30 Aug 2016

Mereka Telah Merdeka!

Sikap ibu bapa menjadi punca 3 adik-beradik tidak memiliki sijil kelahiran. Mujurlah campur tangan dan bantuan DHRRA Malaysia akhirnya membawa sinar harapan dalam kehidupan keluarga ini.

Saraswathi a/p Murugesu (49 tahun) menceritakan bahawa dia hanya belajar hingga Darjah 3, dan tidak tahu mengenai proses memohon sijil kelahiran. Suaminya seorang yang tidak bertanggungjawab dan sudah menghilangkan diri.

Akibatnya, Mageswari (19 tahun), Manisha (14 tahun) dan Sanjay (11 tahun) menanggung masalah sejak lahir.

Mageswari hanya belajar hingga Tingkatan 2, dan berhenti sekolah untuk mula bekerja untuk mengurangkan beban ibu. Tanpa pendidikan dan tanpa dokumen pengenalan diri, dia hanya dibayar upah rendah.

Bagi Manisha, dia bernasib baik kerana pihak sekolah membenarkannya menduduki UPSR walaupun tiada sijil kelahiran. Tetapi, apabila melangkah ke Tingkatan 2, timbul kebimbangan kerana mungkin tidak dibenarkan mengambil PT3 nanti. Dia takut tidak dapat meneruskan pelajaran.

Sanjay pula tidak dapat masuk ke Tahun 1 kerana tiada dokumen pengenalan diri. Semasa berumur 8 tahun, pihak sekolah menerimanya masuk ke Tahun 2. Kanak-kanak ini kini belajar di Tahun 5 dan menerima pujian daripada para guru kerana cemerlang dalam pelajaran.

Kebimbangan Sarawathi berakhir apabila pegawai DHRRA Malaysia mendapat tahu mengenai kes adik-beradik ini dan tampil untuk membantu. Ketiga-tiga anak berjaya mendapat sijil kelahiran.

Manisha sudah bersemangat untuk mengambil PT3 pada tahun hadapan, manakala Sanjay mahu cemerlang dalam UPSR tahun hadapan.

Bagi Mageswari, dia gembira kerana nasib adik-adik tidak seperti dirinya. Walaupun tidak bercadang untuk belajar, gadis ini tetap gembira kerana kini sudah ada identiti sebagai warganegara Malaysia. Dia juga layak mendapat caruman KWSP dan potongan Perkeso di tempat kerja.

“Saya mahu belajar tinggi, kemudian bekerja dan menjaga ibu dengan baik,” kata Sanjay sewaktu ditemui pada Majlis Penyerahan Dokumen Pengenalan Diri di Paloh, Johor pada 27 Ogos 2016.

Sekiranya anda mengenali sesiapa yang menghadapi masalah dokumen pengenalan diri – seperti sijil kelahiran, kad pengenalan, sijil kewarganegaraan, sijil anak angkat, atau pendaftaran perkahwinan – sila hubungi DHRRA Malaysia untuk nasihat dan bantuan.

Anda juga boleh menghubungi saya menerusi uthayasb@yahoo.com.my atau 016-3288142 atau www.facebook.com/uthaya untuk menyalurkan maklumat.

Kisah ini turut dikemas kini dan tersiar dengan judul "Masalah Dokumentasi Jejas Masa Depan Kaum India" di Berita Daily pada 5 September 2016.

Paparan ini adalah di bawah program #MerdekaPertamaKu yang meraikan individu yang baharu menerima dokumen pengenalan diri. Baca juga - Bertindak Sebelum Terlewat