8 Feb 2021

Perkembangan Projek Bhagavad Gita


Pada asalnya, saya bercadang memulakan kerja penulisan bagi penceritaan semula (retelling) teks Bhagavad Gita pada 1 Mac 2021.

Susulan sokongan rakan-rakan budiman terhadap projek ini, saya memutuskan untuk mula menulis pada 1 Februari 2021.

Apabila saya membaca semula, mendengar, meneliti, mengkaji, dan menganalisis beberapa bab awal dalam pelbagai versi “kitab” ini, cerita sudah tepu dan minta ditulis segera.

Maka, Bab 1 berjaya ditulis pada 30 Januari 2021.

Dalam teks asal, Bab 1 terdiri daripada 47 sloka (puisi/seloka) di mana setiap sloka ada empat baris.

Penceritaan semula Bab 1 dalam bentuk prosa (cerita) panjangnya sekitar 2,100 perkataan.

Saya mungkin berkongsi petikan Bab 1 dengan para penyumbang yang menyalurkan bantuan sebelum 28 Februari 2021.

* * *


Bab 2 terdiri daripada 72 sloka.

Pada 31 Januari 2021, saya hanya mampu menghayati sepenuhnya dan menceritakan semula 38 sloka dalam bentuk prosa.

Krishna mengetengahkan 4 alasan (reason) dalam usaha menggesa Arjuna bertindak dan terlibat dalam perang di Kurukshetra.

* * *


Sambungan Bab 2 bagi penceritaan semula Bhagavad Gita diusahakan pada 1 Februari 2021.

Panjang bab ini dalam bentuk prosa hampir 3,000 perkataan — bagi 72 sloka.

Dalam Bab 2, Arjuna mengetengahkan satu daripada 16 soalan penting yang dikemukakannya kepada Krishna di medan perang Kurukshetra.

Bagi setiap sloka yang mahu diceritakan semula, saya mendengar dan menghayati versi Bahasa Indonesia, Inggeris, Tamil, dan Malayalam.

Saya turut membaca, menelaah, dan memahami beberapa versi dalam Bahasa Indonesia, Inggeris, dan Tamil.

Sesungguhnya ini bukan kerja mudah. Ia memerlukan tumpuan mata, telinga, dan minda bagi jangka masa yang cukup lama.

* * *


Dalam Bhagavad Gita, Arjuna mengemukakan 16 “soalan besar” dan Krishna memberi huraian panjang lebar.

Bagaimanapun, tiada “soalan besar” di Bab 1, Bab 7, Bab 9, Bab 15, dan Bab 16.

Bab 3, Bab 6, dan Bab 11 pula masing-masing menampilkan 2 “soalan besar”.

Soalan-soalan itu pula tidak semestinya muncul pada awal bab.

Hanya bagi Bab 3, Bab 5, Bab 8, Bab 12, Bab 13, Bab 17, dan Bab 18 terdapat soalan pada sloka/rangkap pertama.

Orang ramai akan berpeluang membaca, memahami, dan menghayati teks klasik ini dalam Bahasa Malaysia apabila kerja-kerja penceritaan semula selesai sepenuhnya.

* * *


“Apa yang aku nyatakan ini bukanlah perkara baharu, wahai Arjuna.” — Krishna (Bhagavad Gita)

Penceritaan semula Bab 3 Bhagavad Gita dalam bentuk prosa Bahasa Malaysia sempat dilakukan pada 3 Februari 2021.

Apabila membaca bab ini, kita akan menyedari bahawa banyak juga perkara yang diketengahkan dalam Bhagavad Gita turut ditemui dalam kitab suci beberapa agama lain yang muncul kemudian.

Buku yang sedang saya usahakan ini dijadualkan terbit pada Jun 2021 dan mungkin hanya diberi sebagai “hadiah” kepada para penyumbang budiman.

* * *


Ternyata bukan mudah untuk Krishna meyakinkan Arjuna supaya bersetuju terlibat dalam perang di Kurukshetra!

Dalam Bab 4 Bhagavad Gita, satu lagi soalan penting dikemukakan oleh Arjuna. Lalu, Krishna dengan tenang memberi jawapan panjang lebar.

Proses penceritaan Bab 4 selesai secara baik pada 4 Februari 2021.

Tidak lama lagi, kandungan Bhagavad Gita boleh dibaca, dinikmati, dan dihayati dalam edisi Bahasa Malaysia.

Sebuah lagi “Jaminan Bahan Bacaan Bermutu” daripada Uthaya Sankar SB dalam Siri Karya Klasik India – selepas Thirukkural dan Megha Duta (2018), Ramayana dan Mahabharata (2019), serta Vetalam dan Vikramaditya (2020).

* * *


“Ketahuilah bahawa karma yoga lebih baik daripada karma sanyasa.”

Dalam Bab 5 Bhagavad Gita, Arjuna mengemukakan soalan penting yang ke-5 kepada Krishna.

Pembaca akan menyedari bahawa beberapa isi penting diulang-ulang oleh Krishna dengan penuh sedar — supaya Arjuna memahami sepenuhnya.

Penceritaan semula Bab 5 dalam bentuk prosa Bahasa Malaysia selesai pada 5 Februari 2021.

Buku ini dirancang untuk diterbitkan pada Jun 2021 supaya boleh dinikmati masyarakat pelbagai kaum di Malaysia.

* * *


“Aku mahu engkau menjadi seorang yogi.” — Krishna

Topik yang diperkatakan oleh Krishna dalam Bab 6 Bhagavad Gita lebih bersifat spiritual.

Semasa melakukan penceritaan semula bab ini pada 7 Februari 2021, pelbagai istilah Sanskrit dikekalkan dan diberikan makna dalam Bahasa Malaysia.

“Sanyasi … Yogi … Sanchita Karma … Mana … Buddhi … Tapasvi … Jnani …”

Saya amat berharap projek penerbitan buku ini memberi manfaat kepada segenap lapisan masyarakat.

* * *


“Apabila engkau minum air, akulah rasa dalam air itu. Akulah sinar mentari dan cahaya bulan. Sebutan penuh sakti Om dalam mantera yang terkandung dalam kitab-kitab Veda, akulah juga. Akulah bunyi yang bergerak dalam gelombang udara. Akulah yang mengupayakan segala kemampuan fizikal dan mental manusia.”

Walau bagaimanapun, Krishna mengaku bahawa masih ramai umat manusia yang belum mencapai tahap mana (minda) dan buddhi (intelek) yang diperlukan untuk memahami bahawa dialah Pencipta yang bersifat abadi.

Demikian sedikit petikan penceritaan semula Bab 7 teks Bhagavad Gita yang diusahakan pada 8 Februari 2021.

* * *


“Siapakah atau apakah Brahman?”

Demikian soalan penting kelapan yang dikemukakan oleh Arjuna kepada Krishna dalam Bab 8 Bhagavad Gita.

Proses penceritaan semula Bab 8 selesai pada 9 Februari 2021.

“Bagaimanakah mungkin manusia yang sedang menghembuskan nafas terakhir masih mampu menyedari kewujudan engkau?”

Persoalan itu juga menuntut penjelasan daripada Krishna.

Kita akan turut perhatikan perbezaan antara “Brahma” dan “Brahman”.

* * *


Terdapat 34 sloka dalam Bab 9 Bhagavad Gita dan selesai diceritakan semula dalam Bahasa Malaysia pada 10 Februari 2021.

Bab ini menampilkan hanya Krishna bermonolog panjang dan Arjuna (sepatutnya) hanya menjadi pendengar.

Bagi tujuan buku yang sedang diusahakan, saya cuba menjadikan Bab 9 bukan sekadar monolog dari awal hingga akhir.

Terdapat 18 bab secara keseluruhan. Pada 10 Februari 2021, sejumlah 50% kerja penulisan sudah selesai.

* * *


“Aku ingin tahu secara mendalam kuasa-kuasa yang engkau miliki di kosmos ini. Bagaimanakah aku harus mengenali dan berfikir tentang engkau? Semasa bermeditasi, apakah rupa engkau yang patut aku bayangkan?”

Demikian soalan kesembilan yang dikemukakan oleh Arjuna kepada Krishna dalam Bhagavad Gita.

Penceritaan semula Bab 10 dilakukan pada 11-12 Februari 2021 — Tahun Baharu Cina.

Jawapan panjang lebar yang diberi oleh Krishna kepada pertanyaan di atas boleh dibaca, dinikmati, dan dihayati dalam versi Bahasa Malaysia apabila buku terbit pada Jun 2021.

* * *


Letupan bom atom yang digugurkan di Jepun pada Ogos 1945 sering disamakan dengan suatu gambaran yang terdapat dalam Bhagavad Gita.

Bersediakah anda untuk melihat Krishna dalam jelmaan kosmos yang juga dikenali dengan nama aishwara rupa dan vishwarupam?

Arjuna sendiri dilaporkan menggigil ketakutan sebaik berpeluang melihat jelmaan itu yang digambarkan secara terperinci.

Itulah kandungan penting dalam Bab 11. Penceritaan semula bab ini dalam Bahasa Malaysia selesai pada 13 Februari 2021.

Sesungguhnya, Bhagavad Gita tepu dengan hal-hal berkaitan ajaran Sanatana Dharma (agama abadi = Hinduisme).

Mungkin akan ada bantahan jika saya jual kepada Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ). Rujuk: Perkara 11 (4) Perlembagaan Persekutuan serta Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam Kepada Orang Islam (ikut negeri).

Maka, mungkin juga buku ini tidak dapat dijual di pasaran terbuka. Sebaliknya, hanya dikirim sebagai “hadiah” kepada para penyumbang.

Buku akan dikirim sebagai “hadiah” kepada para penyumbang.

* * *


Ada 18 “Parva” (Book) dalam Mahabharata.

Parva 6 bertajuk “Bhisma Parva” (The Book of Bhisma) dan terdiri daripada 4 bab.

Bab 3 dalam “Bhisma Parva” mengandungi Bhagavad Gita yang terdiri daripada 700 sloka dalam 18 “yoga”.

Dalam “Yoga 11” Bhagavad Gita, Krishna menunjukkan rupa kosmos (vishwarupam) kepada Arjuna.

Kini, Bhagavad Gita diceritakan semula dalam bentuk prosa Bahasa Malaysia supaya lebih mudah dihayati dan difahami sepenuhnya.

* * *


“Pencipta perlu disembah dalam rupa Brahman atau Krishna?”

Demikian pertanyaan Arjuna dalam Bab 12 Bhagavad Gita.

Selepas memberi jawapan berserta dalil, Krishna menyenaraikan pula 33 ciri seorang penganut yang disayangi.

Penceritaan semula Bab 12 dilakukan pada 15 Februari 2021.

Jangan terlepas peluang memiliki buku ini yang dijangka terbit dalam edisi terhad.

* * *


“Ada beberapa sikap yang perlu ada pada diri seorang individu yang benar-benar mahu meninggalkan keadaan jahil serta mahu menimba ilmu berkaitan tubuh dan atma,” ujar Krishna sebelum menyenaraikan dua puluh sikap itu.

Dalam versi asal Bhagavad Gita, senarai itu ditulis dalam bentuk sloka (puisi) dan tidak dinomborkan.

Dalam versi penceritaan semula yang saya usahakan dalam bentuk prosa, sengaja diberi nombor untuk memudahkan rujukan dan pemahaman pembaca.

Manuskrip Bab 13 selesai pada 16 Februari 2021.

Sesungguhnya, mulai bab ini, topik yang diperkatakan semakin berat dan semakin tinggi ciri kerohanian yang disentuh.

* * *


Dalam Bab 14 Bhagavad Gita, Krishna menjelaskan bagaimana tamas, rajas, dan sattva mempengaruhi tubuh, pancaindera, minda, dan intelek manusia.

Tentu sahaja topik ini bukan sesuatu yang boleh difahami dengan mudah.

Dalam penceritaan semula Bab 14 yang dilakukan pada 17 Februari 2021, saya berusaha memastikan huraian yang diberi mampu membantu pembaca pelbagai kaum dan latar belakang mengerti topik yang dihuraikan.

* * *


Krishna dalam Bhagavad Gita berciri Vedanta iaitu menumpukan kepada era selepas kitab-kitab Veda dalam Hinduisme (Sanatana Dharma).

Dalam Bab 15 yang selesai saya ceritakan semula dalam Bahasa Malaysia pada 18 Februari 2021, Krishna berkongsi rahsia-rahsia penting yang terkandung dalam Veda.

Turut diperkenalkan konsep “Purushottama” yang menarik untuk difahami.

* * *


Ada dua golongan manusia:

1 — Memiliki sifat-sifat mulia deva prakriti

2 — Memiliki sifat-sifat negatif asura sampadam

Krishna menyenaraikan sifat-sifat itu dan menjelaskan apa yang akan berlaku kepada mereka dalam hidup.

Bab 16 Bhagavad Gita selesai diceritakan semula pada 19 Februari 2021. Pada pandangan saya, bab ini wajar dibaca, difahami, dan dihayati oleh semua. Tambahan pula, kini boleh dinikmati dalam versi Bahasa Malaysia.

* * *


“Bagaimana jika seseorang tidak akur pada perintah yang terkandung dalam kitab-kitab Veda tetapi masih menyembah Pencipta dengan penuh kepercayaan dan penuh bakti?”

Demikianlah dalam Bab 17 Bhagavad Gita, Arjuna mengemukakan soalan kelima belas yang memerlukan penjelasan teliti daripada Krishna.

Turut dihuraikan mantera “Om Tat Sat”.

Penceritaan semula Bab 17 selesai secara baik pada 20 Februari 2021.

Hal ini bermakna, tinggal hanya satu bab (yang panjang) untuk diuruskan.

* * *

Bab 18 iaitu bab terakhir Bhagavad Gita agak panjang. Terdapat 78 sloka yang membicarakan hal-hal yang kompleks.

Pada 22 Februari 2021, saya hanya sempat melakukan penceritaan semula sehingga sloka ke-56.

Arjuna meminta Krishna menjelaskan perbezaan sanyasa dan tyag.

Pengaruh sattva, rajas, dan tamas terhadap pelbagai aspek kehidupan manusia juga diterangkan secara panjang-lebar.

Perbezaan antara buddhi dan dhriteh turut diterangkan.

Apakah pula huraian Krishna tentang “sistem kasta” yang kini dianggap amat sensitif? Adakah pemahaman kita sama dengan apa yang diketengahkan dalam Bhagavad Gita?

Orang ramai boleh membaca kesemuanya dalam bahasa yang mudah difahami dalam buku yang diusahakan.

* * *


Ada plot twist iaitu unsur di luar jangkaan pada bahagian akhir Bhagavad Gita!

Sambungan Bab 18 (akhir) selesai pada 23 Februari 2021.

Selepas menghuraikan pelbagai perkara dan menyampaikan pelbagai ilmu kepada Arjuna, akhirnya Krishna mengingatkan bahawa segala hal itu hanya boleh dikongsi dengan individu tertentu.

Amaran dan peringatan Krishna amat wajar dan kena pada tempat — khususnya apabila saya menceritakan semula (retell) kisah ini dalam Bahasa Malaysia dan boleh dibaca/difahami oleh semua Bangsa Malaysia.

Adakah anda rasa anda termasuk dalam kategori orang yang “dibenarkan” dan “layak” membaca Bhagavad Gita?

* * *

Buku ini dijadualkan terbit pada Jun 2021.

Segera [klik di sini] untuk membaca maklumat berkaitan.