Sebenarnya, terdapat unsur-unsur perkauman, ketuanan dan perhambaan yang dikekalkan secara tersembunyi dalam Perlembagaan yang menjadi rujukan dan panduan dalam segala aspek kehidupan sejak dahulu.
Seorang individu yang “menemui” kepincangan itu tampil mendedahkannya sedikit demi sedikit; tanpa dapat dinafikan bahawa dia juga mahu cuba mendapatkan “pulangan” daripada pendedahan itu kepada umum.
Liputan media yang diperoleh menghangatkan lagi suasana politik dalam negara; khususnya menjelang pilihan raya. Banyak juga fakta dan “kebenaran” yang terpaksa disembunyikan pelbagai pihak.
Tidak mustahil, fakta yang “disembunyikan” itu adalah disengajakan kerana individu yang melakukan pendedahan itu sendiri mahu memastikan “kelangsungan” hayat dalam bidang yang diceburinya itu berterusan.
Khabarnya individu berkenaan memiliki “dokumen” yang dapat membuktikan hujahnya mengenai kewujudan “tuan” dan “hamba” dalam Perlembagaan!
Pada saat masyarakat umum menantikan lebih banyak maklumat dan pendedahan berhubung “kepincangan” dalam Perlembagaan berkaitan soal keturunan, ketuanan dan perhambaan didedahkan sepenuhnya, individu itu ditemui mati – dibunuh – di dalam bilik sebuah hotel.
Seorang pemuda ditahan sebagai suspek utama dan segala penemuan menjurus kepada bukti bahawa dialah yang membunuh tokoh berkenaan atas motif “kebencian melampau”.
Paul Madriani tampil membela Carl Arnsberg yang menghadapi tuduhan membunuh Terrance Scarborough dalam novel Shadow of Power (2008) karya Steve Martini.
Watak peguam bela itu pernah muncul dalam novel Compelling Evidence (1992), Prime Witness (1993), Undue Influence (1994), The Judge (1996), The Attorney (1999), The Jury (2001), The Arraignment (2003) dan Double Tap (2006), serta muncul juga dalam Guardian of Lies (2009), The Rule of Nine (2010) dan Trader of Secrets (2011).
Saya membeli novel Shadow of Power dalam versi cakera padat (CD) audio pada 23 November 2010 dan terus mendengarnya pada setiap kali saya memandu kereta. [BACA DI SINI]
Saya mendengar novel sama yang merupakan versi unabridged sambil memandu pada 13-27 Februari 2012. Kisah yang penuh mendebarkan itu dibacakan pula dengan penuh gaya oleh George Guidall yang turut membacakan novel The Hour I First Believed.
Saya tidak akan mendedahkan lebih lanjut mengenai kandungan novel berkenaan kerana segala isu perkauman, perhambaan, ketuanan dan Perlembagaan masih berlanjutan dalam dunia legal thriller (“cerita debaran perundangan”).
Suatu hakikat yang nyata dalam kalangan penduduk di Lembah Klang adalah bahawa kita sering terperangkap dalam kesesakan jalan/lebuh raya. Malah, entah berapa jam terpaksa dibazir di dalam kereta.
Mungkin sukar untuk membaca sambil memandu. Maka, novel dalam bentuk CD audio boleh menjadi teman yang amat menghiburkan.
Berbalik kepada novel Shadow of Power, kisah yang dipaparkan bukan hanya sebuah thriller. Sebaliknya, pelbagai persoalan yang dikemukakan secara penuh kreatif membuatkan pembaca/pendengar mula memikirkan pelbagai kejadian dalam realiti hidup seharian dari sudut yang berbeza.
Novel ini membuatkan kita berfikir kemungkinan ada pihak tertentu yang memanipulasi keadaan untuk memastikan kelompok tertentu tetap menjadi “tuan” manakala kelompok minoriti lain hanyalah “hamba” atau “pendatang” yang tidak mempunyai hak sebenar mengikut Perlembagaan.
Demikian antara “bayangan kuasa” yang disajikan menerusi novel ini yang sesuai bagi membuka minda khalayak yang mampu berfikir di luar lingkungan tentang apa yang berlaku dalam dunia fiksyen dan dunia realiti.
(Uthaya Sankar SB memanfaatkan sepenuhnya masa memandu dan terperangkap dalam kesesakan jalan raya dengan mendengar novel dalam versi audio. Ulasan ini disiarkan di Free Malaysia Today pada 2 Mac 2012 . © Uthaya Sankar SB 2012. Sila KLIK DI SINI untuk maklumat lanjut mengenai ruangan ulasan buku.)