15 Jan 2012

Semangat ‘ahimsa’ di Rumah Gapena

Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) merakamkan rasa sedih dan kecewa kerana isu yang tercetus akibat novel Interlok (edisi murid) semakin jauh daripada titik penyelesaian yang sama-sama diharapkan oleh semua pihak yang mencintai sastera kebangsaan dan tanah air.

Saya selaku Presiden Kavyan akan menghadiri perhimpunan anjuran Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) dan 21 badan bukan kerajaan (NGO) Melayu di Rumah Gapena, Kuala Lumpur hari ini [15 Januari 2011] sebagai tanda ‘sokongan neutral’.


Maksud saya, kumpulan yang terlibat dalam perhimpunan itu rata-rata ialah rakan-rakan saya dalam bidang bahasa, sastera, seni dan budaya sejak lebih 20 tahun lalu; serta Kavyan mempunyai pengalaman bekerjasama dengan mereka dalam menjayakan pelbagai aktiviti sejak lebih 10 tahun lalu.


Ada beberapa pihak di luar Kavyan menasihatkan saya supaya tidak hadir pada perhimpunan ini kerana bimbang berlaku apa-apa tidak diingini berikutan ‘sentimen’ yang wujud sekarang ini.


Tetapi saya bertegas mahu hadir kerana yakin dan percaya kita sama-sama mahu menenangkan keadaan dan memulihkan situasi; bukan menjadikannya lebih teruk.


Saya juga rasa sedikit bersalah kerana wakil Kavyan tidak berpeluang hadir semasa Persatuan Penulis Nasional (Pena) mengadakan dialog pada 8 Januari lalu.


Jika tidak, mungkin ada ruang dan peluang lebih cerah untuk menjadi ‘jambatan’ yang mungkin mampu menghubungkan dua ‘kumpulan’ besar dalam usaha menenangkan keadaan sebelum menjadi lebih parah.


Maka, saya akan hadir di Rumah Gapena petang ini untuk menghulurkan salam perpaduan serta bertemu rakan-rakan sambil mendukung semangat ‘ahimsa’ yang turut menjadi amalan idola saya, Mahatma Gandhi.


Saya akan pergi secara sendirian sementara majoriti rakan-rakan kaum India terlibat dalam upacara Ponggal yang juga disambut hari ini.


Saya bukannya mahu cuba tunjuk ‘berani’ tetapi saya mendapat keberanian itu berikutan keyakinan dan kepercayaan yang saya letakkan kepada penulis-penulis dan rakan-rakan NGO Melayu yang menyertai perhimpunan besar-besaran itu.


Saya akan berkunjung ke Rumah Gapena dengan semangat yang dibawakan Gandhi, individu memperjuangkan dan mengamalkan ‘ahimsa’ (non-violence; tanpa kekerasan). Gandhi yang mementingkan kemanusiaan dan menggunakan istilah ‘Harijan’ (Children of God) apabila merujuk kepada golongan dipinggirkan.


Saya ke Rumah Gapena menghulurkan tangan untuk bersalam dan bertanya khabar rakan-rakan serta saudara seangkatan dalam dunia bahasa, sastera, seni dan budaya.


Saya percaya, sewaktu bersalaman dan tangan kami bersentuhan, akan wujud persefahaman dan keakraban yang menjadi bukti kekuasaan Tuhan.


Ya! Bukti kekuasaan Tuhan; sebagaimana juga dikisahkan dalam novel Interlok karya Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain.


Apabila saya menunjukkan tanda ‘vanakam’ dengan tangan kepada wakil NGO daripada kalangan wanita (walaupun mereka mungkin tidak tahu apa perlu dibalas; seperti dialami watak Limah sewaktu bertemu Maniam dalam novel Interlok), saya percaya akan timbul kemesraan yang dizahirkan menerusi senyuman ikhlas.


Segera mengingatkan saya kepada hubungan Musa-Maniam, lebih seperti bersaudara. Juga Maniam yang menganggap Seman (anak Musa) sebagai anak sendiri sementara Seman menganggap Maniam sebagai bapa.


Saya mengenali kebanyakan wakil NGO Melayu yang (dijadual) menghadiri perhimpunan besar-besaran di pekarangan Rumah Gapena.


Saya mengenali Ketua Satu Gapena, Tan Sri Profesor Emeritus Ismail Hussein dan saya mengenali Pak Lah melalui kumpulan cerpen Kota ke Kota (DBP: 1977) jauh sebelum saya sedar mereka adik-beradik.


Saya mengenali Presiden Pena, Mohamad Saleeh Rahamad semasa beliau menjadi pensyarah saya di Universiti Malaya (UM). Saya juga mengenali pemimpin-pemimpin dari Persatuan Penulis Kuala Lumpur (Kalam), Persatuan Penulis dan Kebajikan Negeri Selangor (Kemudi) serta ramai lagi individu, sama ada secara pertemuan di ruang maya atau alam nyata.


Saya percaya mereka semua akan sama-sama berada di pekarangan Rumah Gapena pada petang ini dengan semangat setia kawan dan niat murni demi sastera dan negara.


Saya menyatakan ‘sokongan neutral’ terhadap usaha Gapena dan 21 NGO Melayu mengadakan perhimpunan besar-besaran (dan aman) memprotes isu mempolitikkan novel Interlok.


Bagaimanapun, sepanjang menjadi ‘tetamu’ di Rumah Gapena nanti, saya tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi mewakili Kavyan berhubung isu ini.


Langkah ini adalah sebagai menghormati ‘tuan rumah’ serta mengamalkan semangat ahimsa yang diperjuangkan Gandhi.


Sesiapa berminat mendapatkan pandangan Kavyan berhubung saranan dalam menyelesaikan isu ini boleh sahaja merujuk blog Kavyan dari semasa ke semasa atau menghadiri taklimat khas mengenai Interlok di Perpustakaan Raja Tun Uda, Shah Alam, esok.


[© Uthaya Sankar SB 2011. Pandangan ini disiarkan di akhbar Sinar Harian pada 15 Januari 2011, iaitu tarikh Perhimpunan Aman di Rumah Gapena diadakan. Pandangan ini berdasarkan catatan saya di blog pada 14 Januari 2011. Sila KLIK DI SINI untuk membaca catatan saya selepas menghadiri perhimpunan berkenaan. Video rakaman selepas saya “dipaksa” berucap boleh ditonton DI SINI manakala koleksi bahan berkaitan kontroversi novel Interlok Edisi Murid boleh dirujuk DI SINI. Tulisan ini dipaparkan di blog pada 15 Januari 2012 sempena setahun Perhimpunan Aman di Rumah Gapena. Kebetulan, sambutan Ponggal pada tahun ini juga pada 15 Januari.]