Friday, 26 November 2010

Mendengar Novel

Selepas berpeluang mendengar beberapa novel hebat dalam versi cakera padat (CD) audio, beberapa novel lain menjadi kurang menarik pula. .
..
Saya mendapatkan koleksi novel Bahasa Inggeris dalam bentuk CD audio dari BookXcess di AmCorp Mall, Petaling Jaya di mana harga yang ditawarkan bagi bahan bacaan memang luar biasa! Saya memastikan bahawa CD audio (novel) yang saya beli adalah edisi lengkap (unabridged) dan bukannya edisi ringkas (abridged).
.
Pada 17 Julai 2010, saya membeli novel pertama dalam bentuk CD audio. Novel To Kill A Mockingbird karya tunggal Harper Lee disampaikan oleh Sissy Spack dengan penuh penghayatan. Sehingga hari ini, saya masih belum berpeluang memiliki DVD filem To Kill A Mockingbird (1962).
.
Seterusnya, pada 9 Ogos 2010, saya mendapatkan CD audio novel Escape karya Robert K Tanenbaum yang dibacakan oleh Charles Leggett.
.
CD audio The Hour I First Believed karya Wally Lamb pula saya beli pada 19 September 2010. Karya berkenaan dibacakan oleh George Guidall. Secara peribadi, saya menyampah dengan watak Maureen Quirk dalam novel berkenaan!
.
Pada 23 September 2010, saya mendapatkan CD audio novel Anne of Green Gables karya L M Montgomery dalam versi yang dilakonkan oleh Barbara Barnes, Susan Engel, Sean Baker dan beberapa individu lain. Memang menarik mengikuti kisah Anne Shirley dalam karya klasik ini.
.
Pada 23 September 2010 juga, saya membeli Tollins: Explosive Tales for Children yang disampaikan sendiri oleh pengarangnya, Conn Iggulden bersama Clive Room.
.
CD audio novel Blindness karya Jose Saramago yang dibacakan oleh Jonathan Davis telah saya beli pada 1 Oktober 2010. Novel ini memang hebat dan memberi ruang seluas-luasnya kepada imaginasi pembaca/pendengar. Tentu sahaja versi filem tidak mampu mengekalkan segala kehebatan itu; sebagaimana saya catatkan sebelum ini [DI SINI].
.
Tidak dapat dinafikan, kehebatan Blindness membuatkan novel The Lace Reader karya Brunonia Barry kedengaran kurang menarik dan saya gagal memberikan tumpuan penuh semasa mendengarnya sewaktu memandu. (Bukan gagal memberi tumpuan terhadap pemanduan, tetapi terhadap novel itu.) Namun, perlu saya akui bahawa Allyssa Bresnahan memiliki suara yang menarik; walaupun kedengaran seperti menghidap selesema semasa membacakan novel ini. CD audio novel berkenaan saya beli pada 3 November 2010.
.
Pada 11 November 2010 pula, saya membeli CD audio novel Sundays at Tiffany’s karya James Patterson bersama Gabrielle Charbonnet. Walaupun saya seorang yang kurang berminat membaca kisah romantik, saya mahu juga mengetahui kelainan dalam novel ini, memandangkan ia menampilkan “sahabat khayalan” (imaginary friend). Apa yang menarik mengenai novel ini adalah bab-bab yang pendek. Selebihnya, biasa sahaja.
.
Saya selesai mendengar novel romantik itu pada 20 November 2010 dan selepas sekian lama – sejak To Kill A Mickingbird pada Julai 2010 – terpaksa mendengar radio semasa memandu. Memang membosankan.
.
Lalu, pada 23 November 2010, saya membeli CD audio novel Shadow of Power karya Steve Martini dan saya mula mendengarnya pada 24 November 2010. Saya segera cam suara si pembaca; George Guidall yang turut membacakan The Hour I First Believed.
.
Dalam pada itu, saya juga berharap stok baru novel-novel versi CD audio segera sampai di BookXcess, sebelum saya selesai mendengar novel ini yang menampilkan watak peguam bela Paul Madriani.
 
BACA JUGA catatan mengenai:
 
 
 
 
 
 
 
 

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!