15 Jan 2012

Pak Lah Bakal Senasib “Empat Penulis Teraniaya”?

Dalam pada orang ramai menarik nafas lega kerana “sandiwara politik” (“Drama Paul Lathic”) berhubung novel Interlok Edisi Murid sudah tamat pada 21 Disember 2011, jangan pula kita lupa akan satu lagi isu yang juga berkaitan teks Komponen Sastera Dalam Mata Pelajaran Bahasa Malaysia (Komsas).

Saya merujuk pada kes Rohani Deraman, Amy Suzani Mohd Ainuddin, Hazama Harun dan Mohd Izan Abd Hazes yang terus dinafikan hak royalti walaupun karya mereka dijadikan teks Komsas.


Tidak keterlaluan (dan tidak juga bersikap mendabik dada) apabila dikatakan bahawa sehingga kini, hanya Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) yang tampil memperjuangkan serta membela nasib “empat penulis teraniaya” itu.


(Untuk makluman, satu kes lain berjaya diselesaikan pada peringkat permulaan manakala satu lagi kes selesai hampir sebulan selepas diketengahkan oleh Kavyan.)


Kavyan turut menerima sokongan dan kerjasama secara senyap daripada lebih 50 individu yang membantu dari pelbagai segi bagi terus memperjuangkan nasib “empat penulis teraniaya”. [BACA DI SINI]


Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said yang juga Penasihat Agung Kavyan sejak 2003, juga menyokong usaha murni memperjuangkan hak royalti, hak cipta dan harta intelektual pengarang.


Topik berkenaan turut dibincangkan semasa pertemuan kami di Bangsar, Kuala Lumpur pada 24 November 2011.


“Memikirkan bahawasanya sasterawan (penulis) adalah golongan yang selalunya tertindas, saya fikir, secara insani, penerbit haruslah menjadi pihak yang tahu ihsan. Apa salahnya diberikan sejumlah hasil (royalti atau honorarium) kepada penulis yang menghasilkan karya itu?


“Jadi, perlu ada perikemanusiaan. Tapi dalam kes ini, nampaknya Kementerian Pelajaran pun tidak berbuat apa-apa bagi membela hak penulis. Pada hal, kementerian patut membantu. Walaupun barangkali ada tugasnya yang lebih besar, tapi ini adalah rakyat juga. Seniman adalah rakyat,” beliau menegaskan.


Sasterawan berjiwa rakyat yang lebih mesra dengan panggilan “Pak Samad” berpendapat bahawa Kementerian Pelajaran perlu “membisikkan” kepada para penerbit terbabit supaya “berdamai” dan memberikan sedikit hasil yang wajar kepada penulis berkenaan.


Seperti kata Pak Samad, tindakan penerbit tidak membayar royalti akan memulakan suatu permusuhan antara pihak penulis (yang sentiasa merasakan dirinya agak tertindas) dengan pihak penerbit (yang sentiasa untung).


Bercakap mengenai isu pembayaran royalti, Pak Samad mengakui bahawa beliau juga ada pengalaman seperti itu.


“Agak buruk juga. Tapi akhirnya berjaya diselesaikan barangkali kerana penerbit terbabit tahu bahawa saya boleh ‘memanjat’ jauh lebih tinggi jika hak royalti itu dinafikan.


“Empat penulis yang terlibat dalam kes ini, barangkali dilihat sebagai tidak begitu besar dan penerbit fikir boleh ditindas tanpa ada pihak yang tampil membela nasib mereka,” kata Pak Samad yang sentiasa mengikuti perkembangan Kavyan dari jauh dan dekat.


Di pihak “empat penulis teraniaya”, mereka gembira dan bersyukur kerana Pak Samad sudi tampil memberikan sokongan pada saat begitu ramai “rakan seperjuangan” (penulis dan persatuan) memilih untuk berdiam diri seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku.


Selepas lebih empat bulan isu berlanjutan, saya bertanya kepada mereka, adakah mereka masih yakin bahawa pihak terbabit akan membela nasib mereka dalam isu royalti teks Komsas.


Saya rasa Menteri Pelajaran beranggapan isu ini isu remeh yang tidak penting walhal teks Komsas melibatkan ratusan ribu pelajar di Malaysia,” Amy Suzani meluahkan perasaan kecewa baru-baru ini.


Bagi Rohani, beliau merasakan seolah-olah menteri berkenaan bukan sahaja tidak sudi membantu, malah tidak mahu menjeling pun masalah mereka.


“Tak tahulah sama ada beliau tidak tahu, tidak diberitahu atau tidak mahu tahu. Kalau beliau tidak mahu ambil tahu, maknanya beliau adalah pemimpin yang tidak ambil berat tentang masalah penulis dan rakyat,” tegas penulis sepenuh masa itu.


Pasangan suami-isteri Mohd Izan dan Hazama juga mengeluh dengan berkata, “Keyakinan kami semakin terhakis. Sudah nyata, Menteri Pelajaran bagaikan tidak berminat membela nasib penulis.”


Bagi Kavyan, perjuangan belum selesai. Seperti ditegaskan Mahatma Gandhi, “Tidak akan tercapai kebaikan sekiranya tidak ada sesiapa yang berani mengetegahkan kebenaran.”

Pak Samad turut menegaskan bahawa penindasan atau penganiayaan dalam apa bentuk sekali pun tidak harus dibenarkan.


“Kalau dikatakan ‘kerajaan’, perlulah sentiasa membela ‘rakyat’. Para penulis ini pun rakyat juga. Saya fikir, Kementerian Pelajaran harus segera beri perhatian terhadap hal ini dan selesaikan segera kerana isu ini ada kaitan dengan hasil cipta, hak cipta dan rezeki yang halal,” beliau menegaskan.


Pak Samad menghuraikan bahawa jika kementerian tidak memberi perhatian segera, maka menteri terbabit seolah-olah sengaja membiarkan penulis-penulis kecil sentiasa ditindas penerbit.


Mengenai tindakan “empat penulis teraniaya” meminta campur tangan dan bantuan Wakil Rakyat atau ADUN, Pak Samad melihat tindakan itu sebagai langkah bijak dan positif.


“Memanglah, akhirnya, kalau tak boleh bergantung pada menteri yang kita harapkan, kita kena ada saluran alternatif. Kalau mahu minta bantuan Wakil Rakyat dari parti pembangkang pun tidak salah. Biar orang kata kita ‘buat bising’ tapi itu adalah ‘bising’ yang wajar,” katanya.


Mungkin juga ada pihak yang mempersoalkan mengapa penulis terbabit meminta bantuan Wakil Rakyat atau ADUN, dan bukan menghubungi mana-mana persatuan penulis (selain Kavyan).


Kami juga rakyat Malaysia. Malah, hasil karya kami dibaca dan dipelajari oleh rakyat Malaysia. Jadi, tentulah tak salah minta Wakil Rakyat membantu kami dalam isu ini,” Amy Suzani menjawab.


Rohani pula berhujah begini: “Kami bersedia menemui Wakil Rakyat kerana kami adalah ‘rakyat’ dan mereka adalah ‘wakil’. Wakil Rakyat memang dipilih oleh rakyat untuk membela nasib rakyat. Untuk mengadu kepada persatuan penulis tertentu, kami dikatakan tak layak. Pertama, kami bukan ahli persatuan. Kedua, kami hanya penulis kecil yang belum ada nama.”


Pada pengalaman Mohd Izan dan Hazama pula, persatuan penulis tertentu tidak berminat dan langsung tidak mengambil tahu meskipun keluhan dan rintihan mereka berempat sudah sampai ke pengetahuan persatuan terbabit.


“Mungkin bagi mereka, kami adalah beban. Maka, kepada Wakil Rakyat kami kemukakan dengan harapan mereka akan melaksanakan tanggungjawab sebagai ‘wakil rakyat’. Kami rakyat Malaysia, bukan pendatang asing tanpa izin (PATI) atau imigran,” Hazama menegaskan.


Kavyan menghubungi beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) bagi tujuan ini atas permintaan “empat penulis teraniaya”.


Saya bertemu ADUN dan Exco terbabit untuk menjelaskan kedudukan sebenar. Malah, mereka sudah sedia mengikuti perkembangan isu royalti teks Komsas menerusi laporan media dan blog saya sejak 15 Ogos 2011.


Pada 19 Disember lalu, salah seorang Exco mengirim surat rasmi kepada penerbit terbabit iaitu Edu Quest Publisher, Penerbit Mega Setia Emas Sdn Bhd, Nur Ilmu Sdn Bhd, Associated Education Distributors (M) Sdn Bhd, Karya Hartamas Enterprise dan V-Nice Resources.


Sebelum ini, kesemua penerbit terbabit tidak sedikit pun gentar walaupun laporan polis dibuat dan aduan dihantar ke Pejabat Menteri Pelajaran.


Seolah-olah (ulang: seolah-olah) penerbit ada “sokongan” orang dalam; atau penerbit “lebih berkuasa” daripada Menteri Pelajaran.


Terkini, bagi surat rayuan yang diserahkan pada 29 September 2011, Amy Suzani menerima surat makluman pada 18 Disember 2011 yang memaklumkan:


“Pejabat YAB Menteri Pelajaran telah meneliti dan memanjangkan surat tersebut kepada Pengarah, Bahagian Pembangunan Kurikulum, Kementerian Pelajaran Malaysia untuk perhatian dan tindakan selanjutnya.”


Bagi saya, kesemua penulis terbabit sebenarnya sudah mendapat “kemenangan moral” sebaik mereka berani tampil bersuara apabila penerbit tidak mahu membayar royalti bagi karya mereka yang dijadikan teks Komsas.


Pak Samad juga menegaskan bahawa walaupun akhirnya nanti “empat penulis teraniaya” mungkin tidak akan dibayar royalti, tapi ini adalah permulaan supaya penulis-penulis lain (yang sekarang ini masih memilih untuk membisu!) sedar bahawa jika mereka tidak ada kesedaran, mereka juga akan menjadi mangsa.


Mengulas lanjut, Pak Samad menjelaskan bahawa dalam dunia ini, selalunya perjuangan adalah perjuangan menentang ketidakadilan.


“Kita tidak harus malu untuk berjuang. Walaupun kita tidak terus menang, tidak apa. Kalau kita hanya ‘menang dalam kalah’ (kemenangan moral) pun tidak mengapa.


“Seperti kata Allahyarham (Sasterawan Negara) Datuk Usman Awang, ‘jangan diam’. Maksudnya, berterusanlah bersuara dan berjuang demi hak dan menentang ketidakadilan,” Pak Samad memberikan kata-kata semangat.


Ya, tentu sahaja Kavyan akan meneruskan perjuangan walaupun dipandang serong dan penuh iri oleh pelbagai pihak.


Malah, dalam perkembangan terbaru kontroversi novel Interlok Edisi Murid karya Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain (Pak Lah), novel itu ditarik balik secara rasmi dan digantikan dengan Konserto Terakhir. [BACA DI SINI]


Kini, Kavyan mahu Kementerian Pelajaran serta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) memberi jaminan bahawa Pak Lah tetap dibayar royalti penuh bagi sekitar 390,000 naskhah “Interlok Kulit Merah” (cetakan 2010) dan sekitar 390,000 naskhah “Interlok Kulit Biru” (cetakan 2011). [BACA DI SINI]


Jika tidak, tentu sahaja nasib Pak Lah nanti sama seperti Rohani, Amy Suzani, Hazama dan Mohd Izan. Lahirlah “lima penulis teraniaya”!


Dan tidak mustahil bahawa penulis dan persatuan penulis tertentu yang “membisu” sekarang akan terus “bisu” pada waktu itu kerana mahu “carma” seperti kata Pak Samad.


(© Uthaya Sankar SB 2011. Artikel ini ditulis pada 20-21 Disember 2011 dan disiarkan di The Malaysian Insider pada 26 Disember 2011. Sila KLIK DI SINI untuk koleksi bahan berkaitan isu royalti teks Komsas.)