Sekiranya anda mahu memberikan hadiah yang
mampu membantu kenalan dari negara luar mengenali sastera, budaya dan keadaan
sosial di Malaysia, antologi In the Shadows of the Palm: An Anthology of Malaysian Short
Stories (2009) mungkin suatu pilihan yang baik.
Hanya dua cerpen dalam antologi ini
merupakan karya asli dalam Bahasa Inggeris manakala baki 34 cerpen adalah karya
Bahasa Malaysia yang diterjemahkan sebagai salah satu usaha Dewan Bahasa dan
Pustaka (DBP) memperkenalkan karya-karya tempatan kepada khalayak antarabangsa.
Untuk makluman, pada tahun 1974, DBP pernah
menerbitkan antologi sulung seumpama ini, iaitu Modern Malaysian Stories: An Anthology of Malaysian Modern Writings
diikuti The Changing Tide: The Best
Malaysian Short Stories pada tahun 1998.
Walaupun dewasa ini Institut Terjemahan
& Buku Malaysia (ITBM) – yang dahulu dikenali sebagai Institut Terjemahan
Negara Malaysia (ITNM) – lebih aktif dan berjaya menggerakkan usaha-usaha menterjemah
karya Bahasa Malaysia ke bahasa-bahasa utama
dunia, sumbangan serta usaha DBP tidak boleh dinafikan atau diperkecilkan.
Apa yang menarik adalah bahawa para penulis
yang karya mereka dimuatkan dalam antologi ini terdiri daripada pelbagai etnik,
budaya, latar pendidikan dan tempat tinggal. Hal ini penting supaya antologi
ini benar-benar mewakili “Malaysian short
stories” tanpa tertumpu pada kelompok kaum tertentu atau pengarang dari
Semenanjung Malaysia semata-mata.
Sasterawan Negara yang karya mereka
diterjemah dan dimuatkan dalam antologi ini ialah Abdullah Hussain, A. Samad Said, Anwar Ridhwan, Arena Wati, Shahnon
Ahmad dan S. Othman Kelantan.
Antara pengarang besar dan penting yang
masih aktif menulis dan perlu turut diberi perhatian oleh khalayak ialah Faisal Tehrani, Jong Chian Lai, Saroja Theavy Balakrishnan, Siti Zainon
Ismail, S.M. Zakir dan Zaharah Nawawi.
Dr Wong Soak Koon yang menulis pengenalan
bagi antologi ini menyebut bahawa kebanyakan cerpen yang terkumpul mengangkat
serta membicarakan tema hubungan kaum, cabaran dunia moden, peranan wanita
dalam pembangunan serta imbasan sejarah.
Walau bagaimanapun, perlu dinyatakan bahawa
“ulasan” yang dilakukan Soak Koon lebih tertumpu pada watak-watak wanita dalam cerpen-cerpen
yang termuat dalam antologi ini. Tentu sahaja apa yang disajikan menerusi
kesemua 36 cerpen ini adalah lebih daripada itu dan wajar diteroka sendiri oleh
pembaca.
Cerpen-cerpen yang dipilih secara amat
teliti untuk diterjemahkan adalah karya-karya “besar” yang pernah menang
anugerah dan diperakukan ketinggian mutu dari pelbagai aspek penulisan sastera.
Kebanyakan cerpen ini juga – dalam versi asal Bahasa Malaysia – sudah dimuatkan dalam
beberapa antologi; sekali gus membuktikan kualitinya yang tidak pudar ditelan
masa.
Satu-satunya kelemahan yang “mengganggu” proses
pembacaan saya adalah kesalahan Bahasa Inggeris yang agak ketara. Hal ini
mungkin berlaku kerana penterjemah kurang menguasai bahasa itu; atau
penyelenggara dan penerbit tidak memberikan perhatian yang sewajarnya terhadap
aspek berkenaan.
Saya percaya bahawa kelemahan itu akan
dibaiki apabila/sekiranya antologi ini diulang cetak. Penerbit juga diharap
lebih teliti apabila menterjemah karya Bahasa Malaysia ke Bahasa Inggeris
pada masa hadapan.
(Uthaya Sankar SB menyertai Ubud Writers & Readers Festival di
Bali, Indonesia pada 3-10 Oktober 2011 dan memenuhi undangan ke Makassar International Writers Festival
di Sulawesi, Indonesia pada 13-20 Jun 2012. Ulasan buku ini ditulis pada 24 Mei
2012 dan disiarkan di Free Malaysia Today pada 15 Jun 2012. Sila KLIK DI SINI untuk
maklumat lanjut mengenai ruangan ulasan buku.)