26 Jul 2010

Onam di Pulau Cinta

Sebaik saya melangkah ke pejabat pada tengah hari 21 Julai 2010, editor majalah e@siswa, Azli Halim bertanya jika saya ada manuskrip cerpen untuk disiarkan dalam majalah berkenaan pada September 2010.
.

Saya bertanya, bila manuskrip diperlukan dan beliau menjawab, “Kalau boleh, segera.”

.

Lalu, saya meminta diberi masa sehingga 25 Julai 2010. Saya percaya unsur genius akan membantu merangka cerita untuk dikarang. Pasti ada begitu banyak kisah yang bermain dalam imaginasi untuk dikarang dalam bentuk faksyen.

.

Sebagai tanda peringatan dan motivasi kepada diri, saya paparkan pada ruangan status di Facebook, sekitar jam 9:30 malam: “kembali berhutang sebuah cerpen kepada seorang rakan (editor). Seronoknya!”

.

Apabila pulang ke rumah, saya mula menaip pada jam 12:15 tengah malam berdasarkan maklumat daripada makalah yang pernah saya tulis mengenai sambutan Onam oleh masyarakat India keturunan Malayali.

.

Pada bahagian akhir makalah berkenaan yang disiarkan dalam The Malaysian Insider (4 September 2009), saya nyatakan kemungkinan Mahabali memutuskan untuk datang ke Malaysia pada 2010 untuk menyaksikan sambutan “Onam Satu Malaysia” – selaras gimik semasa. [REALITY CHECK]

.

Secara spontan, lahir sebuah kisah mengenai Mahabali yang melayari sebuah blog dan mendapat tahu bahawa majoriti penduduk Pulau Cinta adalah diaspora Malayali. Malah, Bahasa Malayalam adalah bahasa rasmi yang dikenali sebagai “Bahasa Pulau”.

.

Dipendekkan cerita, watak “Saya” (foto, kanan) diutus Mahabali ke Pulau Cinta untuk bertemu mantan Perdana Menteri, Rama (foto, kiri) dan bekas pemimpin diktator, Ravana (foto, tengah) bagi membincangkan sambutan “Onam Pulau Cinta” sambil minum kopi luwak.

.

Manuskrip siap pada jam 2:08 pagi, 22 Julai 2010 dan saya lakukan penyuntingan kemas bagi memastikan tiada kesilapan bahasa dan kecuaian menaip.

.

Selesai semuanya, manuskrip dikirim secara lampiran melalui e-mel kepada Azli Halim; dengan catatan meminta jasa baik beliau menilai kesesuaian cerpen berkenaan untuk disiarkan dalam majalah e@siswa. - Kisah lanjut DI SINI.