14 Jan 2012

Panchayat: Bahagian 2 – Trisula

[Keluarga Puan Janaki amat dihormati penduduk Kubur Gajah dan kampung-kampung berdekatan.]

Malliga masih berdiri dengan kepala tertunduk malu. Memang selalunya dia tidak berani bertentang mata dengan Raja. Begitulah sikap Malliga sejak dahulu. Dan sikap itulah yang membuatkan Raja terpikat kepadanya dahulu.


Raja dan Malliga sama-sama pendiam. Ini benar-benar berbeza dengan pasangan Ramani dan Revathi yang sentiasa bergurau-senda.


Perbezaan lebih ketara antara Malliga dan Revathi. Malliga yang berumur dua puluh satu tahun merupakan gadis India yang tipikal: penuh sopan-santun, pemalu dan pendiam.


Revathi yang setahun lebih muda daripada Malliga pula lebih berani, nakal dan bermulut becok. Pun begitu, gadis itu tetap tidak hilang nilai sopan-santun sebagai seorang gadis.


“Ei, Revathi! Awak jangan salahkan anni sahaja.” Ramani menjeling marah-marah sayang ke arah kekasihnya. “Berapa kali saya dah beritahu awak: lembu dan kerbau buta warna. Madurai Kaala bukan mengejar kamu berdua kerana berpakaian merah. Tapi mungkin kerana mundani yang terjuntai. Tentu lembu pelaga itu sangka kamu dan anni mengajaknya berlaga!”


Ramani ketawa berdekit melihat Revathi yang buat-buat merajuk. Raja dan Malliga pula hanya tersenyum sipu. Mata Malliga melirik ke kiri dan ke kanan.


“Sudahlah, Ramani. Jangan buatkan Revathi menangis. Elok kita iringi mereka ke kuil sekarang.” Raja yang agak pemalu itu memandang Malliga dan Revathi lalu menyambung, “Marilah kita ke kuil.”


Lalu, mereka berempat berjalan menuju ke kuil Maha Kaali. Sambil berjalan, Malliga terkenangkan kisah lalu.


Sepatutnya dia sudah bertunang dengan Raja setahun lalu. Segala persiapan sudah dibuat bagi majlis pertunangan mereka. Puan Janaki mahukan majlis pertunangan Raja-Malliga dan Ramani-Revathi dibuat serentak. Bapa Malliga bersetuju dengan cadangan itu. Begitu juga keluarga Revathi.


Seluruh kampung tidak sabar menantikan hari pertunangan tersebut. Tidak terkecuali juga penduduk dari kampung-kampung berdekatan seperti Selama dan Lubok Buntan.


Mereka semua awal-awal lagi sudah menyatakan sesanggupan untuk datang membantu semasa majlis pertunangan yang pasti meriah itu. Malah mereka juga sedia datang membantu semasa majlis perkahwinan nanti.


Begitu sekali status keluarga Puan Janaki di Kubur Gajah dan kampung-kampung berdekatan.


Keluarga Puan Janaki bukannya kaya. Mereka hanya memiliki sebuah kandang berisi hampir lima puluh ekor lembu. Tiada harta-benda lain. Tapi mereka kaya budi, murah hati, ringan tulang, cepat mesra dan kuat iman. Itulah yang membuatkan orang ramai menghormati mendiang Puan Janaki serta Raja dan Ramani.


Keluarga Puan Janaki memang dikenali dan dihormati oleh penduduk Kubur Gajah dan Lubok Buntan kerana sikap baik hati mereka. Setiap kali ada keramaian, mereka anak-beranak pasti tampil membantu apa yang patut.


Tidak kira sama ada majlis perkahwinan, kematian, kelahiran atau apa sahaja, merekalah antara penduduk yang paling awal datang membantu itu dan ini.


Kalau majlis perkahwinan, Raja dan Ramani menguruskan tugas mengedar kad undangan. Juga membuat segala persiapan bagi majlis berkenaan.


Pendek kata, keluarga Puan Janaki sama sibuk dengan keluarga pengantin terbabit.


Walaupun Puan Janaki merupakan seorang balu, dia tidak pernah disingkirkan daripada menyertai majlis-majlis perkahwinan. Malah, dia juga yang kerap kali diminta memilih kain sari bagi pengantin wanita. Selalu juga Puan Janaki diminta memberikan nama bagi bayi yang baru lahir.


Bagi ibu-ibu yang baru bersalin pula, Puan Janaki akan meminta Raja dan Ramani menghantarkan susu lembu dua kali sehari selama dua bulan.


Semua ini dilakukan oleh mereka anak-beranak tanpa dipinta atau dibayar.


“Kami melakukan semua ini demi Tuhan,” bangat menjawab Puan Janaki jika ada orang yang menghulurkan wang sebagai bayaran bagi perkhidmatan yang keluarganya berikan. “Mana tahu kalau pada masa akan datang, kami pula yang perlukan bantuan. Masa itu, keluarga Nyonya Loong, Mak Cik Bedah, Father Francis, Sujatha Paati dan para penduduk Kubur Gajah bolehlah membantu kami pula.”


Demikian status keluarga Puan Janaki di Kubur Gajah. Malah, hampir menyamai kedudukan keluarga Senthamarei, ketua panchayat.


Itulah antara sebab mengapa keluarga Malliga dan keluarga Revathi tidak teragak-agak menerima pinangan daripada pihak Raja dan Ramani setahun lalu.


“Hei, akka bermimpikah?”


Malliga tersedar daripada lamunan apabila Revathi menepuk bahu kanannya.


“Cepatlah tanggalkan selipar dan masuk ke kuil. Raja Mama dan Ramani Attan sudah lama menunggu kita,” kata Revathi sambil berjalan mendahului Malliga menaiki tangga kuil Maha Kaali.


Malliga cepat-cepat menanggalkan selipar, mencuci kaki dan berlari-lari anak menyertai Revathi. Raja dan Ramani sudah sedia menanti mereka di dalam kuil.


“Ei, mana ayyer ni? Semasa kami berdua datang tadi, dia ada. Sekarang sudah lesap entah ke mana,” rungut Ramani apabila gagal menemui si sami di perkarangan kuil.


“Tak payahlah kita cari dia. Mungkin si ayyer tu pulang awal kerana hari ini hari Sabtu. Kaali Devi tentu tak akan merajuk kalau ayyer tidak membaca mantera dalam Bahasa Sanskrit semasa kita bersembahyang. Lagi pun, hari sudah senja,” kata Raja sambil bersedia untuk sembahyang. – BERSAMBUNG MINGGU DEPAN


Uthaya Sankar SB 2002 & 2011. Disiarkan di Free Malaysia Today pada 11 Jun 2011 sebelum didokumentasikan di blog pada 14 Januari 2012. Sila KLIK DI SINI untuk maklumat lanjut. Sudah dimaklumkan sejak awal bahawa penulis boleh dihubungi menerusi e-mel uthayasb@yahoo.com.my untuk sebarang komen bagi “memurnikan” novel Panchayat: Edisi Khas dari aspek kesilapan bahasa, kesalahan fakta dan perkara-perkara yang mungkin menyentuh sensitiviti kaum sepanjang ia disiarkan secara bersiri di FMT. Sebarang komen selepas itu tidak akan dilayan.)