Penulis kaum India yang menceburi bidang Sastera Kebangsaan
masih mengharapkan suntikan motivasi dan galakan dari luar untuk membantu
mereka terus menghasilkan karya sastera kebangsaan.
Demikianlah
keputusan umum yang dapat dibuat hasil perbualan dan perbincangan saya dengan
sebelas rakan penulis
kaum India, baru-baru ini.
Sesungguhnya,
tidak ramai kaum India di Malaysia terlibat dalam sastera kebangsaan,
berbanding sastera Tamil dan Inggeris. Perincian boleh dibaca dalam buku Kavya Sastra
(2021) yang merupakan tesis sarjana sastera tulisan saya.
Perbincangan
saya dengan sebelas penulis pula bertujuan mengenal pasti kekangan dihadapi dalam
tempoh lima tahun lalu (2020-2024).
K. Pragalath Kumar, seorang wartawan di sebuah
portal berita dan turut menulis cerpen serta rencana pada 2020 dan 2021. Beliau
mengaku mendapat semangat apabila membaca antologi terbitan Pertubuhan
Sasterawan Kaum India (Kavyan) dan
berbual dengan rakan-rakan penulis.
Malangnya,
kesibukan kerja hakiki dan ketiadaan masa untuk menyemak serta membetulkan
manuskrip sendiri menjadi alasan Pragalath tidak menghasilkan karya bahasa
kebangsaan sejak 2022.
Masalah
kesihatan dan kewangan pula menjadi punca KA. S. Annadurai, guru pakar bahasa Jerman
dari Petaling Jaya, Selangor tidak menghasilkan sebarang karya sejak 2022.
Sebelum
itu, beliau berjaya menulis sajak, cerpen, dan rencana susulan menyertai bengkel penulisan
anjuran Kavyan. Membaca antologi Kavyan,
berbual dengan rakan-rakan penulis dan bukan penulis, serta membaca karya
penulis tempatan dan luar negara menjadi penyuntik semangat kepadanya.
Inba Malar a/p
JNJ Money
berpengalaman menjadi kaunselor berdaftar di sebuah sekolah di Seremban, Negeri
Sembilan. Beliau menulis karya bahasa Tamil di majalah tempatan sejak 1986.
Pada
2021, tiga karya bahasa kebangsaan termuat dalam antologi Paling: Sepilihan Memorabilia hasil galakan keluarga dan motivasi
kendiri. Namun, ketiadaan idea dan bahan cerita menjadi alasan beliau tidak
menghasilkan karya baharu selepas itu.
Seorang
lagi individu yang turut menulis karya bahasa Tamil ialah Poomagal Chandran. Beliau menjadi guru di Sekolah Jenis Kebangsaan
Tamil (SJKT) Tun Sambanthan, Subang Jaya, Selangor dan mengaku masih baharu
dalam penulisan karya bahasa kebangsaan.
Hasil
galakan keluarga dan rakan-rakan, motivasi kendiri dan penglibatan dalam aktiviti
Kavyan membolehkannya menghasilkan dua sajak yang termuat dalam antologi Impi (2024).
Namun
begitu, kesibukan kerja membuatkan guru ini tidak dapat memberi tumpuan penuh
kepada kerja-kerja penulisan. Beliau juga tidak tahu ke mana karyanya sesuai
dihantar.
Kesibukan
kerja di sebuah syarikat percetakan di Kepala Batas, Pulau Pinang pula menjadi
punca Durgadewi a/p
Anamaili tiada masa terluang untuk menulis. Sebelum ini, hasil galakan
keluarga dan rakan-rakan, beliau berjaya menulis sebuah cerpen dalam antologi Meredah Kabus
(2021).
Bengkel
penulisan Kavyan menjadi pencetus motivasi kepada seorang lagi guru, Murali Mohan,
dari Kota Tinggi, Johor. Ada beberapa karyanya tersiar di portal dalam talian
sejak 2020 dan termuat dalam antologi Kavyan.
Guru ini
yang turut menulis karya bahasa Tamil menyenaraikan tiada motivasi diri, tiada
sokongan pembaca, tiada idea untuk karya, dan kesibukan kerja sebagai punca
kurang menghasilkan karya. Tambahan pula, beliau sedang menyambung pengajian peringkat
sarjana.
Seorang
lagi guru yang masih aktif menulis sejak 2021 ialah Malini
Lakshmi Bai. Sajak, cerpen dan rencana beliau tersiar di portal dalam
talian dan antologi terbitan Kavyan.
Turut
aktif menghasilkan karya sejak 2020 ialah Richard Ignacy
yang kini tinggal di Putrajaya dan bakal (sudah) menamatkan pengajian doktor
falsafah di Universiti Putra Malaysia (UPM).
Penulis
kaum India yang tidak menjadikan kecacatan sebagai halangan untuk berkarya
ialah Arul Das Arumugam dari Mantin,
Negeri Sembilan. Beliau menulis purata dua karya setahun sejak 2020 di majalah
dan jurnal. Buku swaterbit berjudul Komuniti
India Kawasan Mantin Negeri Sembilan 1900-1999 dijadualkan terbit pada
Januari 2025.
“Kesibukan
menjaga ibu bapa yang uzur, kerja hakiki, masalah kesihatan, serta ketiadaan
masa untuk menyemak dan membetulkan manuskrip menjadi alasan saya tidak mampu
lebih aktif menulis,” kata guru ini.
Seorang
lagi guru yang aktif menulis sajak, cerpen, rencana dan wawancara di portal dalam talian
serta antologi sejak 2020 ialah Anuradha
Chelliah dari Banting, Selangor.
Tidak
lupa juga penulis veteran, M. Mahendran
dari Bentong, Pahang yang terus aktif menulis cerpen, rencana, dan catatan
pengalaman dalam bahasa kebangsaan dan Tamil di akhbar, antologi dan portal dalam talian.
Dalam
perbincangan kami, saya perhatikan bahawa penulis yang masih aktif menulis
menerima beberapa suntikan dari luar, selain motivasi kendiri. Misalnya,
galakan keluarga dan rakan-rakan serta aktiviti dan bengkel penulisan Kavyan.
Penulis
seperti Richard, Anuradha, Mahendran, dan Malini turut mendapat motivasi
apabila membaca semula karya sendiri dan antologi terbitan Kavyan atau membaca
karya penulis Malaysia dan luar negara.
Pengalaman
menonton drama, filem, atau dokumentari serta perbualan santai dengan
rakan-rakan juga mencetuskan idea selain memberi motivasi untuk kekal
bersemangat menghasilkan karya.
Apa pula
situasi yang mampu membuatkan para penulis kaum India ini kembali aktif menulis
karya Bahasa
Malaysia pada tahun ini? Amat nyata, suntikan semangat dan motivasi
dari luar sangat diharapkan rakan-rakan penulis yang terlibat dalam
perbincangan.
Bengkel
penulisan dan bedah karya anjuran Kavyan serta motivasi daripada rakan-rakan amat
diperlukan dan diharapkan. Bayaran honorarium yang lumayan pula menjadi impian
Pragalath, Arul Das, Durgadewi, dan Murali.
Pertandingan
menulis khas untuk peserta Bukan Melayu dengan hadiah lumayan turut dianggap
boleh mencetuskan minat. Pada masa sama, rata-rata berjanji akan menulis jika
ada masa lapang.
[© Uthaya Sankar SB 2025. Disiarkan dalam ruangan “Bicara Budaya”
di akhbar Utusan Malaysia pada 4 Januari 2025. Harap maklum bahawa anda membaca
segala tulisan Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri. Tiada sesiapa memaksa
anda.]