Pembaca akan lebih memahami dan kagum dengan gerakan mubaligh Kristian. |
Islam adalah indah. Islam adalah mudah. Islam menggalakkan salam (keamanan). Itu antara perkara paling asas yang diketahui dan diakui oleh semua pada peringkat antarabangsa.
Bagaimanapun, nampak gayanya, keadaan sedikit berbeza dalam konteks di Malaysia kerana sentiasa ada pihak tidak bertanggungjawab yang cuba mencemarkan kesucian dan keindahan Islam dengan memanipulasi nama Islam itu sendiri.
Dalam perkembangan terkini – dan masih hangat – adalah isu “Seminar Kalimah Allah dan Kristologi Nusantara” anjuran Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) pada 6 Mei 2014.
Seperti yang saya tegaskan dalam laporan polis pada 8 Mei 2014, sebagai pengamal multifaith (percaya pada ajaran semua agama), saya membidas kandungan seminar itu yang dijadikan platform mempersenda ajaran Kristian dan penganut Kristian secara keseluruhan.
Apabila saya berpeluang membaca buku Pendedahan Agenda Kristian (2014) terbitan MAIS, perasaan saya amat terganggu. Seperti yang saya nyatakan dalam makalah bertajuk “Benarkah ini agenda Kristian?” (Projek Dialog, 16 Mei 2014), saya berjaya mendapatkan senaskhah buku itu pada 15 Mei 2014 dan terus membacanya dengan penuh teliti.
Perasaan saya terganggu bukan sahaja kerana buku itu berciri anti-Kristian serta boleh diklasifikasikan sebagai bahan bacaan berunsur fitnah terhadap ajaran Kristian dan penganut Kristian.
Selain daripada itu, saya terasa amat bimbang kerana buku itu khabarnya telah diedarkan secara percuma kepada peserta – majoriti Melayu-Islam – yang menghadiri (atau dipaksa menghadiri) seminar berkenaan.
Saya mempunyai alasan untuk berasa khuatir bahawa buku Pendedahan Agenda Kristian boleh menjadi pencetus, pemangkin dan penggalak kepada lebih ramai orang Melayu meninggalkan agama Islam (murtad; daripada kata “riddah” dalam bahasa Arab) dan memilih untuk memeluk agama Kristian.
Selepas saya dan Perzeus James membuat laporan polis (8 Mei 2014), kami berdua diminta pergi ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam pada 16 Mei 2014 untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan kes.
Antara lain, kami menegaskan kepada pegawai penyiasat jenayah, Inspektor Rohaini Baharom, bahawa penganjur dan penceramah seminar itu perlu disiasat mengikut Seksyen 298 dan 298A Kanun Keseksaan kerana menggalakkan perpecahan, permusuhan, ketidak harmonian dan kebencian dengan menggunakan alasan agama.
Buku ini wajar diteliti oleh Jakim dan KDN kerana mungkin boleh menyesatkan orang Islam. |
Nampaknya, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) juga perlu diminta segera mengkaji buku Pendedahan Agenda Kristian yang dikhuatiri menyelitkan “agenda” tersembunyi “memudahkan” orang Islam murtad!
Punca Orang Melayu Keluar Islam
Dalam pada Jakim dan KDN “meraikan kejayaan” mengharamkan novel Perempuan Nan Bercinta (2012) karya Faisal Tehrani hampir dua tahun selepas ia diterbitkan (dan khabarnya sudah habis dijual dan dibaca orang), jangan sampai buku “panduan untuk murtad” seperti ini terlepas daripada radar. [Baca juga — Sastera Adalah Makanan Anjing]
Sesungguhnya Pendedahan Agenda Kristian adalah sebuah buku yang berciri anti-Kristian, tidak mengambil kira sensitiviti masyarakat, mengancam ketenteraman awam, berniat jahat, berunsur fitnah dan mengandungi anasir-anasir yang mampu menghancurkan keharmonian rakyat pelbagai kaum, agama, etnik, kepercayaan dan mazhab di Malaysia.
Seperti dinyatakan dalam buku itu sendiri, “tindakan memurtadkan umat Islam walau dengan apa alasan sekalipun adalah sesuatu perkara yang tidak wajar.” Anehnya, terdapat banyak unsur “galakan murtad” dalam buku ini sendiri!
“Isu murtad di kalangan umat Islam di Malaysia telah sampai ke tahap kritikal malah dikhuatiri semakin bertambah setiap hari. Gejala ini memberi gambaran kepada kita bahawa semakin ramai umat Islam telah terpesong daripada ajaran Islam sebenar selain kekuatan Islam di Malaysia semakin tergugat oleh pelbagai anasir dalaman atau luaran.”
Petikan di atas (daripada halaman 30 buku berkenaan) benar-benar merisaukan saya dan membuatkan saya khuatir akan kesan psikologi yang akan dirasai oleh generasi muda Melayu-Islam yang memiliki “kejahilan” dan “keinginan meneroka perkara baru” (halaman 31).
Sejak kecil hingga sekarang, saya tidak pernah membayangkan ada orang Melayu-Islam yang sanggup meninggalkan segala keistimewaan, kemewahan dan peluang khas yang dimiliki (seperti dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan) semata-mata kerana terpengaruh dengan “gelombang murtad” iaitu “gejala yang semakin menular”. Tambahan pula, murtad dikira sebagai jenayah berat dalam Islam.
Bagaimanapun, buku Pendedahan Agenda Kristian seolah-olah tampil “mengajar” pelbagai teknik dan taktik yang boleh ditangani untuk kekal murtad tanpa perlu kehilangan apa-apa kemewahan dan hak istimewa yang diperolehi sebagai Bumiputera dan Melayu-Islam.
Buku ini turut mengakui wujud “kelalaian dan kelemahan jatidiri umat Islam” termasuk faktor-faktor luaran seperti “ujian kebendaan, kelemahan penguatkuasaan, desakan hidup, perkahwinan, kelemahan ummah” selain “usaha mubaligh agama lain”.
Orang Melayu yang ada “niat” untuk murtad mungkin tidak sanggup berbuat demikian selama ini kerana “Mahkamah Syariah mengharamkan seseorang Muslim keluar daripada agama Islam (murtad) berdasarkan peruntukan undang-undang Islam” (halaman 38).
Kisah menarik bagaimana Jamaluddin menjadi paderi Melayu pertama. |
Bagaimanapun, kalau mereka berpeluang membaca buku ini, saya khuatir, bimbang dan gelisah bahawa mereka akan mendapat “semangat baru”. Apa tidaknya! Buku ini “mengajar” apa yang pernah dan boleh dilakukan secara langkah demi langkah (step by step).
Diterangkan dalam buku ini (halaman 35) mengenai “kejayaan” Jamaluddin Osman @ Joshua Jamaluddin dilantik menjadi Paderi Melayu pertama di Petaling Jaya pada tahun 1987.
Kes-kes Yang Menaikkan Semangat!
“Beliau pernah ditahan ISA. Tetapi pihak gereja, beberapa NGO, beberapa pemimpin politik dan Majlis Peguam pernah membantah dan mencabar kes berkenaan di mahkamah. Father Joshua Jamaluddin memiliki iras Melayu dan berpakaian seperti Melayu kini lepas bebas untuk menggerakkan program kristianisasi terhadap umat Islam.”
Harap maklum bahawa perenggan di atas bukan daripada sebuah buku dakwah mubaligh Kristian, tetapi daripada sebuah buku terbitan MAIS yang diedarkan secara percuma kepada orang ramai (Islam) semasa seminar anti-Kristian di UiTM.
Tidak mustahil bahawa “semakin ramai umat Islam (yang) telah terpesong daripada ajaran Islam sebenar” (halaman 30) akan berasa kagum membaca kisah kejayaan Father Joshua Jamaluddin yang “kini lepas bebas”. Mungkin mereka tidak pernah tahu mengenai perkara ini tetapi kini mereka sudah tahu secara jelas dan mendalam.
Jangan lupa bahawa “kempen Kristianisasi” ini bukan dilakukan mubaligh Kristian, sebaliknya menerusi sebuah buku terbitan MAIS. Sementara UiTM menganjurkan seminar anti-Kristian, MAIS pula seolah-olah mengambil peluang mengedarkan buku “panduan untuk murtad” kepada peserta yang terdiri daripada pelajar institusi pengajian tinggi dan sekolah menengah.
Kes Lina Joy dihuraikan dalam bentuk isi-isi penting yang mudah dibaca dan difahami (halaman 36-41). Kalaulah saya seorang Melayu-Islam dan saya bercadang untuk murtad – tanpa “dipengaruhi” orang Kristian – maka banyak panduan berguna yang boleh saya pelajari dengan membaca buku Pendedahan Agenda Kristian.
Bayangkan bahawa saya (andaikan saya Melayu-Islam) seorang pelajar yang menghadiri “Seminar Kalimah Allah dan Kristologi Nusantara” pada 6 Mei 2014 dan menerima senaskhah buku berkenaan yang diedarkan secara percuma oleh MAIS.
Ibu bapa saya pasti tidak menghalang saya membaca buku itu; malah mungkin berasa bangga melihat anak mereka sudah mula membaca buku-buku “agama” terbitan MAIS selepas menghadiri seminar anti-Kristian anjuran UiTM.
Kes Aishah Bokhari (halaman 42-46) mungkin akan menambah semangat dan keyakinan saya bahawa ada pelbagai pihak (NGO, peguam dan sebagainya) yang akan tampil “membantu” saya sekiranya saya memutuskan untuk meninggalkan agama Islam (murtad).
Kes Lina Joy dan Nor Aishah boleh dijadikan “panduan” untuk murtad. |
Pada halaman 47, dinyatakan bahawa salah satu kesan daripada kes Lina Joy dan Aishah Bokhari adalah “buka peluang kes baharu dan tambah keberanian yang telah murtad” walaupun mengikut hukum syarak, “pesalah murtad boleh dikenakan hukuman bunuh” (halaman 30).
Pada penelitian saya sebagai seorang pengamal media, “impak dan kesan ke atas umat Islam” seperti yang dikhuatiri itu sebenarnya turut dibawakan menerusi buku Pendedahan Agenda Kristian terbitan MAIS. Tambahan pula, buku ini ditulis menggunakan Bahasa Malaysia yang amat mudah dibaca dan difahami orang Melayu.
(Soal bahasa terpaksa diungkitkan di sini kerana terdapat kes buku tulisan Charles Darwin dan Karen Armstrong dalam versi Bahasa Inggeris dibiarkan tetapi terjemahan Bahasa Malaysia diharamkan oleh KDN di negara bertuah ini.)
Jakim, KDN Elok Siasat Sebelum Terlewat
Memandangkan bahawa kini terdapat capaian internet di mana-mana, MAIS seolah-olah tidak lupa “membuka ruang dan peluang” kepada orang Melayu-Islam yang mungkin mahu mendapatkan lebih banyak maklumat dan “panduan untuk murtad” dari seluruh dunia.
Mereka hanya perlu mendapatkan beberapa pautan (link) yang dipromosikan dalam buku ini (halaman 48-52) untuk tahu bahawa mereka tidak sendirian dalam “perjuangan” mereka untuk meninggalkan agama Islam!
Malah, MAIS secara penuh licik memberikan pautan bagi sebuah laman “yang ditubuhkan untuk membela golongan murtad yang ingin melarikan diri ke luar negara setelah murtad”. Sekali lagi, harap maklum bahawa pautan itu bukan diberikan oleh “mubaligh Kristian” dan “musuh-musuh Islam”.
Melalui buku Bahasa Malaysia ini juga, saya (bayangkan bahawa saya orang Melayu-Islam yang tidak tahu Bahasa Inggeris) berjaya memahami sepenuhnya makna “evangelisme”.
Saya difahamkan – oleh MAIS – bahawa “agama Kristian adalah agama misionari, yang meletakkan statusnya sebagai agama universal. Ajarannya menetapkan bahawa agama ini mesti disebarkan ke seluruh umat manusia.”
Salah satu laman yang dipromosikan MAIS dalam buku ini. |
Menerusi buku ini juga (halaman 58-59), orang Melayu mungkin menjadi amat kagum dengan semangat para penganut Kristian yang “perlu menyediakan prasarana misionari mubaligh seperti penyebar agama, bahan, sasaran fokus dan cara penyebaran.”
Pelbagai artikel berkaitan agama Kristian dalam Bahasa Inggeris diterjemahkan kepada Bahasa Malaysia untuk dimuatkan dalam buku ini sehingga mampu membuatkan pembaca Melayu-Islam (yang tidak tahu Bahasa Inggeris sekalipun) kagum dengan gerakan mubaligh Kristian yang amat profesional, tahan lasak dan intelektual.
Malah, dikemukakan pelbagai “penyamaran” yang boleh dimanfaatkan oleh orang Melayu yang sudah meninggalkan Islam dan memeluk Kristian secara senyap-senyap. Ada pelbagai idea yang mungkin tidak pernah kita terfikir selama ini. MAIS memang hebat, bijak dan licik dalam “menyampaikan maklumat berguna” berhubung perkara ini.
Ingat: Segala maklumat dan “panduan untuk murtad” itu bukan disebarkan kepada anda oleh orang Kristian dan “musuh-musuh Islam” tetapi oleh sebuah pertubuhan Islam. Dan saya mungkin dipersalahkan kerana melakukan pendedahan ini serta meluahkan kekhuatiran saya secara terbuka.
Buat masa ini, buku Pendedahan Agenda Kristian tidak diharamkan oleh Jakim dan KDN. Maka bayangkanlah bahawa orang Melayu-Islam bebas membacanya secara berani di tempat terbuka untuk mendapatkan “panduan untuk murtad”.
Perkara ini amat merisaukan saya. Besarlah harapan saya bahawa Jakim dan KDN akan menganggap makalah ini sebagai aduan rasmi daripada seorang rakyat Malaysia yang bertanggungjawab, lalu mengambil tindakan sewajarnya bagi membendung gejala murtad dalam kalangan orang Melayu.
[Makalah ini ditulis pada 18 Mei 2014 dan disiarkan di Projek Dialog pada 18 Mei 2014. © Uthaya Sankar SB 2014. Harap maklum bahawa anda membaca mana-mana kandungan di mana-mana blog kendalian Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]