24 Mar 2014

Psikologi Pengguna Facebook

Kebanyakan daripada anda yang sedang membaca makalah ini kemungkinan besar mempunyai akaun Facebook. Malah, sebentar lagi, anda mungkin akan sudi berkongsi pautan ini bersama rakan-rakan menerusi laman rangkaian sosial berkenaan.
 
Ada beberapa perkara menarik berhubung hakikat seseorang mempunyai akaun Facebook – atau tidak mempunyai akaun itu. Laporan akhbar Daily Mail (6 Ogos 2012) menyebut bahawa kebanyakan majikan di Britain mungkin sahaja kurang berminat menggajikan orang yang tiada akaun Facebook.
 
Hal ini adalah kerana penggunaan Facebook sudah menjadi begitu lazim sehingga jika seseorang tidak mempunyai akaun laman rangkaian sosial itu, maka dia dianggap tidak normal. Maka, majikan berasa sedikit was-was.
 
Di sisi yang lain pula, terdapat majikan di Amerika Syarikat dilaporkan mewajibkan pekerja menyerahkan kata laluan (password) akaun Facebook semasa memohon kerja. Menurut akhbar New York Times (26 Mac 2012), pekerja juga diminta menjadi “sahabat” (friend) kepada bos supaya pergerakan sosial mereka boleh dipantau.
 
Seorang pengkaji psikologi dan skizofrenia dari Sydney, Australia, Scott McGreal turut menyentuh mengenai topik ini dalam makalah bertajuk “Is There Something Wrong With People Who Do Not Use Facebook?” (Psychology Today, 4 September 2012).
 
Terdahulu, pemegang sarjana psikologi itu menyiarkan makalah berkenaan di blognya, Eye on Psych (11 Ogos 2012). Beliau tertarik dengan reaksi yang diberikan masyarakat dunia pada waktu itu terhadap dua kes pembunuhan beramai-ramai melibatkan James Eagan Holmes dan Anders Behring Breivik. [BACA MAKALAH PENUH] [Topik berkaitan: Kekasihku, Telefon Bimbit]