30 Aug 2016

Kasih Seorang Ibu

Latchimi a/p Mariappan lahir pada tahun 1961 dan mengalami kecacatan kekal sejak usia muda. Wanita berumur 52 tahun ini dijaga oleh ibunya, Mariyayee a/p Doriasamy (76 tahun), seorang ibu tunggal.

Anak-beranak ini tinggal di Yong Peng, Johor. Latchimi yang menghadapi masalah pertuturan tidak pernah pergi ke sekolah, maka tidak tahu membaca dan menulis.

“Saya tidak tahu apa yang akan berlaku kepada anak kesayangan ini jika saya sudah tiada,” keluh Mariyayee yang menyedari pelbagai masalah yang pasti dihadapi oleh Latchimi.

Sejak Latchimi berumur 18 tahun, jiran-tetangga mula menasihati Mariyayee tentang perlunya mendapatkan sijil kelahiran bagi Latchimi.

“Ada beberapa pihak yang datang dan berjanji akan membantu, tetapi janji hanya tinggal janji. Lapan lagi anak saya ada dokumen pengenalan diri, tetapi mereka juga tidak tampil membantu,” warga emas itu menceritakan pada Majlis Penyerahan Dokumen Pengenalan Diri di Paloh, Johor, pada 27 Ogos 2016.

Pegawai DHRRA Malaysia yang mendapat tahu mengenai kes ini segera mengunjungi Mariyayee dan Latchimi untuk membantu mereka dalam proses mengemukakan permohonan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Kini, Latchimi memiliki sijil kelahiran dan kad pengenalan biru. Pegawai DHRRA Malaysia akan membantunya membuat permohonan bagi bantuan kebajikan dan kad Orang Kurang Upaya (OKU).

Sekiranya anda mengenali sesiapa yang menghadapi masalah dokumen pengenalan diri – seperti sijil kelahiran, kad pengenalan, sijil kewarganegaraan, sijil anak angkat, atau pendaftaran perkahwinan – sila hubungi DHRRA Malaysia untuk nasihat dan bantuan.

Anda juga boleh menghubungi saya menerusi uthayasb@yahoo.com.my atau 016-3288142 atau www.facebook.com/uthaya untuk menyalurkan maklumat.

Paparan ini adalah di bawah program #MerdekaPertamaKu yang meraikan individu yang baharu menerima dokumen pengenalan diri. Baca juga - Usia Bukan Penghalang