30 Aug 2016

Bertindak Sebelum Terlewat

Devinish didukung oleh Presiden DHRRA Malaysia. 
“Saya sudah dapat surat, jadi lepas ini saya boleh pergi ke sekolah.”

Demikian kata Devinish a/l Thaarmarrajan (5 tahun) yang begitu petah bercakap.

Kanak-kanak ini mungkin tidak tahu makna sijil kelahiran dan kewarganegaraan, tetapi dia ternyata amat gembira apabila mendapat tahu bahawa isu dokumen pengenalan diri yang dihadapi sejak lahir, kini sudah selesai.

Isu bermula apabila ibu bapanya, Thaarmarrajan a/l Suresh Kumar dan Dayaseela a/p Vasudevan hanya berkahwin mengikut adat budaya, tanpa mendaftarkan perkahwinan secara sah di sisi undang-undang negara.

Maka, selepas Devinish lahir, timbul masalah untuk mendapatkan sijil kelahiran.

Saudara-mara mula bertanya dan memberikan nasihat, demi masa depan kanak-kanak itu.

“Apabila kami membawa Devinish ke hospital dan klinik jika sakit, selalu kami kena marah dan diberikan nasihat oleh doktor dan jururawat. Akhirnya, kami sedar betapa kami buat kesilapan,” Thaarmarrajan berterus-terang sewaktu ditemui pada Majlis Penyerahan Dokumen Pengenalan Diri di Parit Buntar, Perak pada 28 Ogos 2016.

Sebagai langkah pertama, Thaarmarrajan dan Dayaseela mendaftarkan perkahwinan mereka. Selepas itu, timbul pula masalah untuk mendapatkan sijil kelahiran bagi Devinish dan adiknya, Logeswaran.

“Ada pihak yang datang dan berjanji mahu membantu, tapi mereka mengambil semua dokumen asal dan menghilangkannya. Semasa kami hampir putus asa, kami mendapat tahu mengenai DHRRA Malaysia,” Thaarmarrajan mengimbas kisah yang berlaku beberapa tahun lalu.

Berbekalkan pengalaman dan kepakaran yang dimiliki, pegawai DHRRA Malaysia berjaya membantu menguruskan proses permohonan lewat untuk mendapatkan sijil kelahiran bagi Devinish dan Logeswaran.

Keceriaan yang terpancar pada wajah Devinish memberikan kelegaan kepada ibu bapanya. Mereka bersyukur kerana berjaya bertindak dengan cara yang betul sebelum terlewat dalam mendapatkan sijil kelahiran untuk anak-anak.

Sekiranya anda mengenali sesiapa yang menghadapi masalah dokumen pengenalan diri – seperti sijil kelahiran, kad pengenalan, sijil kewarganegaraan, sijil anak angkat, atau pendaftaran perkahwinan – sila hubungi DHRRA Malaysia untuk nasihat dan bantuan.

Anda juga boleh menghubungi saya menerusi uthayasb@yahoo.com.my atau 016-3288142 atau www.facebook.com/uthaya untuk menyalurkan maklumat.

Paparan ini adalah di bawah program #MerdekaPertamaKu yang meraikan individu yang baharu menerima dokumen pengenalan diri. Baca juga - Kasih Seorang Ibu