Friday, 21 September 2018

Kisah Tentang Malayu

Sekitar Oktober 2013, sewaktu orang ramai sedang sibuk dan khusyuk dengan isu kalimah “Allah” yang dipolitikkan pihak berkepentingan, saya pula sempat meluangkan masa meneliti asal-usul istilah “Melayu”.

Sebelum puak tertentu meloncat-loncat dan berbuat bising, biar saya nyatakan bahawa penelitian saya bukan terhadap “kaum Melayu” atau “bahasa Melayu” di Malaysia. Apatah lagi mempertikaikan kedudukannya.

Sebaliknya saya sekadar mahu mengimbas kenangan berdasarkan bacaan saya sejak kanak-kanak. Tentu sahaja segala maklumat berbentuk fakta ini tidak lagi muncul dalam buku-buku teks di sekolah pada masa sekarang.

Mujurlah ada pelbagai laman sesawang yang memuatkan maklumat dan fakta yang sah. Maka dapatlah saya merujuk kembali maklumat mengenai asal-usul “Melayu” berdasarkan apa yang saya ingat sejak kecil.

Imbasan ini tentulah tidak bertujuan memperlekeh atau menghina sesiapa. Bak kata bekas presiden Umno Baru, Tun Dr Mahathir Muhammad, “Melayu mula lupa”. Biarlah masyarakat pelbagai kaum sama-sama “ingat semula” supaya tidak terus lupa.

Dalam Bahasa Tamil, “Malaiur” bermakna “kawasan berbukit-bukau”. Nama “Malayadvipa” (kepulauan berbukit-bukau) digunakan dalam teks Vayu Purana dari India untuk merujuk kepada suatu kawasan di Kepulauan Melayu.


Istilah Sanskrit “Malayakolam” dan “Malaikurram” turut pernah digunakan pada masa silam. Wilayah berkenaan turut direkodkan sebagai “Malaiyur” apabila dikuasai Empayar Chola.

Dinasti Chola (Cholan) berkuasa di India dari sekitar 300SM hingga sekitar 1280M. Usah kita lupa – atau buat-buat lupa – bahawa menurut teks Sejarah Melayu, Raja-raja Melayu (Melaka) adalah keturunan dinasti Cholan dan Cheran.

Nama “Raja Suran” merujuk kepada Cholan/Cheran. Masih ingatkan anda akan kisah Raja Suran masuk ke dasar laut dan berkahwin di sana? Anak-anak yang lahir di dasar laut itulah yang kemudian muncul di Sumatera.

“Sembunyi Sejarah” Bukan Perkara Baharu

Bercakap mengenai Sumatera, istilah-istilah lain yang turut pernah digunakan adalah “Swarnadwipa”, “Bhumi Malayu” dan “Malayapura”. Kawasan bernama “Malayu” yang dimaksudkan ini terletak dalam wilayah Srivijaya/Jambi di Sumatera.

Putera terakhir Srivijaya/Malayu – sebuah kerajaan Hindu-Budha – ialah Parameswara yang melarikan diri ke Temasik, dan kemudian membuka Melaka.

Jangan haraplah mahu membaca fakta/sejarah ini dalam buku-buku Sejarah di sekolah pada masa kini. Mujurlah saya mempelajarinya di sekolah pada zaman dahulu; semasa ilmu dan fakta masih dihormati.

Apa yang secara terang-terangan disajikan di sekolah sekarang adalah sejarah versi manipulasi. Maka, sedikit demi sedikit, fakta dan sejarah mula dihapuskan.

Sekadar contoh mudah, pelopor Kesusasteraan Melayu Moden di negara kita ialah Abdullah Abdul Kadir Munshi (Abdullah Munshi). Demikianlah fakta yang kita pelajari di sekolah pada masa silam.

Akan tetapi, sejak sekitar 1990-an, nama Abdullah Munsyi mula “ditenggelamkan” apabila disedari bahawa pendeta itu berketurunan India. Mana mungkin seorang “Bukan Melayu” diakui sebagai Bapa Kesusasteraan Melayu Moden di negara bertuah ini!

Kalau diperhatikan, pengaruh India dan Hindu – serta Buddha – sudah bertapak di Kepulauan Melayu (Nusantara) jauh sebelum kedatangan Islam. Malah Kerajaan Melayu Melaka – seperti mana Majapahit dan Srivijaya – bertunjangkan budaya India dan Hindu.

Hakikat yang boleh cuba dipertikaikan – malah mungkin dibawa ke mahkamah – tetapi tidak boleh dinafikan adalah bahawa kewujudan “Melayu” itu sendiri adalah berasaskan tamadun India – khususnya empayar Cheran, Cholan dan Pandian.

Apabila saya berkongsi maklumat mengenai asal-usul “Melayu” menerusi paparan di laman rangkaian sosial Facebook, seorang rakan, Harris Nasril memberikan komen bahawa fakta-fakta berdasarkan Sejarah Melayu adalah “menarik untuk dikongsikan bersama ultra Melayu”.

Malayu dan Malayur Makkal

Masalahnya, puak ultra kiasu dan pentaksub tidak membaca Sejarah Melayu serta tidak tahu sejarah! Saya berani berhujah dengan puluhan orang yang berilmu tetapi saya pasti kalah kepada seorang individu yang bodoh.

“Sebahagian daripada mereka cukup tahu tetapi pura-pura tidak tahu. Sebahagian lagi memang pekak dan tuli, serta sekadar mengikut telunjuk pemimpin ultra kiasu,” kata Harris yang tinggal di Seri Kembangan.

Berbalik kepada perbincangan berkenaan asal-usul istilah “Melayu”, Harris berkata bahawa ada juga pendapat yang mengatakan “Melayu” berasal daripada sebatang sungai di Sumatera.

Pandangan itu memang ada kebenaran. Kawasan di sekitar sungai berkenaan dinamakan “Malayur” (negeri yang berbukit-bukau) oleh para pedagang dari Benua Kecil India.

Lama-kelamaan, kawasan berkenaan menjadi tumpuan pedagang India, Arab, Nusantara, China dan sebagainya. Berlaku juga asimilasi dan ramai juga pedagang serta “pendatang” (orang yang datang dari luar) terus tinggal di kawasan perdagangan itu.

Kawasan terbabit mula dikenali sebagai “Malayur” dalam kalangan para pedagang. Penduduk di sana pula dirujuk sebagai “Malayur makkal” (rakyat Malayur atau penduduk kawasan berbukit-bukau). Kemudian istilah itu bertukar/berubah menjadi “Malayu”.

Bahasa yang dituturkan oleh penduduk Malayur agak unik. Memandangkan ia menjadi tumpuan pedagang dari pelbagai negara, maka pelbagai bahasa digunakan. Masalah komunikasi diatasi dengan “tercipta”nya suatu bahasa “baharu” yang kemudian menjadi lingua franca. … Makalah penuh boleh dibaca dalam buku Malaiur Manikam (2015).

[Makalah ini tersiar dalam The Malay Mail Online pada 21 Oktober 2013 sebelum dimuatkan dalam buku Malaiur Manikam pada November 2015. © Uthaya Sankar SB. Baca juga — Najib Serah Kek Kepada Bukan Melayu. Baca juga — Reaksi Puak The Patriots. Harap maklum bahawa anda membaca mana-mana tulisan di mana-mana blog kendalian Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]