27 Nov 2010

Tokoh Bahasa

Tahukah anda bahawa untuk menjadi pakar bahasa tertentu, anda hanya perlu menghafal fakta dan kemudian memuntahkannya di atas kertas?
.

Tetapi, sebelum menyentuh perkara itu, saya mahu berkongsi kisah lain yang tidak berkaitan.

.

Pada 25 November 2010, semasa ke Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk ujian Munsyi Dewan, saya benar-benar bertuah kerana berpeluang bertemu Dr S Nathesan, pakar bahasa yang sering menulis di majalah Pelita Bahasa, Jurnal Bahasa dan Dewan Bahasa.

.

Tokoh kelahiran Serkam, Melaka itu mendapat ijazah kedoktoran dalam bidang bahasa Melayu [sic] dari Universiti Malaya pada 2002 dan kini menjadi tenaga pengajar sambilan di Universiti Terbuka Malaysia. [BACA DI SINI]

.

Beliau turut menghasilkan beberapa buku berkaitan bahasa dan sesungguhnya wajar diiktiraf sebagai tokoh bahasa. Saya sangat bertuah kerana berpeluang bertemu beliau. Kami berbual menggunakan Bahasa Malaysia, Bahasa Tamil dan Bahasa Inggeris – bukan dicampur adukkan, tetapi mengikut topik perbualan.

.

Hairan juga mengapa beliau perlu menduduki “ujian bertulis” untuk diiktiraf sebagai Munsyi Dewan! Sepatutnya tokoh bahasa seperti beliau dipelawa menjadi Munsyi Dewan, bukan diminta mengambil ujian tatabahasa bersama-sama kelompok yang “mengejar” label Munsyi Dewan supaya boleh mengajar subjek bahasa untuk PMR, SPM dan STPM di pusat tuisyen!

.

Lebih menghairankan – malah, sebenarnya suatu penghinaan kepada ilmu bahasa itu sendiri – apabila Dr Nathesan diputuskan “gagal” dalam ujian tatabahasa yang diambil!

.

Dan berbalik kepada kisah awal tadi, kemampuan menghafal dan keupayaan memuntahkan jawapan bukan hanya perlu bagi calon PMR, SPM dan STPM. Teknik ini ternyata diamalkan pada semua peringkat.

.

Alahai, nasib bahasa dan bangsa!