Usaha sedang dilakukan oleh Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT) dan Muzium Sultan Alam Shah untuk mengenal pasti hal-hal berkaitan kaum India di Selangor; seperti sejarah, budaya, seni, bahasa dan amalan.
Ia mungkin seorang individu, kumpulan orang, atau pertubuhan berdaftar (NGO) yang merupakan pengamal, pengumpul, pengusaha, peminat, penggiat, pakar, waris atau sumber maklumat yang boleh dijadikan rujukan.
Saya [Uthaya Sankar SB] secara peribadi terlibat dalam usaha dokumentasi ini. Usaha dokumentasi termasuk wawancara lisan, fotografi, video, pengumpulan bahan (barangan), lawatan, demonstrasi dan perbincangan.
Kaum India yang dimaksudkan termasuk keturunan Tamil, Malayali, Telugu, Punjabi, Gujarati yang beragama Hindu, Kristian, Buddha, Islam, Bahai dan sebagainya. Mestilah warganegara Malaysia.
CONTOH aspek/bidang “Warisan Kaum India di Negeri Selangor” yang wajar didokumentasi termasuk (tetapi tidak terhad kepada):
● Alat muzik tradisional (contoh: tavil, urumi, sitar).
● Makanan, masakan, minuman, kuih-muih tradisional.
● Permainan tradisional (contoh: kabbadi, congkak, aadu puli attam).
● Cerita lisan tradisional (secara turun-temurun).
● Pengalaman zaman penjajahan British dan Jepun.
● Peralatan tradisional seperti tembikar tanah liat.
● Barangan perhiasan tradisional (contoh: metti, gelang, loket).
● Solekan tradisional (contoh: kumkumam, inai, pottu).
● Perayaan tradisional (contoh: ponggal, vishu, ugadi, tahun baharu).
● Lampu minyak tradisional (contoh: kuttuvilaku, agalvilaku).
● Seni pertahankan diri (contoh: silambam, kalaripayat).
● Adat lenggang perut (ibu mengandung).
● Cara memandikan dan menjaga bayi secara tradisional.
● Sejarah sekolah-sekolah Tamil di Selangor.
● Rumah ibadat (kuil, gereja, gurdwara) berusia lebih 100 tahun. (Mestilah berdaftar.)
● Pengalaman bekerja/tinggal di estet dan ladang getah.
● Tokoh penulis, pelakon, penggiat teater, pemuzik, pelukis, penari, sukan tradisional dan sebagainya.
● Pengumpul barang-barang lama berkaitan budaya kaum India.
● Individu yang menulis atau menyimpan bahan/artikel/buku berkaitan kehidupan/budaya kaum India di Selangor.
● Pemilik kebun sirih, bunga melati, sayur-sayuran tradisional serta pengusaha gerai kalungan malai tradisional.
● Pekerja/penjaga kubur Hindu.
● Warga emas yang ada kisah/pengalaman lama berkaitan kehidupan kaum India di Selangor sebelum tahun 1970.
● Pengamal perubatan tradisional (contoh: ayurveda).
● Pembuat periuk-belanga dan barangan tanah liat secara tradisional.
● Pengukir patung dan berhala.
● Pengusaha ladang ternakan lembu tenusu.
● Individu yang pernah bekerja di lombong bijih timah, pembinaan landasan kereta api, pembinaan jalan, dobi tradisional dan sebagainya.
● Individu yang menyimpan barang-barang lama yang pernah digunakan masyarakat India di estet/ladang getah pada masa lalu.
● Mana-mana individu, kumpulan orang atau pertubuhan berdaftar (NGO) yang ada maklumat berguna mengenai kaum India dalam skop “Warisan Kaum India di Negeri Selangor”.
Sekiranya anda atau sesiapa yang anda kenali merupakan individu/kumpulan yang boleh membantu usaha ini, harap kemukakan maklumat berikut:
Nama Penuh:
Nombor Telefon:
Alamat Rumah:
Alamat e-mel:
Aspek/Bidang:
Sila kirim sama ada ke alamat e-mel uthayasb@gmail.com atau WhatsApp 011-11411952 sebelum 15 November 2019. [Maklumat Tambahan di Sini]
Kerja-kerja dokumentasi (lawatan, wawancara, fotografi daln sebagainya) dijangka akan dimulakan pada 18 November 2019. Suatu pertemuan khas dan taklimat juga akan diadakan di Muzium Sultan Alam Shah, Shah Alam khusus bagi individu, kumpulan dan NGO yang sedia membantu usaha-usaha dokumentasi “Warisan Kaum India di Negeri Selangor” ini.
Nota: Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor yang bersidang pada 3 Oktober 2018 telah menimbang dan meluluskan, serta diperkenan oleh Sultan Selangor, supaya Uthaya Sankar SB dilantik sebagai salah seorang Ahli Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT) bagi penggal 2018-2020. Sultan Selangor menitahkan supaya dokumentasi berkaitan masyarakat India di Selangor turut dilakukan oleh PADAT. Dapatan awal Jawatankuasa Komuniti India telah dibentangkan pada Mesyuarat Ahli Lembaga PADAT pada 29 Oktober 2019.