[Akhbar-akhbar Tamil tetap menyiarkan berita yang menyentuh kaum India;
asalkan bukan paparan positif mengenai Pakatan Rakyat.]
Perhimpunan Agung Ke-66 MIC pada 9 Disember
2012 membuktikan bahawa Barisan Nasional (BN) dan MIC sendiri menganggap dan melayan kaum
India di Malaysia sebagai “deposit tetap” semata-mata bagi
menjamin BN terus mendapat undi dalam pilihan raya. Saya pernah menyentuh
perkara ini menerusi sebuah makalah bertajuk “Mahu Jadi Deposit Tetap?” (Projek Dialog, 14 Disember 2012).
Tsunami politik yang berlaku dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) pada 8
Mac 2008 berikutan Perhimpunan Hindraf dan kebangkitan kaum India selaku minoriti yang tertindas pada November
2007 nampaknya masih belum memberi pengajaran berguna kepada BN dan lebih-lebih
lagi kepada MIC yang mendabik dada mengiktiraf diri sebagai satu-satunya parti
politik yang layak mewakili kaum India.
Selepas sekian lama menganggap kaum India
sebagai “deposit tetap”, apakah sikap dan pendirian Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak sudah berubah? Perkara ini akan turut diperhatikan menerusi
ulasan beberapa laporan di akhbar Thina
Kural, Nam Naadu, Makkal Osai dan Tamil Nesan keluaran 14-20 Januari 2013.
Ulasan ini juga penting untuk meneliti
apakah benar pandangan yang mengatakan bahawa sejak awal tahun ini (2013),
kelima-lima akhbar harian Bahasa Tamil sudah berubah menjadi
“lidah rasmi” dan “alat propaganda” BN sedangkan sebelum ini, beberapa daripada
akhbar berkenaan lantang bersuara secara objektif dan berani bagi mewakili
suara kaum India sebagai kelompok minoriti. [Rujuk makalah Tergadaikah maruah akhbar Tamil?]
Akhbar Thina
Kural (14 Januari 2013) menyiarkan dua berita utama yang secara khusus
berkaitan BN. Kalau selama ini kaum India hanya dilihat dan dilabel sebagai
“deposit tetap” oleh BN dan MIC sendiri, semasa menghadiri “Pesta Ponggal Sayangi Selangor PM Bersama
Rakyat” di Klang pada 13 Januari 2013, Najib didapati sudah bermuhasabah.
Pada kali ini, beliau menggelarkan
kaum/pengundi India sebagai “harta besar” bagi BN. Lihatlah sendiri perubahan
(transformasi minda) yang berlaku daripada “deposit tetap” (9 Disember 2012) kepada
“harta besar” (13 Januari 2013)
dalam ucapan seorang politikus.
Sebagai seorang perunding media, saya sangat berharap
wakil-wakil dalam MIC yang sebelum ini begitu teruja untuk turut menggelarkan
kaum India sebagai “deposit tetap” – seperti dilaporkan Utusan Malaysia dan Berita
Harian – akan turut mengikut “langkah bijak” Najib yang tiba-tiba mula
mengiktiraf kaum minoriti yang tertindas, terpinggir dan teraniaya
ini sebagai “harta besar”.
Halaman depan akhbar Thina Kural pada tarikh sama juga menyiarkan satu lagi berita
berkaitan Najib dan mantera ajaib “Nambikei”
yang sebenarnya sudah dijadikan bahan jenaka sebagai “tembikai” oleh anggota
masyarakat.
“Letakkan nambikei (keyakinan); banyak kami akan buat”. Demikian tajuk yang
dipaparkan bersama-sama foto Najib memakai kalungan bunga malai. Tentulah
“kami” yang dimaksudkan adalah BN yang merupakan pembangkang di Selangor. Mungkin
penasihat politik kepada Najib terlupa untuk membisikkan kepadanya bahawa
kepercayaan dan “nambikei” perlu diperoleh (earn)
dan bukannya diminta begitu sahaja.
Sharifah Zohra terus dibidas
Secara logik, kenyataan Najib juga sangat
melucukan. Dalam PRU-12, “nambikei” sudah diberikan kepada BN untuk membentuk
beberapa kerajaan negeri dan kerajaan pusat. Lima tahun kemudian, BN masih mahu
menagih “nambikei” yang berterusan dan tidak berbelah bagi. Bukankah lebih baik
jika BN menilai diri sendiri dengan bertanya: “Apa yang sudah kami (BN) lakukan
kepada rakyat selepas mendapat sedekah dan mandat untuk memerintah selepas
PRU-12?”
Akhbar Thina
Kural pada 14 Januari 2013 juga disertakan sisipan khas 16 halaman bertajuk
“PM Rakyat yang menepati janji”. Hasil pemantauan, saya percaya bahawa sehingga
Disember 2012, akhbar harian berkenaan tidak akan melakukan kerja-kerja
mengampu sehebat ini; walaupun dengan alasan bahawa sisipan itu ditaja/dibayar
sepenuhnya oleh pihak tertentu.
Perubahan drastik yang ditunjukkan oleh
kelima-lima akhbar ini – Tamil Nesan,
Malaysia Nanban, Makkal Osai, Thina Kural
dan Nam Naadu – menimbulkan
pertanyaan sama ada akhbar-akhbar ini akan mampu untuk bertahan dengan sikap
sama selepas PRU-13. Entah berapa lama lagi masyarakat India akan terus mampu
menahan rasa meluat dan rasa mahu muntah membaca berita-berita yang berat
sebelah dan merupakan propaganda terang-terangan terhadap pihak tertentu.
Selain daripada berita bergambar mengenai
sambutan Ponggal oleh MinnalFM (RTM), muka depan akhbar Nam Naadu (17 Januari 2013) turut memberikan ruang kepada berita
paling sensasi pada waktu itu, iaitu berkenaan klip video Presiden Suara Wanita
1Malaysia (SW1M), Sharifah Zohra Jabeen Syed Shah Miskin Albukhary @ Nikki Da Best menghina seorang mahasiswi Universiti
Utara Malaysia (UUM) dan aktivis sosial, Bawani KS.
Tajuk besar memetik kenyataan Timbalan
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifudin Abdullah yang kecewa dengan sikap yang
ditunjukkan oleh Sharifah Zohra. Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin juga
tampil membuat kenyataan menerusi Twitter
pada 14 Januari 2013: “This Jabeen lady DOES NOT represent BN” (Wanita Jabeen ini TIDAK
mewakili BN).
Laporan penuh di halaman 3 juga
mengenai isu sama. Tajuk utama “Deii
Bawani … India Poo” (Hoi Bawani … Pergi India) adalah mengenai tindakan seorang ahli Wanita UMNO bernama Norhayati Saiddin menulis di Facebook. Wanita itu kemudian tampil
memohon maaf pada 16 Januari 2013 dengan cara yang melucukan dan mengeruhkan
lagi keadaan.
Kenyataan daripada
Pengerusi National Indian Rights Action
Team (NIAT; dulu ‘National Interlok Action Team’),
Datuk Thasleem Mohamed Ibrahim juga disiarkan bersama-sama kenyataan Vell
Paari, anak bekas Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu dan beberapa individu
lain. Ternyata isu klip video itu mendapat perhatian kesemua akhbar Tamil
walaupun beberapa akhbar arus perdana Bahasa Malaysia dan Inggeris membisu
seribu bahasa.
Isu “Listen Listen Listen” turut mendapat
tempat di akhbar Makkal Osai (18
Januari 2013) di mana kenyataan Norhayati memohon maaf disiarkan di muka depan.
Laporan semuka penuh di halaman 2 juga mengenai isu sama. Kenyataan Mohan,
Ratnavalli dan beberapa individu lain juga disiarkan.
Turut menarik
perhatian adalah kenyataan Presiden Kongres
India Muslim Malaysia (KIMMA) Kebangsaan, Senator Datuk Syed Ibrahim Kader yang
mengesahkan bahawa Sharifah Zohra “sudah dibuang dari parti”. Manakala di
halaman 16, wawancara khas bersama Bawani yang menegaskan bahawa “saya bukan
wanita yang akan terus tunduk apabila orang mengetuk kepala saya”.
Kerajaan negeri dipersalahkan
Satu lagi berita
penting di halaman depan akhbar Makkal
Osai pada hari berkenaan adalah berkaitan kuil Sri
Maha Mariamman di Bangi Lama yang khabarnya menerima notis daripada Majlis
Perbandaran Kajang (MPKj) supaya tidak membunyikan loceng kuil selepas 6:30
petang.
Sebenarnya, isu berkenaan masih berlarutan
sehingga kini dan mengalami perubahan plot penuh twist
hampir setiap hari. Apa yang pasti, T. Mohan selaku Ketua Pemuda MIC terus
menyalahkan ‘Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor’ atas apa yang berlaku manakala
ada pihak yang berpendapat bahawa ada sesuatu yang tidak kena dalam kes
melibatkan notis yang dikeluarkan pada 17 Februari 2012.
Akhbar Tamil
Nesan (20 Januari 2013) memilih untuk menyiarkan berita bertajuk “Keganasan
Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor” di muka depan dengan mengangkat isu berkaitan
kuil berkenaan. Ternyata bahawa bagi akhbar Tamil, tajuk utama di muka depan
tidak semestinya berita terkini; sebaliknya berita yang paling sensasi serta
sudah tersiar di media lain.
Dalam berita berkaitan klip video “Listen Listen Listen” dinyatakan bahawa
Sharifah Zohra perlu dibuang daripada UMNO. Saranan itu datang daripada
pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mengadakan tunjuk perasaan aman
di Brickfields, Kuala Lumpur pada hari sebelumnya. Perlu dinyatakan bahawa
menurut kenyataan rasmi SW1M, wanita itu adalah ahli UMNO Selangor.
Vell Paari juga
muncul di muka depan dengan saranan supaya Presiden Perkasa, Ibrahim Ali
dikenakan tindakan kerana terus-menerus mengeluarkan pelbagai kenyataan yang
menggugat keamanan masyarakat pelbagai kaum dan agama di negara ini.
Pada masa sama,
Exco Selangor, Dr Xavier Jayakumar menyelar kenyataan bekas Perdana Menteri,
Tun Mahathir Muhammad yang disifatkan
memperlekeh serta mempersoalkan tindakan Bapa Kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman
memberi taraf kerakyatan kepada kaum Cina dan India apabila negara mencapai
kemerdekaan pada tahun 1957.
Ternyata bahawa akhbar-akhbar bahasa Tamil
memang sentiasa prihatin dalam menyiarkan berita-berita yang ada kaitan dengan
sentimen kaum India. Bagaimanpun, sekiranya Sharifah Zohra, Norhayati atau Ibrahim memegang jawatan
penting dalam UMNO, tidak diketahui adakah liputan yang sama akan berani dibuat
akhbar-akhbar berkenaan. Atau jika Bawani memegang jawatan penting dalam Parti
Sosialis Malaysia (PSM).
Ringkasnya, walaupun sentiasa akur pada
usaha dan tuntutan menyiarkan berita-berita yang ada kaitan dengan kaum India,
akhbar-akhbar harian Tamil ternyata sudah tidak berani atau berminat memberi
liputan positif berkaitan Pakatan Rakyat (PR) sejak beberapa minggu lalu.
Berita-berita mengenai kebangkitan rakyat
menuntut pilihan raya yang adil, bersih dan telus
menerusi Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR) juga tidak dilaporkan. Ada juga
akhbar yang tiba-tiba berubah 180 darjah sehingga menimbulkan tanda tanya
tentang kemungkinan akhbar-akhbar Tamil mudah “dibeli” pihak tertentu.
Rata-rata kaum India terus membeli dan membaca
akhbar Tamil kerana mahu memberi sokongan terhadap usaha memastikan bahasa
ibunda mereka terus segar di negara bertuah ini. Sama ada pembaca dapat terus
bersabar dan menerima sahaja berita-berita propaganda yang berat sebelah dan
mengatasi “kehebatan” Utusan Malaysia,
hanya masa yang akan menentukan. - Baca juga: Tergadaikah Maruah Akhbar Tamil?
[Uthaya
Sankar SB adalah penulis bebas dan pemilik tunggal Perunding Media, Motivasi dan Penerbitan Uthaya.
Makalah ini ditulis pada 22 Januari 2013 dan disiarkan di Free Malaysia Today pada 29 Januari
2013. © Uthaya Sankar SB
2013. Harap maklum bahawa anda membaca
makalah ini serta segala kandungan di Blog Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]