28 Feb 2015

Nomadic Lion Berjalan Sebar Mesej Positif

Sebuah beg berisi pakaian dan barangan keperluan asas, sepasang kasut bermutu, sebuah kamera DSLR serta semangat untuk mengembara, bertemu masyarakat pelbagai budaya sambil membawa perubahan positif dalam kehidupan mereka.

Semua itu sudah mencukupi untuk membawa David Atthowe mengembara dari negara ke negara, dan dari benua ke benua.

Pemuda berumur 25 tahun ini mengasaskan Nomadic Lion pada Januari 2014 bagi merealisasikan impian mengembara, bertemu masyarakat setempat, mengenali budaya tradisional serta memberikan sumbangan bermakna kepada setiap kelompok masyarakat yang ditemuinya.

Saya pula berpeluang bertemu pemuda kelahiran Norwich, England ini di Brickfields, Kuala Lumpur pada 31 Januari 2015, lalu meluangkan masa hampir sejam mendengar kisah dan pengalamannya yang amat mengagumkan dan mengasyikkan.

Tentulah bukan sesuatu yang mudah untuk berjalan sejauh 2,250 kilometer dalam masa 137 hari dari Tawau, Sabah ke Kuching, Sarawak. Akan tetapi, itulah yang berjaya dilakukan oleh David dari 22 Ogos 2014 hingga 4 Januari 2015.

“Saya mula berjalan kaki dari Tawau, lalu menuju ke Semporna, Sandakan, mendaki dan menuruni Gunung Kinabalu, langsung ke Kota Kinabalu, Beaufort, Lawas, Temburong (Brunei) dan Limbang.

“Kemudian meneruskan perjalanan ke Bandar Seri Begawan, Brunei. Dari sana berjalan menuju ke Miri, Bintulu, Sibu, Sri Aman dan Kuching,” kata pemuda ini dengan penuh bersemangat dan tersenyum puas.

David selaku pengasas Nomadic Lion berhak untuk berasa bangga kerana beliau berjaya melakukan keseluruhan pengembaraan itu dengan hanya berjalan; tanpa melibatkan kereta, lori, basikal atau motosikal.

Ada dua lagi pemuda dari Bandung, Indonesia yang menyertainya pada bahagian tertentu pengembaraan sejauh 2,250 kilometer itu. Yusep Sukmana, 25 tahun, pelajar bidang pelancongan manakala Gilang Yaksapurusa berumur 24 tahun.

David berpeluang bertemu mereka semasa sama-sama mendaki gunung di Jawa Barat. Memandangkan ketiga-tiga mereka mempunyai minat yang sama, maka hubungan mereka menjadi erat seperti adik-beradik.

Projek pertama dari Tanjung Piai ke Kaki Bukit

“Projek pertama kami adalah di Semenanjung Malaysia. Kami berjalan sejauh 1,110 kilometer dari Tanjung Piai, Johor ke Kaki Bukit, Perlis. Perjalanan selama 58 hari itu bermula pada 10 Januari 2014,” kata David yang sudah ada pengalaman mengembara ke pelbagai lokasi di seluruh dunia sejak berumur 18 tahun.

Beliau mengakui bahawa kepelbagaian budaya tradisional yang masih kaya, terpelihara dan asli lebih banyak terdapat di Sabah dan Sarawak berbanding Semenanjung Malaysia.

Katanya, penduduk di Borneo ternyata lebih gembira, bahagia dan mesra serta bersikap lebih terbuka untuk menerima kedatangan orang luar. Hal ini sedikit berbeza dengan penduduk di Semenanjung Malaysia yang nampaknya semakin cair dalam mempertahankan nilai-nilai budaya tradisional.

Memandangkan David mengembara ke pelbagai negara sejak hampir lapan tahun lalu, beliau yang lahir di Norwich, England menggelarkan dirinya seorang nomad, iaitu musafir yang tidak mempunyai tempat tinggal yang tetap.

Pengembaraan berjalan sejauh lebih 3,350 kilometer meliputi Malaysia dan Brunei ini mendapat tajaan daripada Transglobe Expedition Trust di United Kingdom, serta pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan. Selebihnya wang sendiri.

Ternyata apa yang dilakukan oleh David, Yusep dan Gilang bukan setakat hobi atau aktiviti masa lapang. Sebaliknya adalah passion khususnya bagi David yang melakukannya secara sepenuh masa tanpa mengharapkan sebarang bentuk keuntungan material.

I want to inspire and empower people,” katanya tanpa teragak-agak apabila ditanya.

Tentulah jawapan “mahu mencetuskan inspirasi dan memperkasakan orang” sesuatu yang klise dan sering didengar. Akan tetapi, daripada cara David menyatakannya, amat jelas bahawa kata-katanya itu bukan sekadar retorik. Sebaliknya beliau benar-benar berniat melakukannya.

Sepanjang pengembaraan berjalan dari Sabah ke Sarawak, dan dari Johor ke Perlis, Nomadic Lion berinteraksi dengan penduduk setempat untuk mengenali budaya tradisional serta membina kesedaran dalam kalangan masyarakat tentang pemikiran positif.

Aktiviti yang dijalankan termasuk berkaitan pemuliharaan alam sekitar dan nilai-nilai kemanusiaan; bergantung pada keperluan dan keadaan di setiap tempat yang disinggah dalam perjalanan.

Seterusnya menjelajah seluruh Asia

David akan memberikan inspirasi serta terlibat secara langsung dalam usaha-usaha melakukan kerja-kerja kebajikan di setiap tempat yang dikunjungi. Misalnya, mengajar kanak-kanak dan remaja tentang pentingnya memelihara alam sekitar dan kepentingan pendidikan.

Pemuda berumur 25 tahun ini yakin bahawa sedikit masa yang diluangkannya bersama-sama masyarakat tempatan masih mampu memberikan kesan baik serta membawa perubahan positif dalam kalangan penduduk berkenaan.

Perbualan kami selama hampir sejam di Brickfields berlangsung dalam Bahasa Inggeris tetapi David sebenarnya mempunyai penguasaan Bahasa Indonesia. Maka, mudahlah untuk beliau berinteraksi dengan penduduk tempatan yang rata-rata tahu Bahasa Malaysia.

David mengaku bahawa senyuman merupakan bahasa universal yang amat berkesan untuk mewujudkan persefahaman, persahabatan dan mengeratkan silatulrahim tanpa mengira asal-usul, kaum, etnik dan agama.

Sepanjang pengembaraan berjalan (kaki), rakaman foto dan video dibuat menggunakan kamera DSLR. Catatan pengalaman harian dan foto-foto yang menakjubkan dikongsikan dengan warga dunia menerusi laman “Nomadic Lion” di Facebook.

Pengembaraan di Sabah, Sarawak dan Brunei mendapat liputan meluas di akhbar pelbagai bahasa di sana. Bagaimanapun, perjalanan di Semenanjung Malaysia pula hanya berjaya menarik perhatian beberapa media.

“Itu tidak menjadi masalah kerana apa yang lebih penting adalah kesan positif yang mampu dibawa dalam kehidupan setiap individu yang sempat kami (Nomadic Lion) berinteraksi sepanjang perjalanan kami. Media sosial dan media alternatif sangat membantu,” kata David dengan nada positif sambil terus tersenyum ikhlas.

Mereka bertiga sedang sibuk melakukan suntingan rakaman video pengembaraan bagi menghasilkan sebuah dokumentari. Bahan dokumentasi pengembaraan itu akan disebarkan secara percuma menerusi YouTube dan media sosial apabila siap nanti.

Seterusnya, Nomadic Lion mahu menjayakan projek “Walk In Asia” meliputi 19 negara dalam masa lima tahun. Kerja-kerja perancangan sedang dilakukan dan projek ini dijadualkan bermula pada awal tahun 2016. Ikuti perkembangan mereka di www.facebook.com/nomadiclion dari semasa ke semasa.

[Makalah ini ditulis berdasarkan wawancara pada 31 Januari 2015 dan disiarkan di Kuala Lumpur Post pada 2 Februari 2015. © Uthaya Sankar SB 2015. Harap maklum bahawa anda membaca makalah ini serta segala kandungan mana-mana blog kendalian Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]