Nampaknya masih ada puak tidak bermaruah
yang terus menggunakan isu novel Interlok: Edisi Murid untuk
mengecam dan memfitnah Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan).
Antara sentimen yang digunakan adalah
bahawa “Kavyan/Uthaya sudah melukakan hati orang Melayu” dan “Kavyan/Uthaya menghina
Sasterawan Melayu dengan melakukan 106 pindaan pada novel Interlok”.
Segala maklumat dan fakta sebenar berkaitan
isu teks Komponen Sastera Dalam Mata Pelajaran Bahasa Malaysia (Komsas) itu
boleh dirujuk di blog saya – SILA KLIK DI SINI.
Saya mengesahkan bahawa segala maklumat
yang saya paparkan itu adalah betul; walaupun seorang individu pernah berkata “Apa
yang Uthaya tulis di blog itu adalah pembohongan besar” – dengan merujuk pada CATATAN INI.
Dalam pada puak tidak bermaruah tertentu masih
seronok menjaja cerita bahawa Kavyan/Uthaya menghina “sasterawan Melayu” dengan
mencadangkan 106 pindaan pada novel Interlok:
Edisi Murid, mereka terlupa pula untuk mendedahkan pelbagai fakta lain yang
juga berkaitan.
Misalnya, cadangan dan sokongan supaya 20
halaman dalam novel Interlok: Edisi Murid
digugurkan – ya, “dibuang” begitu sahaja – dengan alasan novel itu didapati “terlalu
panjang”.
Ada beberapa lagi cadangan daripada pihak
tertentu yang kemudian “disenyapkan” supaya mereka – yang mengemukakan
cadangan-cadangan itu – pula berpeluang muncul sebagai “wira yang
memperjuangkan maruah sasterawan Melayu”.
Tidak lama dahulu, muncul isu “Tokoh Lidah Bercabang” dan “Penerima Anugerah Laut” menyebarkan
fitnah kepada sekumpulan editor majalah dan mendesak mereka tidak menyiarkan
karya-karya Sasterawan Kavyan dengan alasan “mereka
telah melukakan hati orang Melayu”, “mereka berani menyunting karya sasterawan
Melayu” dan “mereka cuba sebarkan agama Hindu melalui karya”.
Semua “kempen tidak bermaruah” inilah yang
agaknya membawa kepada tindakan seorang penolong editor sebuah majalah menolak
cerpen saya pada September 2012 dengan alasan “ada unsur penyebaran agama Hindu”.
Bagi memastikan masyarakat tidak terus dikelirukan
oleh puak tidak bermaruah yang masih aktif menyebarkan fitnah mengenai Kavyan
berhubung isu novel Interlok: Edisi Murid,
maka saya memutuskan untuk mendedahkan mengenai beberapa cadangan yang pernah
dikemukakan oleh puak tidak bermaruah itu sendiri dalam isu novel berkenaan.
Sesiapa
yang berminat untuk melihat, membaca dan meneliti bahan-bahan bukti itu, sila
hubungi saya sebelum 30 November 2012.
Cadangan “gugurkan 20 halaman” pula boleh saya kirim melalui e-mel (uthayasb@yahoo.com.my) atau mesej Facebook kepada rakan-rakan yang
berminat.