Bahagian 1: Cakera padat (CD) audio novel Blindness karya Jose Saramago yang dibacakan oleh Jonathan Davis memang hebat dan mampu memberi ruang seluas-luasnya pada imaginasi pembaca/pendengar.
Saya mendengar versi audio novel karya penerima Hadiah Nobel Kesusasteraan 1998 itu sambil memandu ke tempat kerja dan pulang dari kerja; atau lebih tepat lagi, setiap kali memandu di jalan raya pada Oktober 2010.
Berikut beberapa perkara (trivia) yang menarik perhatian saya sepanjang mendengar novel berkenaan dalam versi audio yang menyumbangkan masa pendengaran hampir 12 jam.
1. Saya tidak pernah mendengar nama Jose Saramago sebelum ini. Pada 4 Oktober 2010, semasa mengumpulkan senarai penerima Hadiah Nobel Kesusasteraan, barulah saya mendapat sedikit maklumat mengenai pengarang itu. Kebetulan, saya membeli CD berkenaan pada 1 Oktober.
2. Saya membeli CD audio itu kerana tertarik pada judul, gambar kulit, sinopsis di belakang kulit dan apabila tercatat bahawa karya itu turut difilemkan. Novel-novel lain dalam bentuk CD audio yang sudah saya miliki sebelum itu termasuk To Kill A Mockingbird, The Hour I First Believed dan Escape.
3. Cara dan gaya pembacaan Jonathan Davis memang benar-benar menghidupkan cerita. Suaranya antara lain boleh didengar dalam versi audio The Chosen, The Stranger, Battlestar Galatica, Attack of the Clones, Night of the Jaguar, Shadow of the Wind dan The Brief and Wonderous Life of Oscar Wao.
4. Khabarnya, Jose Saramago suka menulis menggunakan ayat yang sangat panjang serta menggunakan tanda koma (,) menggantikan noktah (.) selain tidak menggunakan tanda kutip (“...”) pada dialog; ditambah pula ketiadaan nama bagi mana-mana watak, sehingga akhirnya mungkin menyukarkan pembacaan, namun mujurlah Jonathan Davis membaca teks novel Blindness dengan memasukkan tanda baca, intolasi dan penghayatan penuh.
5. Kisah dalam novel ini bermula dengan keadaan di jalan raya. Saya catatkan begini pada status Facebook pada 30 Oktober 2010: Lampu merah. Kereta berhenti. Lampu hijau. Kereta di hadapan tidak bergerak. Kemudian, pemandunya keluar dan mengumumkan, “Saya sudah buta!”
Disiarkan di Jalan Telawi pada 14 Oktober 2011. Catatan penuh boleh dibaca dalam Kumpulan Esei 2024.