7 Jan 2020

Unsur Kristian dalam Cerpen dan Sastera Kebangsaan


“Greater love has no one than this, than to lay down one’s life for his friend.”John 15:13 (Bible, New King James Version)

Konsep Sastera Kebangsaan yang dipelopori sejak tahun 1971 menekankan betapa perlu penulis pelbagai kaum, etnik, agama dan latar belakang menyampaikan pengalaman dan budaya komuniti mereka dalam karya Bahasa Malaysia.

Dalam pandangan yang disiarkan di majalah Dewan Sastera (Jun 1982), Ketua I Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA), Tan Sri Ismail Hussein mengharapkan supaya alam pemikiran komuniti Cina dan India, serta penganut agama Buddha, Hindu dan Kristian turut ditampilkan secara terbuka dalam Sastera Kebangsaan.

Sesungguhnya, memang ada usaha berbuat demikian oleh kelompok Sasterawan Kavyan, penulis keturunan Siam, serta penulis beragama Hindu dan Buddha yang menulis cerpen Bahasa Malaysia.

Namun begitu, kita jarang membaca cerpen yang mengangkat dan menggambarkan hal-hal berkaitan ajaran Kristian. Sejak dahulu, watak beragama Kristian lazim ditonjolkan secara negatif; atau akhirnya masuk Islam.

Dalam hal ini, kejayaan Saroja Theavy Balakrishnan menyelitkan unsur-unsur Kristian secara amat kemas, teliti dan kreatif dalam cerpen wajar dipuji. Karya-karya beliau pernah menang Hadiah Cerpen Malayan Banking-DBP, Peraduan Menulis Cerpen Pelbagai Kaum, Hadiah Sastera Kumpulan Utusan, dan Pertandingan Menulis Cerpen Formula Malaysia.

Cerpen yang akan dibincangkan di sini berjudul “Dalam Perut Jerung Raksasa” yang tersiar di majalah Dewan Sastera (Mei 1997), sebelum dimuatkan dalam buku Keinginan Kecil di Celah Daun (2003).

Secara ringkas, kisahnya mengenai Selvi (30 tahun) yang risau memikirkan adik lelaki tunggalnya, Saravanan (15 tahun), yang sudah seminggu tidak pulang ke rumah. Si ibu, seorang balu, pula sedang resah menunggu.

Pada lapis permukaan, cerpen ini mengkritik “anak-anak muda yang begitu gian untuk menonton filem Tamil”. Malah, amalan menonton filem baharu “sudah menjadi tradisi masyarakat India”. Penonton di pawagam pula digambarkan “seperti boneka yang bernyawa”.

Tiba-tiba, muncul seorang wanita tua bersari putih dan berkulit cerah; wajahnya “berkedut seribu” dan terpancar “sekuntum senyuman raja” (senyum yang dibuat-buat). Nenek misteri itu – yang langsung tidak dikenali oleh Selvi – tahu segala hal mengenai Saravanan.

Rencana penuh boleh dibaca dalam buku Kisah Sasterawan Kavyan (2022).

[Rencana ini pertama kali disiarkan di Eksentrika pada 31 Disember 2019. © Uthaya Sankar SB. Harap maklum bahawa anda membaca sebarang paparan di mana-mana blog kendalian Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri. Hubungi uthayasb@gmail.com jika ada sebarang pertanyaan.]