“Imaginasi lebih
penting daripada pengetahuan. Ilmu pengetahuan adalah terhad. Khayalan pula
melingkungi seluruh dunia.” Demikian ditegaskan oleh Albert Einstein apabila
diwawancara bagi majalah The Saturday
Evening Post (26 Oktober 1929).
Daya imaginasi atau
khayalan memang menjadi sumber inspirasi kepada banyak penemuan baharu dalam
tamadun moden, khususnya dalam bidang sains dan teknologi.
Epik Ramayana tulisan Valmiki ternyata merupakan
fiksyen sains yang pertama di dunia. Teks berkenaan dihasilkan sekitar abad
ke-4 Sebelum Masehi dan menggambarkan kisah yang berlaku sekitar tahun 7300
Sebelum Masehi.
Ramayana sering dilihat sebagai karya sastera agung (susastra) dan karya sejarah (itihasa).
Makalah ini pula memperkatakan budaya pemikiran sains dan teknologi yang
terkandung di dalamnya. Tumpuan khusus diberikan kepada kehadiran kapal terbang
– atau vimana dalam Sanskrit – dalam
epik ini yang sebenarnya memenuhi ciri-ciri sebuah karya fiksyen sains.
Watak Sita (isteri
Rama) menyebut mengenai beberapa jenis kapal terbang dalam bab Ayodhya Kanda. Dialognya merujuk kepada
“kereta terbang” yang “bergerak merentas langit”. Watak Sumantra (penasihat
kepada Dasaratha, bapa Rama) menyebut mengenai “kereta terbang milik
dewa-dewi”.
Watak Ravana dan
isterinya, Mandodari, dikatakan sering menaiki Dandu Monara untuk bersiar-siar di sekitar Lanka. Kereta terbang Pushpa Vimana atau Dandu Monara juga digunakan oleh Ravana untuk menculik Sita dari
Hutan Dandaka di bahagian tengah Benua Kecil India. Sita diterbangkan ke istana
Ravana di Lanka yang terletak di seberang laut. Jarak yang dinyatakan dalam Ramayana adalah 200 Yojana (sekitar 2,400 kilometer).
Selepas Ravana
dibunuh, adiknya, Vibhisana diangkat oleh Rama menjadi pemerintah Lanka.
Vibhisana pula menghadiahkan Pushpa
Vimana kepada Rama supaya putera itu bersama-sama isteri dan para
pengikutnya (golongan vanara dan riksha dari Kishkinda) boleh pulang ke Ayodhya
di bahagian utara India. Ketibaan mereka disambut meriah dalam bentuk perayaan Deepavali.
[Tonton Video Berkaitan — Sari kata oleh
Uthaya Sankar SB]
[Rencana ini
ditulis pada 21 Julai 2017 dan teks penuh boleh dibaca dalam majalah Dewan Budaya, Oktober 2017 dan Suvarna Bhumi. © Uthaya Sankar SB 2017. Harap maklum bahawa anda
membaca mana-mana paparan di mana-mana blog kendalian Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]