18 Oct 2019

Reaksi Pembaca — Jaymani Sevanathan


Kita sudah mengenali Uthaya Sankar SB sebagai pengarang yang gemar menulis cerpen, esei, dan karya-karya yang mudah difahami dan boleh dibaca oleh semua lapisan masyarakat.

Buku terbaharu beliau berjudul Ramayana dan Mahabharata (2019) wajar ditelaah dan saya melihatnya sebagai ringkasan karya klasik India yang baik dan bermutu.

Pertamanya, kita dapat mengenali kesusasteraan atau dua karya epik purba masyarakat India, iaitu Ramayana dan Mahabharata.

Saya sendiri sebagai penganut agama Hindu, hanya mengenali karya Ramayana hasil tontonan filem animasi sewaktu kecil. Kisah Mahabharata pula tidak pernah diajar atau diperkenalkan kepada saya! Saya juga tidak mengambil sebarang inisiatif untuk mengenali karya-karya ini secara mendalam. Maka, ilmu pengetahuan saya mengenai Mahabharata dan Ramayana memanglah sangat sedikit.

Oleh sebab itu, saya berasa teruja apabila Uthaya mengambil inisiatif menulis dan menerbitkan buku ini yang mencatatkan kisah-kisah daripada epik Ramayana dan Mahabharata.

Teknik Uthaya yang paling saya suka adalah beliau tidak mengkhususkan penulisan kepada watak-watak Rama, Laksamana dan Sita sahaja, sebaliknya mengangkat pelbagai kisah yang berlaku sebelum kelahiran mereka. Hal ini yang menarik minat saya. 

Watak-watak seperti Raja Raghu (moyang kepada Rama dan Laksamana) dan Raja Dilipa (bapa kepada Raja Raghu) baru saya kenali apabila membaca buku Ramayana dan Mahabharata.

Antara kisah yang menarik perhatian saya dalam bahagian kisah Ramayana adalah permintaan Dewi Gangga yang inginkan Dewa Shiva tunduk melutut di Bumi dan membenarkan bahunya dihentam apabila Dewi Gangga mengalir turun dari kayangan. 

Kisah ini membuka mata saya bahawa memang ada persengketaan dalam kalangan dewa dan dewi di kayangan dalam epik dan purana India-Hindu.

Dalam bahagian Mahabharata pula, saya sedar ia bukan terhad kepada kisah perang antara Pandava dan Kaurava, atau kisah Karna dan Dewa Krishna. Sebaliknya, dimulakan dengan kisah Raja Shantanu daripada keturunan Kuru.

Uthaya sememangnya dikenali sebagai penulis yang selalu memperkenalkan budaya kaum India dan agama Hindu dalam penulisan; seperti yang dapat dilihat menerusi kumpulan esei Malaiur Manikam (2015) dan Mandala Bicara (2016). Kini, selepas buku Thirukkural dan Megha Duta (2018), beliau memperkenalkan dua lagi karya epik India yang sesuai dibaca masyarakat pelbagai kaum di Malaysia. [Lihat — Senarai Buku Uthaya Sankar SB]

Oleh sebab itu, bagi orang ramai yang menyokong gerakan, hasrat atau kempen #MalaysiaMembaca serta ingin mengenali epik-epik India, maka buku ini wajar menjadi pilihan. Jaymani Sevanathan (dikirim pada 17 Oktober 2019)

[Lihat juga — Komen Murali Mohan] Anda juga mungkin berminat membaca [Busana Bahasa — Antologi Karya Sasterawan Kavyan] [Biodata Sasterawan Kavyan]