dan seumpamanya. Ada banyak cubaan untuk meneroka teknik penulisan yang sebenarnya sudah banyak ditangani penulis luar.



Bagaimanapun, tema-tema masih terlalu terikat pada dunia Melayu. Bagaikan hanya orang Melayu yang menghuni seluruh mayapada. Kalau ada watak kaum lain, hanya sebagai tempelan tanpa ada apa-apa peranan. Kalau ada watak Bukan Melayu yang “timbul”, pasti watak itu sama ada: a) masuk Islam, atau b) tidak memiliki ciri-ciri jati diri sebagai watak kaum India/Cina dll tetapi sama sahaja seperti watak kaum Melayu. Nama watak mungkin Ramasami (India) tetapi perwatakannya lebih merupakan Rahmat (Melayu).



Ketandusan tema inilah juga yang membuatkan pembaca malas membaca karya sastera Bahasa Malaysia kerana terpaksa membaca kisah yang sama dalam 1008 karya. Watak pula 99% Melayu. Baki 1% pula watak Bukan Melayu yang “lebih Melayu daripada Melayu”!



Memang ada penulis yang mampu lari daripada kelemahan ini. Tahniah! Sasterawan seperti inilah yang kita perlukan dan sasterawan seperti inilah yang akan dikenang zaman. Saya mengimpikan kelahiran lebih ramai penulis seperti ini.



NZ: Saya amat-amat menghormati saudara kerana saya dapati saudara ikhlas berkarya dan tidak hanya berkarya kerana ingin menempah nama ataupun kerana ingin mendapatkan pulangan dari penjualan karya yang telah diterbitkan. Saudara juga saya dapati telah menggunakan Internet untuk meneruskan perjuangan saudara sebagai seorang penulis. Sejauh mana penggunaan Internet membantu saudara dalam perjuangan saudara selama ini? Adakah ia banyak membantu? Adakah mungkin pada satu hari nanti saudara akan menerbitkan karya-karya saudara dalam bentuk digital (e-books)?



Uthaya: Terima kasih kerana saudara memahami hakikat bahawa saya tidak mengejar wang melalui karya. Malah, saya tidak pernah menulis cerpen khusus untuk “masuk pertandingan” seperti yang dilakukan beberapa rakan penulis. Kalau kebetulan ada cerpen yang telah siap sesuai dengan pertandingan, baru saya kirim. Malah, sejak 1999, saya sudah semacam tidak mengirim sebarang cerpen untuk pertandingan kerana: 1) beri peluang kepada penulis baru, 2) tidak mahu menjadi penulis pertandingan. Bukan pula saya katakan saya terlalu “hebat” sehingga orang lain tak ada peluang untuk menang kalau saya bertanding. Tolong jangan tersalah tafsir, ya.



Cerpen “Nayagi” pernah menang hadiah pertama. Cerpen itu pada mulanya pernah saya kirim ke sebuah majalah remaja (Dewan Siswa) dan untuk antologi. Bila tak tersiar, baru saya kirim ke pertandingan. Jadi, “Nayagi” tidak ditulis untuk tujuan pertandingan.



Anda, Sebuah Kampung dan Sebuah Kisah” saya tulis semata-mata untuk bercerita secara lebih terperinci mengenai kampung kegemaran saya. Saya gunakan sebagai teks perbincangan dalam kelas semasa belajar di UM. Encik Saleeh Rahamat yang menyarankan saya menghantarnya untuk pertandingan. Malah, saya rasa, beliau yang berikan borang penyertaan kepada saya. Cerpen itu menang hadiah. Terbukti, cerpen itu bukan ditulis untuk tujuan pertandingan.



Begitu juga dengan SEMUA karya saya; sama ada yang menang hadiah atau tidak menang hadiah.



Telah saya jelaskan awal-awal lagi tujuan saya berkarya. Jadi, tak timbul soal saya perlu menulis dengan mengharapkan pulangan dalam bentuk wang. Saya menulis untuk berkarya. Saya menulis karya yang bermutu. Karya yang ada ilmu bantu. Karya yang ada makna berlapis. Bukan karya untuk menang hadiah.



Saya menulis antara lain untuk menggambarkan citra budaya kaum India di negara ini kepada pembaca sastera Bahasa Malaysia. Saya menulis untuk kelompok pembaca yang sukakan karya yang mencabar dan menghormati intelektualiti mereka.



Saya juga menjadi semacam “agen sastera” dengan mengumpul manuskrip penulis-penulis baru. Saya akan bimbing mereka dan mengedit karya. Apabila mencapai tahap yang memuaskan, saya akan salurkan kepada penerbit (majalah, akhbar). Kavyan juga mengendalikan siri bengkel untuk mengasah bakat baru. Semuanya tanpa motif mendapat untung.



Sasterawan Pulau Cinta telah saya terbitkan sendiri untuk membuktikan istilah Bahasa Malaysia memang wujud dan sah digunakan. Novel Panchayat telah saya terbitkan sendiri setelah DBP pada mulanya meluluskan penerbitan dan kemudian membatalkan penerbitan kerana kononnya terlalu banyak unsur agama Hindu dan budaya kaum India dalam novel berkenaan. Malah, saya pernah disaran supaya menukar watak kaum India-Hindu kepada watak Melayu-Islam! Antologi Vanakam diterbitkan dengan bantuan rakan-rakan dalam Kavyan selepas manuskrip Vanakam yang asal dibatalkan penerbitannya pada saat-saat akhir oleh DBP kerana yang mempertahankan penggunaan istilah “Bahasa Malaysia” pada prakata antologi berkenaan sedangkan Azmi Ibrahim mengatakan istilah Bahasa Malaysia “tidak wujud dan tidak boleh digunakan” – BACA DI SINI.



Tak ada keuntungan wang melalui penerbitan ketiga-tiga buku berkenaan. Tapi setiap buku yang diterbitkan itu membawa kejayaan serta mencipta sejarah yang pasti tidak boleh dinafikan - oleh Azmi Ibrahim mahupun DBP sendiri.



Pada tahun 1998, saya wujudkan Kumpulan Khalayak Siber Intelek Sastera (KKSIS) di mana saya berkongsi karya dan komen sastera dengan lebih 250 orang melalui e-mel. Kemudian ada pula e-Kavyan iaitu e-group dengan lebih 200 ahli. Ada juga surat berita dalam talian Kavya yang terbit pada 1 hari bulan setiap bulan. Saya kendalikan bimbingan kepada penulis baru melalui e-mel. Internet memang memudahkan tugas ini.



Jadi, saya memang sudah mula menggunakan Internet bagi tujuan meneruskan perjuangan saya dalam sastera dan bahasa - Bahasa Malaysia. Dulu, saya tidak tahu apa-apa mengenai e-mel. Saya belajar. Saya tidak tahu apa-apa mengenai laman web. Saya belajar. Dan saya masih belajar.



Buat masa ini, saya tidak tahu cara-cara menangani konsep e-book. Tentu sahaja saya ingin belajar daripada sesiapa yang sudi berkongsi ilmu.



Internet memang telah banyak membantu saya meneruskan perjuangan saya. Laman-laman web serta surat berita yang saya kendalikan boleh diakses dari mana-mana. Jadi, perjuangan saya diketahui semua. Karya para penulis kaum India juga saya sebarkan melalui penggunaan Internet. Biodata penulis kaum India saya muatkan di laman sesawang untuk tatapan semua. [Diharap langkah saya mewujudkan laman web khusus bagi penulis kaum India serta penubuhan Kavyan tidak dianggap sebagai tanda saya bersikap perkauman!]



Mungkin lebih banyak akan dapat dilakukan pada masa hadapan dengan memanupulasi perkembangan teknologi jika saya mendapat sokongan dan panduan daripada individu yang lebih tahu perkara berkaitan Internet dan teknologi maklumat.



NZ: Ada pesanan-pesanan terakhir yang ingin saudara tujukan kepada khalayak pembaca kita?



Jangan biarkan mana-mana penulis memperbodohkan anda dengan karya bodoh. Jangan biarkan mana-mana penerbit memperbodohkan anda dengan karya bodoh.



Anda berhak memilih karya yang ingin anda baca.



Catatan: Wawancara ini dibuat oleh Nizam Zakaria dan disiarkan pada 18 April 2003 – DI SINI.