Sewaktu diwawancara dalam rancangan “VBuzz” di saluran Vinmeen (Astro) pada 26 Januari 2015, saya turut ditanya mengenai Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT)
serta hubungannya dengan kecintaan terhadap Bahasa Tamil dan pengekalan jati diri kaum India.
Saya tahu bahawa ini suatu topik yang amat
sensitif dan mudah membuatkan pihak tertentu melenting jika apa-apa perkara
yang negatif (walaupun benar) mengenai SJKT dinyatakan; apatah lagi menerusi
rancangan/tulisan Bahasa Malaysia atau Inggeris.
Makalah bertajuk “SJKT dan Identiti Orang Tamil” (The Malaysian Insider, 5 Januari 2015)
misalnya ternyata membuatkan sejumlah pejuang SJKT berasa amat tidak selesa.
Ada individu yang mengirimkan mesej
peribadi menerusi Facebook dan
berkata, saya sepatutnya tidak “mendedahkan” isu-isu berkaitan SJKT dan Bahasa
Tamil menerusi tulisan “bahasa asing” (Bahasa Malaysia dan Inggeris).
Amaran seumpama itu tetap tidak menghalang
saya daripada berkongsi pandangan dalam rancangan Bahasa Inggeris “VBuzz”
apabila ditanya mengenai SJKT.
Saya terus-terang berkata, tidak semestinya
hanya mereka yang belajar di SJKT memiliki kecintaan terhadap Bahasa Tamil dan
semangat mempertahankan budaya dan jati diri kaum India.
Apa yang tidak sempat saya huraikan adalah
berkaitan pelbagai masalah yang dilaporkan berlaku dalam kalangan bekas murid
SJKT apabila mereka melangkah ke sekolah menengah.
Untuk makluman, belum ada sekolah menengah
aliran Bahasa Tamil. Maka murid lepasan SJKT memang perlu meneruskan pelajaran
ke sekolah menengah kebangsaan (SMK) serta menggunakan Bahasa Malaysia sebagai
bahasa pengantar.
Memandangkan saya selalu berkomunikasi
dengan pelbagai lapisan masyarakat, banyak juga maklumat yang diterima daripada
ibu bapa, pelajar, guru dan pegawai jabatan tertentu mengenai perkembangan
kes-kes di sekolah.
Contoh kes murid datang minta bantuan
Baru-baru ini, seorang wanita dan anaknya,
murid Tahun 6 di sebuah SJKT, datang ke Rumah Kavyan (tempat aktiviti Kumpulan Sasterawan Kavyan) dan meminta
panduan bagi karangan bertajuk “Pasar”.
Memandangkan tidak ada sebarang bahan
khusus berkaitan tajuk itu di perpustakaan mini Kavyan, saya mengajak murid
berkenaan membincangkan tajuk berkenaan.
Bagaimanapun, dia tidak mahu. Dia mahukan
contoh karangan yang sudah siap sepenuhnya. Malah, katanya, dia sudah menyalin
karangan bagi dua tajuk lain dari dua majalah Tamil.
“Cikgu pesan semua murid supaya jangan
tulis karangan berdasarkan idea sendiri. Kami semua wajib salin bulat-bulat
karangan dari majalah, buku atau internet kerana tajuk ini akan masuk ujian,”
katanya.
Saya memikirkan kemungkinan murid itu
tersilap memahami arahan guru. Akan tetapi, si ibu mengesahkan dia sudah
bertanya kepada guru terbabit dan memang itulah yang dikehendaki.
“Anak saya memang tak pernah pergi ke
pasar. Jadi memang dia tak boleh tulis sendiri karangan tentang pasar. Nasib
baik cikgu membimbing murid-murid menyalin sahaja karangan dari majalah,” kata
wanita berkenaan.
Pada keesokan hari, saya menghubungi
seorang guru di sekolah berkenaan. Saya cuba mendapatkan pengesahan.
Rupa-rupanya memang itulah amalan dan budaya di beberapa SJKT.
Guru-guru yang penuh dedikasi mahu memastikan
murid cemerlang dalam ujian dan peperiksaan supaya dapat mengharumkan nama guru
besar, nama sekolah dan maruah SJKT secara keseluruhan.
Kes terpencil seperti ini amat
memeranjatkan, menyedihkan dan membimbangkan. Bayangkan apa yang akan berlaku
apabila murid-murid yang sudah dilatih “menyalin” (copy) sejak Tahun 1 melangkah ke sekolah menengah.
Meniru sudah menjadi budaya?
Beberapa hari kemudian, datang pula berita
dari sebuah SMK mengenai apa yang memang dibimbangkan. Ternyata kebimbangan
saya amat berasas.
Dua pelajar Tingkatan 1 didapati meniru
dalam ujian diagnostik yang dijalankan di kelas. Cerita sampai ke telinga saya
kerana saya mengenali keluarga mereka.
Kedua-dua murid berkenaan mendapat 7A dalam
Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan tentu sahaja melangkah terus ke
Tingkatan 1 tanpa perlu mengikuti kelas peralihan selama setahun.
Saya cuba bertanya mengapa mereka meniru
sedangkan ujian diagnostik dalam Bahasa Malaysia dan Inggeris itu amat mudah;
khususnya bagi murid yang mendapat 7A dalam UPSR.
“Kami sudah dilatih meniru sejak Tahun 1.
Cikgu di SJKT yang ajar kami buat begitu supaya boleh cemerlang dalam ujian dan
peperiksaan,” kata seorang pelajar.
“Entah mengapa guru-guru kaum India di SMK
tak benarkan kami teruskan budaya itu. Mereka beri amaran akan melaporkan kami
kepada pengetua. Ini sangat berbeza dengan budaya di SJKT kami dulu,” ujar
seorang lagi.
Saya bersikap telus dengan memaparkan
kes-kes terpencil ini menerusi ruangan status di Facebook walaupun saya sudah diberi “amaran” supaya tidak
mendedahkan kelemahan “kaum kita” kepada “kaum asing” menggunakan “bahasa asing”
(Bahasa Malaysia dan Inggeris).
Untuk berlaku adil, saya mengharapkan
reaksi, komen dan hujah balas daripada orang ramai; khususnya mereka yang
memperjuangkan SJKT dan rajin memberi amaran kepada saya. Tentulah mereka ada
pandangan dan alasan dalam kes-kes “terpencil” seperti ini.
Walau bagaimanapun, sehingga makalah ini
ditulis, tidak akan sesiapa yang tampil berkongsi hujah bagi mempertahankan
SJKT dalam dua kes terpencil yang saya kongsikan di atas.
Guru India di SMK tidak “bantu” kaum sendiri
Seperti biasa, apabila makalah ini sudah
disiarkan, barulah pelbagai pihak akan bising dan mengkritik. Kononnya
pendedahan saya memalukan orang Tamil. Kononnya saya sengaja mencari kesalahan
SJKT.
Hanya seorang rakan mengemukakan pandangan
apabila isu ini dibincangkan secara terbuka menerusi Facebook sejak 24 Januari 2015. Untuk rekod, dia bukan lepasan
SJKT.
Emmanuel
Joseph dari Klang, Selangor berpendapat mungkin
guru-guru di SJKT berdepan dengan tekanan untuk melaksanakan tugas. Prestasi
cemerlang murid-murid dalam peperiksaan menjadi matlamat.
Pada masa sama, katanya, guru-guru terbabit
mungkin tidak memiliki sumber rujukan dan bahan bantuan mengajar yang diperlukan.
“Agaknya mereka tidak sedar kesan buruk
daripada tindakan menggalakkan budaya meniru dalam kalangan murid-murid di
kelas. Kemampuan berfikir kanak-kanak itu juga terbantut; apatah lagi kemahiran
berfikir aras tinggi (KBAT).
“Saya percaya guru-guru SJKT dalam kes-kes
terpencil ini tidak bersalah. Mereka bukan malas dan tidak juga berniat jahat.
Mereka hanya jahil dan keadaan bertabah buruk disebabkan tekanan daripada guru
besar,” kata pemuda itu.
Persoalan seperti ini pernah juga saya
kemukakan kepada seorang guru besar sebuah SJKT. Saya bertanya, apa akan
berlaku kepada murid-murid seperti ini apabila mereka ke SMK.
Dengan selamba sahaja guru besar terbabit
menegaskan bahawa tanggungjawab dia, guru dan SJKT tamat selepas UPSR. Sasaran
mereka adalah kecemerlangan dalam UPSR dan menaikkan prestasi SJKT pada
peringkat kebangsaan.
“Sepatutnya guru-guru kaum India di SMK
perlu meneruskan kerja-kerja membantu lepasan SJKT apabila mereka ke sekolah
menengah. Malangnya saya dapati rata-rata guru kaum India di SMK bertindak
tegas, berdisiplin, beretika dan tidak membantu pelajar SJKT yang lemah,”
katanya.
Menang sorak, kampung tergadai
Saya juga selalu mendapat berita daripada
ibu bapa yang mengadu anak-anak mereka di Tingkatan 4 dan 5 dikenakan tindakan
disiplin kerana meniru dalam ujian bulanan.
Apabila diselidik, kesemua pelajar terbabit
adalah murid cemerlang UPSR tetapi merosot dalam Penilaian Menengah Rendah
(PMR) – sebelum PT3 diperkenalkan pada 2014.
Mereka mengaku meniru dalam ujian dan peperiksaan.
Mereka juga mengaku prestasi semakin merosot selepas masuk Tingkatan 4. Agak
sukar untuk mempercayai mereka pernah cemerlang dalam UPSR dengan 6A atau 7A.
“Kami cemerlang di sekolah rendah dulu
sebab guru benarkan kami meniru sesama sendiri. Guru dan pengawas peperiksaan
sendiri akan membantu kami dengan memberikan jawapan,” kata seorang pelajar
yang mengaku tidak pernah membaca mana-mana makalah tulisan saya mengenai isu SJKT.
“Apabila masuk ke SMK, kami sudah terlalu
biasa dengan budaya meniru. Susah nak fikir dan buat sendiri. Kami tak fasih
Bahasa Malaysia dan Inggeris. Guru kaum India pula sentiasa menegur dan memberi
amaran jika kami meniru,” seorang lagi mengakui.
“Rakan-rakan kaum India dari sekolah
kebangsaan (SK) pun tak mahu tolong kami sebab mereka kata itu bukan budaya
mereka. Akhirnya kami meniru sesama sendiri tetapi masih belum mampu cemerlang.
Selalu pula kena tangkap oleh guru,” kata seorang lagi yang dikenakan tindakan
tatatertib.
Tentulah tiga kes terpencil yang saya
kongsikan di sini tidak mewakili budaya dan amalan kesemua SJKT di seluruh
negara. Sebaliknya hanya merupakan beberapa kes terpilih yang sampai kepada
pengetahuan saya secara langsung.
Pasti pendedahan terbuka seperti ini
mendapat kecaman dan kritikan pelbagai pihak, khususnya pejuang SJKT dan Bahasa
Tamil. Akan tetapi, sekiranya “kes terpencil” seperti ini terus ditutup dan
disembunyikan “demi kaum kita” maka keadaan hanya akan bertambah parah.
Akhirnya, apa yang akan tinggal hanyalah
laungan megah mengagung-agungkan kehebatan SJKT sedangkan sekelompok lepasan
SJKT terus tercicir sebaik melangkah ke SMK.
Bak kata pepatah Melayu: Menang sorak,
kampung tergadai.
[Makalah ini ditulis pada 30 Januari 2015 dan disiarkan di The Malaysian Insider pada 2 Februari 2015.
BACA KOLEKSI MAKALAH BERKAITAN SJKT DI SINI © Uthaya Sankar SB 2015. Harap maklum bahawa anda membaca makalah ini
serta segala kandungan mana-mana blog
kendalian Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]