25 Nov 2010

Berpusing di DBP

Selepas bersarapan bersama Prabha dan Devishi di Restoran Sri Mayuri, Taman Sri Muda pada 23 November 2010, sekitar 9:00 pagi, saya memandu ke Kementerian Luar Negeri di Jalan Wisma Putra untuk bertemu Alina Isa, Timbalan Pengarah Kanan di Bahagian Akademik, Penyelidikan dan Penerbitan.
.

Selepas berbual sebentar, kami memandu ke bagunan sebelah iaitu Menara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Kami minum di kafe (Tingkat Lima) sambil berbual pelbagai perkara baru dan lama. Saya sempat menggunakan telefon bimbit untuk mengambil foto pisang goreng dan sos cili; mungkin boleh saya kirim kepada Saudara Armin Azhari sebagai foto iringan bagi makalah mengenai bahasa di Tawau. Makalah itu sudah saya kirim kepada beliau bersama-sama beberapa foto hiasan (tuala, baldi dan besen) untuk dinilai bagi majalah Pelita Bahasa.

.

Alina dan kawan-kawannya sering ke kafe DBP tetapi tidak pernah ke bahagian-bahagian lain kerana tidak mengenali sesiapa di sini. Saya pula mencadangkan supaya Alina cuba menulis untuk majalah-majalah DBP.

.

Kami ke Bahagian Majalah dan bertemu Armin. Beliau turut menggalakkan Alina menulis makalah yang sesuai bagi majalah Pelita Bahasa, bermula dengan ruangan “Komentar Bahasa”.

.

Selepas itu, Alina dan saya ke Bahagian Hak Cipta yang nampaknya kini dipanggil Bahagian Harta Intelek. Alina Murni telah menandatangani Perjanjian Lesen Penerbitan buku In the Shadows of the Palm di pejabatnya sebentar tadi sebagai saksi saya.

.

Saya bertanya kepada petugas di bahagian itu – yang tentu sahaja tidak mesra – sama ada saya boleh mengambil naskhah pengarang bagi buku Cinta Sekerdip Embun.

.

“Tak tengokkah masa sain kontrak? Kalau lebih enam penulis, kami tak bagi naskhah percuma,” katanya.

.

Saya terpinga-pinga kerana tidak tahu mengenai hal itu. Namun, tiada alasan untuk saya terkejut kerana saya berada di Malaysia; maka segalanya mungkin. Sekurang-kurangnya jumlah buku yang bakal tersimpan di stor di Ulu Klang boleh meningkat beberapa unit lagi sebelum dijual lambak dengan diskaun hebat dalam masa beberapa tahun lagi.

.

Seterusnya kami bertemu Encik Abdul Karim untuk menyerahkan borang Munsyi Dewan. Borang ini sebenarnya saya ambil atas saranan Puan Zaiton Ajamain pada 26 Oktober 2010 tetapi baru semalam diisi! Encik Abdul Karim memaklumkan bahawa suatu ujian bertulis akan diadakan pada 25 November 2010 dan selepas itu, individu yang lulus akan dipanggil untuk peringkat seterusnya. Saya tidak tahu-menahu hal ini tetapi rasa-rasanya tidak salah jika saya mencuba. Lebih baik “mencuba dan tidak diterima” daripada langsung tidak mencuba. Sekurang-kurangnya kita akan tahu di mana “silap”nya.

.

Selepas menghantar Alina ke pejabatnya, saya memandu pulang. Sesampai di rumah, ada beberapa surat. Satu adalah contoh manuskrip Teka Silang Kata yang dikirim oleh Encik Sethu Raman dari Mind To Mind. Satu lagi adalah Perjanjian Lesen Penerbitan antologi Cinta Sekerdip Embun kiriman Bahagian Harta Intelek DBP bertarikh 16 November 2010.

.

Mungkin saya boleh menguruskannya apabila ke DBP pada 25 November 2010. Atau menyimpannya sehingga antologi Cinta Sekerdip Embun mula dijual secara lambak dalam masa beberapa tahun lagi.

.

Apabila menyemak e-mel, terdapat satu mesej daripada Armin, bertanya mengenai foto-foto bagi makalah berkaitan bahasa di Tawau. Hairan juga kerana saya sudah mengirimkannya sebelum ini. Namun, tidak menghairankan juga kerana e-mel DBP memang sering bermasalah; tambahan pula saya mengirim hampir enam foto bersaiz besar dalam satu e-mel.

.

Maka, saya mengirim semula foto-foto tuala, besen dan baldi melalui tiga e-mel berbeza. Juga satu lagi e-mel bagi foto pisang goreng yang saya rakam di kafe DBP pagi tadi.