Nama saya Muruku. Saya dinamakan demikian kerana saya berpintal-pintal. Saya berasal dari selatan India. Saya biasanya dibuat pada musim-musim perayaan, terutamanya semasa Deepavali, iaitu perayaan yang menyambut kejayaan menentang kejahatan. Deepavali juga disebut Pesta Cahaya.
Saya bukanlah hanya makanan kegemaran semua orang, tetapi saya adalah suatu kemestian. Tiada rumah kaum India yang menyambut Deepavali tanpa saya. Hal ini kerana mengikut tradisi, suatu masakan berasaskan minyak perlu dibuat di setiap rumah menjelang Deepavali.
Bagaimanakah saya disediakan? Prosesnya bukanlah rumit sangat terutamanya pada zaman moden ini. Belilah sepeket tepung muruku di pasaran. Gaulkannya dengan air mengikut sukatan yang sepatutnya. Sediakan kuali di atas api. Panaskan minyak. Gunakan acuan yang disediakan dan buat bentuk yang sesuai. Kemudian, masukkan tepung mentah tersebut ke dalam kuali dan goreng dalam minyak. Apabila saya sudah masak, keluarkan saya dari periuk dan nikmatilah muruku yang ranggup.
Dahulu, proses pembuatan saya agak rumit. Beras akan direndam dan dijemur di bawah sinaran matahari untuk beberapa hari. Apabila beras tersebut sudah kering, maka dimasukkan ke dalam ural bersama dal urad dan akan ditumbuk sehingga hancur. Wah! Memang hebat wanita-wanita zaman dulu. Perkara yang paling menyeronokkan, semua ahli keluarga akan membuat muruku bersama-sama sambil berbual-bual.
Campuran tersebut akan digaul bersama air, garam asafoetida, dan serbuk jeera. Adunan tersebut akan dimasukkan ke dalam acuan yang boleh mengeluarkan bentuk berpintal-pintal. Selepas itu, digoreng menggunakan minyak sayuran.
Saya juga terdapat dalam pelbagai versi. Ada muruku yang dipanggil kai muruku iaitu versi yang dipintal menggunakan tangan. Ada juga muruku pedas dan digelar kaara muruku. Poondu muruku pula dibuat menggunakan bawang putih. Thengai paal muruku adalah muruku yang menggunakan santan kelapa.
Oh! Sebelum saya terlupa: Jangan ubah nama saya! Nama saya tetap MURUKU walau di mana saya berada; atau jika saya turut dijadikan juadah semasa sambutan hari-hari perayaan kaum/agama lain.
Baca juga — Deepavali Bukan Sekadar Muruku — Thali, Rantai Perkahwinan Wanita India — Pemakaian Sari Dalam Kalangan Wanita Tamil — Paramapatam, Permainan Ular dan Tangga — Kolattam Memupuk Perpaduan — Alat Muzik Thavil dan Nadasvaram — Kenali Kehebatan Rudraksha — Nama-nama dari Sangakalam — Dewa Ganesha Ketinggalan Zaman.
[Esei ini ditulis oleh Anuradha Chelliah sebagai salah satu usaha kecil-kecilan membantu Bangsa Malaysia mengenali budaya India/Hindu, serta “menyelamatkan” budaya India/Hindu daripada dicuri pihak lain. © Anuradha Chelliah 2018.]