1 Sept 2016

Keinginan Mogana

Minat serta impiannya adalah bermain badminton pada peringkat daerah, negeri dan kebangsaan.

Akan tetapi, Mogana a/p Thiaggu (15 tahun) terpaksa memendam keinginan itu kerana masalah dokumen pengenalan diri.

“Saya hanya boleh bermain badminton pada peringkat sekolah kerana untuk peringkat daerah, perlu isi nombor kad pengenalan pada borang pendaftaran,” remaja itu menceritakan pada Majlis Penyerahan Dokumen Pengenalan Diri di ibu pejabat DHRRA Malaysia pada 30 Ogos 2016.

Ibunya, Malah a/p Karuppayah mengakui, susulan masalah sijil kelahiran, anaknya turut menghadapi masalah memohon kad pengenalan pada usia 12 tahun.

“Saya sedih melihat keadaan Mogana yang terpaksa menghadapi pelbagai masalah berikutan ketiadaan sijil kelahiran dan kad pengenalan. Ada beberapa pihak yang berjanji mahu membantu, tetapi tidak ada apa-apa tindakan dibuat,” suri rumah itu menceritakan.

Mujurlah, atas usaha dan bantuan DHRRA Malaysia, Mogana sudah memiliki sijil kelahiran dan kad pengenalan, tepat pada masa untuk membolehkannya mendaftar bagi menduduki PT3 pada tahun ini.

Mengimbas proses membuat permohonan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), ibu dan anak ini menceritakan mengenai akuan bersumpah serta ujian DNA yang dibuat dengan bantuan dan tunjuk ajar pegawai DHRRA Malaysia.

Kini, mereka gembira dan bersyukur kerana masa depan Mogana tidak lagi menjadi tanda tanya.

“Saya sudah ada keyakinan diri serta merasakan nikmat sebenar kemerdekaan negara. Peluang dalam bidang badminton yang terlepas selama ini, saya harap dapat diperolehi semula selepas ini,” kata remaja dari Klang, Selangor itu dengan penuh harapan.

Sekiranya anda mengenali sesiapa yang menghadapi masalah dokumen pengenalan diri – seperti sijil kelahiran, kad pengenalan, sijil kewarganegaraan, sijil anak angkat, atau pendaftaran perkahwinan – sila hubungi DHRRA Malaysia untuk nasihat dan bantuan.

Anda juga boleh menghubungi saya menerusi uthayasb@yahoo.com.my atau 016-3288142 atau www.facebook.com/uthaya untuk menyalurkan maklumat. 

Paparan ini adalah di bawah program #MerdekaPertamaKu yang meraikan individu yang baharu menerima dokumen pengenalan diri. Baca juga – Mereka Telah Merdeka.