Seseorang individu tidak perlu kehilangan
jati diri dan keunikan yang dimiliki apabila mendalami budaya Melayu, mempelajari agama Islam dan menguasai bahasa Melayu. Tambahan pula,
ketiga-tiga perkara itu berada di sekeliling kita serta bahasa Melayu (Bahasa
Malaysia) pula bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan negara.
Demikian antara intipati penting daripada
sesi ceramah yang disampaikan oleh E
Pian Pro Poul (Pian Chindaphed) kepada sekumpulan guru Bahasa Malaysia dari
SJKC Kuen Cheng 1 dan SJKC Kuen Cheng 2 pada 20 Mac 2014.
Pandangan dan hujah yang diketengahkan itu
mungkin kedengaran agak biasa tetapi sebenarnya amat penting dalam usaha
memastikan masyarakat pelbagai kaum, etnik, budaya dan agama
di negara bertuah ini dapat sama-sama meningkatkan usaha menguasai Bahasa Malaysia tanpa perlu
mengorbankan jati diti.
Dalam sesi ceramah sekitar sejam di Bilik
Mesyuarat SJKC Kuan Cheng 2, Kuala Lumpur, penulis berketurunan Siam dan
beragama Buddha itu yang berasal dari Pasir Mas,
Kelantan berkongsi pengalaman sendiri untuk dijadikan contoh terbaik kepada
para guru yang hadir.
“Penduduk keturunan Siam dan Cina di Kelantan memang cukup akrab dengan
bahasa dan budaya Melayu. Malah, saya dan abang saya berkomunikasi menggunakan
bahasa Melayu Siam. Bersama anak-anak pula, saya menggunakan bahasa Siam
Kelantan.
“Sejak
kecil, saya bergaul dengan orang Melayu di kampung saya iaitu Kampung Padang,
Gelang Mas, Pasir Mas. Penggunaan Bahasa Malaysia standard pula dikuasai
menerusi pembacaan majalah-majalah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP),” E Pian
menceritakan secara santai. [Baca Makalah Penuh dalam MANDALA BICARA]