30 Apr 2011

Kebangkitan Pengarang Lelaki Seksi

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2011 sedang berlangsung sekarang [22 April - 1 Mei 2011]. Sekiranya anda peminat novel Melayu, maka anda akan berpeluang menambah koleksi novel popular menerusi kunjungan ke Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.

Malah, ‘rungutan’ kecil yang sudah kedengaran dalam kalangan peminat novel Melayu adalah bahawa terdapat terlalu banyak pilihan sehingga mereka tidak tahu buku mana yang patut dibeli berikutan faktor kekangan kewangan.


Di sisi lain, kebanyakan penulis yang ‘meletup’ dan menyinar dalam penghasilan novel-novel popular Melayu adalah pengarang wanita. Lihat sahaja senarai penulis popular yang lahir dan terus-menerus menyinar menerusi Alaf 21, misalnya, untuk menyedari hakikat ini.


Ironinya, dalam bidang penulisan karya sastera kebangsaan, pengarang lelaki lebih menonjol dan dikenali. Satu ‘tuduhan’ yang sering dilemparkan adalah bahawa pengarang wanita selalu ‘berhenti menulis’ selepas berumah tangga.


Kalau kita perhatikan senarai penerima Anugerah Sastera Negara yang membawa kepada gelaran Sasterawan Negara (SN), kesemua sepuluh SN kebanggaan kita adalah pengarang lelaki. Malah, terdapat tanda-tanda (penanda dan petanda) bahawa SN ke-11 juga seorang pengarang lelaki.


Berbalik kepada pengarang karya (novel) popular, bidang yang menjanjikan pulangan yang lumayan itu pula didominasi penulis wanita; yang belum berkahwin dan yang sudah berumah tangga tetapi tidak menjadikan ‘status’ itu sebagai alasan tidak mampu menghasilkan novel yang tebal, popular dan laris dalam pasaran.


Dalam kalangan penulis lelaki yang menonjol, satu-satunya nama yang segera muncul dalam fikiran saya ialah Ramlee Awang Murshid, ikon penulis novel thriller terbitan Alaf 21.


Namun, monopoli Ramlee dan Alaf 21 nampaknya mula dipecahkan oleh Buku Fixi iaitu “sebuah label buku yang memberi tumpuan kepada novel-novel baru yang bersifat urban dan masakini”.


Tiga novel pertama terbitan “Fixi yang seksi” ialah ‘Pecah’ karya Khairulnizam Bakeri, ‘Cekik’ (Ridhwan Saidi) dan ‘Kougar’ (Shaz Johar) serta diperkenalkan kepada wakil media dalam suatu majlis “sederhana tetapi meriah” pada 14 April 2011.


Amir Muhammad selaku pemilik Buku Fixi mengaku bahawa idea menerbitkan buku-buku “seksi” (baca: pulp fiction) “datang secara mendadak” pada 6 September 2010 semasa beliau menghadiri Upacara Anugerah Pilihan Pembaca 2010 sempena BookFest@Malaysia.


Hasilnya adalah tiga ‘novel seksi’ oleh tiga ‘pengarang seksi’ yang sudah pun mula menjadi buah mulut peminat novel Melayu di dalam dan luar negara.


Sebenarnya, saya berpeluang membaca manuskrip novel keempat sebelum membaca tiga novel di atas. Pengarang novel ‘Dendam’ ialah Affifudin Omar yang pernah menjadi Timbalan Menteri Kewangan Malaysia (1994-98).


Tentu sahaja kurang sesuai jika saya melabel penulis berumur 68 tahun itu sebagai ‘pengarang seksi’ tetapi novel yang bakal menemui pembaca pada Mei 2011 tetap ‘seksi’ – malah lebih daripada itu kerana membaurkan pelbagai fakta dan fiksyen menjadi ‘faksyen’ yang pasti menambat hati dan minda pembaca yang mengikuti perkembangan politik, sosial, perundangan dan ekonomi negara.


Novel-novel berciri urban dan kontemporari ini menggunakan ‘Gaya Fixi’ yang menggalakkan “bahasa slanga, celupar, rojak” sekali gus berbeza dengan ‘Gaya Dewan’.


Bagi saya, hal ini amat mujur kerana dalam perkembangan terbaru, Kementerian Pelajaran Malaysia melalui Unit Komunikasi Korporat dalam kenyataan rasmi di portal rasmi kementerian itu memaklumkan:


“… perkataan-perkataan dalam bahasa Melayu yang terdapat dalam kamus-kamus bahasa Melayu terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, ia hendaklah dilihat dari kaca mata bangsa Melayu, dan bukan dari kaca mata bangsa lain. … Setiap bangsa di Malaysia mesti menerima hakikat bahawa kamus bahasa Melayu mencerminkan bahasa, adat dan budaya Melayu.” [BACA LAGI]


Saya katakan “mujur” kerana bahasa yang digunakan dalam buku-buku Fixi mempunyai potensi besar dituduh menghina bahasa, adat dan budaya Melayu sekiranya pengarang menggunakan bahasa Melayu dari ‘Kamus Dewan’ mengikut definisi yang diberikan kementerian.


Sasaran pembaca bagi buku-buku Fixi juga tidak terhad kepada khalayak kaum tertentu. Maka, Amir Muhammad (yang sedia terkenal melalui ‘Lelaki Komunis Terakhir’) tidak boleh dituduh cuba ‘merosakkan’ kaum tertentu menerusi novel-novel pulp dan seksi menggunakan medium bahasa Melayu.


Novel ‘Kougar’ yang merupakan karya sulung Shaz Johar, misalnya, bermula dengan kisah cinta (baca: berahi) antara Rakisha yang berumur 40 tahun tetapi mengaku 35 tahun dengan Azril Azwan yang berumur 25 tahun tetapi mengaku 29 tahun.


“Memandangkan awak dah bagi hint yang awak pun nak cuba couple dengan saya, apa kata kita cuba je bercinta dulu.” (‘Kougar’, halaman 48)


Cerita bergerak pantas, bercorak urban dan menggunakan pelbagai latar tempat yang kita sebagai pembaca sedia kenal.


Pesoalan seperti isu gay, pengkid, lesbian dan ‘anak ikan’ yang selama ini hanya menjadi bahan berita di beberapa akhbar arus perdana tertentu, kini boleh dibaca dalam bentuk novel.


Khairulnizam menerusi novel sulungnya, ‘Pecah’, menegaskan sejak awal bahawa “bahasa bukan untuk dilacur, bahkan untuk dilabur dan dilakur, agar jadi milik semua”. Maka, sejak awal lagi, hilanglah peluang novel ini untuk diangkat sebagai novel yang semata-mata mencerminkan bahasa, adat dan budaya kaum tertentu.


Novel ini membawa pembaca terus mengikuti aksi yang berlaku dalam cerita sejak halaman pertama. Penggunaan latar tempat seperti Bangunan UMNO Selangor, CIMB Shah Alam dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah membuatkan pembaca berasa seolah-olah karya ini sebuah ‘faksyen’ dan bukan sekadar sebuah ‘fiksyen’.


Entah mengapa, penulis tidak lupa untuk “merakamkan” juga mengenai ‘Papan tanda projek kerajaan terpacak tegak tanpa frasa rasmi – Satu Lagi Projek Kerajaan Barisan Nasional’ (halaman 37).


Novel pascamoden ‘Cekik’ karya Ridhwan Saidi pula membawa pembaca melihat gaya kehidupan penduduk di ‘Bandar – Petaling Jaya, Damansara Jaya, Desa Jaya, Ampang Jaya, Subang Jaya, Kelana Jaya, Putrajaya, Cyberjaya ah! Apa bezanya?’ pada tahun 2020.


Kisah ini berlaku berlatarkan Menara Warisan Merdeka tetapi masih ada ruang untuk watak-watak dalam novel ini bercakap mengenai Dasar Ekonomi Baru (DEB), filem ‘Gila Gila Remaja’, mi Maggi dan VHS.


Watak Syed Warith yang berumur 16 tahun dan sudah menonton VHS filem lucah sejak usia 14 tahun, bercinta (baca: menjalin hubungan seksual luar tabii) dengan Suria Menado yang berumur 32 tahun dan bekerja sebagai pensyarah Falsafah Senibina di sebuah universiti swasta tempatan.


Ringkasnya, mujurlah novel-novel Fixi menggunakan ‘Gaya Fixi’ dan bukannya gaya ‘Kamus Dewan’. Sekurang-kurangnya ‘Kougar’, ‘Pecah’ dan ‘Cekik’ – serta ‘Dendam’, ‘Kasino’ dan banyak lagi novel akan datang – tidak sekadar mewakili adat dan budaya kaum tertentu.


(© Uthaya Sankar SB 2011. Pertama kali disiarkan di The Malaysian Insider pada 25 April 2011.)

29 Apr 2011

Konvoi II Ke Rumah Ibadat

Orang ramai dipelawa menyertai Konvoi II Ke Rumah Ibadat pada Isnin, 2 Mei 2011 (cuti umum) bermula pukul 10:00 pagi di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur. Konvoi akan mengunjungi enam rumah ibadat pelbagai agama di Jalan Ipoh dan Jalan Sentul dalam usaha memupuk perpaduan, persefahaman dan silatulrahim dalam kalangan peserta pelbagai kaum dan agama. Sila KLIK DI SINI untuk maklumat lanjut.

Media: Terima Kasih

Terima kasih kepada semua media yang membuat liputan dan pendedahan mengenai seorang pengetua yang sanggup melakukan apa sahaja untuk menutup segala kelemahannya. Kebenaran akan tetap mencapai vijaya (dan Putrajaya!).

(Status Facebook pada sekitar jam 9:30 pagi, 29 April 2011)

Trivia: Kata Kunci

Rajah di atas menunjukkan sepuluh (10) kata kunci yang paling banyak digunakan orang ramai di pelbagai enjin pencarian di ruang siber sehingga akhirnya menemui tiga blog yang dikendalikan oleh Uthaya Sankar SB dan Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan). Maklumat ini adalah bagi tempoh setahun iaitu dari 29 April 2010 hingga 28 April 2011. Sila KLIK pada rajah di atas untuk membesarkannya supaya lebih mudah dirujuk.

Apabila Orang Tidak Faham Bahasa

Hidup memang ceria apabila kita dikelilingi pelbagai golongan manusia. Tuhan memang menciptakan kita berbeza-beza dan hakikat itu wajib diakui; tanpa mengira kaum dan agama.

Atas dasar itulah juga saya sentiasa terus bersabar apabila terpaksa “berhadapan” dengan pelbagai kerenah dan karenah yang dibawakan pelbagai lapisan manusia.

Terbaru, dalam perbincangan berkaitan kedudukan Bahasa Malaysia sebagai bahasa milik seluruh Bangsa Malaysia – sebagai bahasa rasmi, bahasa kebangsaan, bahasa ilmu, bahasa komunikasi dan bahasa perpaduan di negara bertuah ini.

Bagi membantu pemahaman manusia yang “pelbagai” dari segi tahap pemahaman dan penguasaan bahasa kebangsaan, elok saya berikan ringkasan kisah yang berlaku mengikut kronologi.


[Sila maklum juga bahawa seseorang yang dilahirkan dalam kaum tertentu dan bahasa ibundanya adalah bahasa tertentu, tidak bermakna individu itu secara automatik mempunyai tahap pemahaman dan penguasaan tinggi dalam bahasa itu.]


Pada 31 Mac 2011, nampaknya akhbar Makkal Osai menyiarkan satu berita mengenai “Kamus Dewan mengandungi perkataan yang menyinggung perasaan kaum India”.


Saya bukan pembaca setia akhbar Tamil itu dan tidak juga berpeluang membaca berita berkenaan yang khabarnya disiarkan pada 31 Mac.


Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) hanya mendapat maklumat mengenai perkara itu apabila dimaklumkan oleh seorang “rakan” di Facebook baru-baru ini mengenai jawapan yang diberikan oleh Unit Komunikasi Korporat, Kementerian Pelajaran Malaysia di portal rasmi kementerian berkenaan.


Bahagian yang memberikan kejutan terbesar kepada Kavyan adalah seperti berikut:

“Kamus Dewan terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka disusun berasaskan perkataan-perkataan yang digunakan oleh pengguna bahasa Melayu [sic], termasuklah perkataan-perkataan yang bersumberkan bahasa-bahasa lain seperti bahasa sukuan atau etnik, bahasa Inggeris, China [sic], Sanskrit, Tamil, Belanda, Arab dan sebagainya”.


“Sehubungan dengan perkataan-perkataan dalam bahasa Melayu [sic] yang terdapat dalam kamus-kamus bahasa Melayu terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, ia hendaklah dilihat dari kaca mata bangsa Melayu, dan bukan dari kaca mata bangsa lain. ... Setiap bangsa [sic] di Malaysia mesti menerima hakikat bahawa kamus bahasa Melayu mencerminkan bahasa, adat dan budaya Melayu.”


Lalu, Kavyan mengeluarkan kenyataan rasmi di blog pada 17 April 2011 kerana kecewa dengan jawapan yang diberikan oleh kementerian berkenaan. [BACA DI SINI]


Kavyan sedikit pun tidak berniat serta tidak berminat mahu masuk campur dalam soal apakah perkataan-perkataan yang dikatakan “menyinggung perasaan masyarakat India” dalam isu berkaitan berita yang disiarkan di akhbar Makkal Osai pada 31 Mac lalu.


Sebaliknya, seperti yang dinyatakan dalam kenyataan itu yang ditulis menggunakan bahasa yang amat mudah, apa yang mengecewakan Kavyan adalah jawapan yang diberikan oleh Unit Komunikasi Korporat kementerian berkenaan ternyata cuba menafikan kedudukan Bahasa Malaysia sebagai bahasa milik seluruh Bangsa Malaysia. Sebaliknya, “memaksa” orang lain melihat serta menganggap Bahasa Malaysia (bahasa Melayu) sebagai milik kaum tertentu sahaja.


Pada pendapat Kavyan, kerajaan sepatutnya mengambil langkah “merakyatkan” Bahasa Malaysia dan bukannya “menyempitkan” bahasa kebangsaan kepada kaum tertentu. Apatah lagi dalam usaha menggalakkan generasi muda pelbagai kaum menggunakan Bahasa Malaysia dalam kehidupan seharian.


Kenyataan rasmi Kavyan turut dipetik dalam laporan yang disiarkan di portal berita The Malaysian Insider pada 17 April 2011 [BACA DI SINI] dan Kavyan telah mengharapkan reaksi daripada Kementerian Pelajaran bagi “membaiki” keadaan.


Sebaliknya, dalam laporan berita yang disiarkan pada 18 April, Gapena dan Pena tampil menegaskan bahawa “kandungan perkataan dalam Kamus Dewan tidak perlu dipertikaikan oleh mana-mana pihak termasuk Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan), pertubuhan mewakili penulis kaum India”.


Tentu sahaja saya amat kecewa – dan amat sedih – membaca reaksi yang agak dangkal seperti itu kerana reaksi yang cuba dikemukakan adalah reaksi terhadap apa yang dilaporkan di akhbar Makkal Osai pada 31 Mac dan bukannya reaksi terhadap kenyataan Kavyan pada 17 April.


Percanggahan pendirian juga amat jelas apabila Gapena mengakui “Bahasa Malaysia kepunyaan bangsa Malaysia ... sebagai bahasa kebangsaan seluruh warga negara dan semua orang mempunyai tanggungjawab untuk memperkayakan bahasa itu”.


Dalam laporan yang sama, Pena pula berpendirian: “Apabila bercakap (mengenai) Kamus Dewan dan Bahasa Melayu, semua dilihat dari perspektif Bahasa Melayu”.


Malah, Pena juga dilaporkan berkata, “kenyataan terbaru Kavyan seolah-olah bersifat ugutan dengan tujuan agar perkataan-perkataan yang didakwa menyinggung kaum India digugurkan pula dari Kamus Dewan”.


Presiden persatuan penulis itu turut “menasihatkan Kavyan agar tidak mempertikaikan Kamus Dewan kerana ia akan mencemarkan kedaulatan Bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi negara” dan “Saya nasihatkan jangan nak menimbulkan huru-hara, ia nampak seolah-olah mahu menimbulkan ugutan dan hasutan”. [BACA DI SINI]


Tentu sahaja saya mengalami perasaan yang berbaur antara kecewa, terkejut, hairan, terkedu, ketawa dan sedih kerana reaksi yang diberikan memberi gambaran seolah-olah masih ada orang yang menghadapi masalah untuk memahami apa yang dinyatakan oleh Kavyan dalam kenyataan media yang hanya menggunakan Bahasa Malaysia yang amat mudah difahami.


Akibat daripada reaksi yang dikemukakan oleh Gapena dan Pena, muncul pula pelbagai reaksi baru di ruang siber daripada pelbagai individu yang kebanyakannya bersembunyi di sebalik identiti yang sukar dikesan.


Membaca reaksi (komen) mereka membuktikan sekurang-kurangnya tiga perkara:


Pertama, mereka hanya membaca berita yang memuatkan reaksi Gapena dan Pena.


Kedua, mereka langsung tidak membaca kenyataan asal Kavyan yang turut disiarkan di portal berita yang sama.

Ketiga, mereka menghadapai masalah memahami Bahasa Malaysia yang paling asas sekali pun.

Akibat manipulasi yang dilakukan pihak tertentu, seorang individu bernama ‘Subari Ahmad’ mengeluarkan kenyataan di rangkaian sosial Facebook: “... hantar saja si dia tu ke ISA kerana cuba menggugat ketenteraman rakyat”.

Rakannya yang bernama ‘Wan Asyeah Wan Nawang’ pula menyatakan sokongan: ‘Sudah naik tocang rupanya dia. Elok juga dikenakan ISA. Ini negara kita MALAYSIA bukan INDISIA”. [BACA DI SINI]

Nampaknya, sesiapa yang memperjuangkan kedudukan Bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi, bahasa kebangsaan, bahasa ilmu, bahasa komunikasi dan bahasa perpaduan di negara bertuah ini akan dikenakan tindakan ISA di negara bertuah ini!


Tidak perlulah saya mengulangi di sini beberapa lagi kenyataan dangkal yang dikeluarkan oleh beberapa “pakar” dari beberapa universiti tempatan yang ternyata tidak tahu hujung pangkal topik sebenar yang diperkatakan oleh Kavyan.


Saya dan Kavyan bercakap mengenai kedudukan Bahasa Malaysia sebagai bahasa milik seluruh Bangsa Malaysia, tetapi terlalu banyak “tin kosong” yang berbunyi sesuka hati; bagaikan “anjing geladak”.

Terbukti bahawa perjuangan mengangkat maruah, kedudukan dan martabat Bahasa Malaysia di negara bertuah ini bukan suatu tugas yang mudah.

Khususnya apabila penguasaan bahasa anda lebih baik daripada kelompok tertentu yang ternyata tidak mampu memahami kenyataan media yang ditulis menggunakan bahasa yang amat mudah difahami.

Sementara itu, Kavyan yang diasaskan pada Ogos 1999 akan terus mengangkat Bahasa Malaysia sebagai bahasa milik seluruh Bangsa Malaysia.

Dirgahayu Bahasa Malaysia!


Uthaya Sankar SB 2011. Free Malaysia Today, 26 April 2011. Makna “anjing geladak” yang digunakan dalam tulisan di atas boleh dirujuk di Kamus Dewan atau Kamus Pelajar Bahasa Malaysia.)

28 Apr 2011

Ibu Bapa Tuntut Pengetua Jelaskan Isu Pergaduhan

SHAH ALAM 25 APRIL: Ibu bapa kepada sekumpulan pelajar yang terlibat dalam satu pergaduhan di SMK Taman Sri Muda pada Rabu lalu akan mengadakan pertemuan dengan pihak polis dan juga pengurusan sekolah petang ini.

Seorang bapa kepada pelajar berkenaan, Stephen Perumal Velu berkata perjumpaan pada jam 2.30 petang itu juga akan melibatkan Jabatan Pendidikan Selangor, Pejabat Pendidikan Daerah dan wakil daripada persatuan ibu bapa dan guru sekolah berkenaan.

Stephen berkata, beliau akan meminta pengetua sekolah berkenaan untuk menjelaskan mengenai tindakan pentadbiran sekolah memanggil pihak polis ketika pergaduhan itu berlaku.

"Memang kita tak puas hati dengan tindakan pengetua yang enggan beri penjelasan. Boleh bawa pegawai polis, boleh bawa pegawai pelajaran tapi jangan tahan pelajar yang tak terlibat.

"Kalau (pelajar dibawa ke balai polis), jadi gangguan kepada anak-anak kita. Budak ini takut nak pergi ke sekolah, ini terjadi kepada anak saya sendiri, katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Tambahnya, para ibu bapa yang terlibat juga tidak berniat untuk membesar-besarkan isu berkenaan.

"Kita bukan hendak besarkan masalah dan kita bukan bawa isu perkauman. Kita hendak jaga semua anak bangsa, pergaduhan ini berlaku antara saudara mara kita juga sebab kita dalam konsep 1Malaysia ini kita bersaudara mara," katanya lagi.

Sebelum ini, sekumpulan lebih 20 ibu bapa pelajar terbabit mengadakan perhimpunan di hadapan sekolah berkenaan yang terletak di Seksyen 25, Shah Alam.

Stephen berkata, dijangka pengetua sekolah tersebut akan mengadakan pertemuan denga ibu bapa berkenaan hari ini.

(TVSelangor, 25 April 2011) Nota: Sila KLIK DI SINI untuk maklumat mengenai “pertemuan” itu.

Ibu bapa berdemonstrasi depan sekolah

SHAH ALAM 26 April - Seramai 30 ibu bapa yang kecewa dengan kegagalan Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Sri Muda, Seksyen 25 di sini menangani kes pergaduhan pelajar di sekolah itu baru-baru ini, mengadakan perhimpunan aman semalam.

Perhimpunan selama 20 minit itu diadakan di luar pagar utama sekolah berkenaan bermula pukul 12.45 tengah hari.


Seorang ibu kepada pelajar terbabit, Kia Ooi Meng, 50, berkata, dia tidak berpuas hati dengan sikap 'lepas tangan' pentadbiran sekolah dalam menyelesaikan kes pukul melibatkan anaknya yang juga seorang pengawas.


Katanya, dalam kejadian 13 April lalu, anaknya yang merupakan pelajar tingkatan tiga cedera akibat dibelasah oleh sekumpulan lapan pelajar tingkatan empat.


“Saya risau keselamatan anak saya kerana lapan pelajar terlibat masih ada di sekolah,” katanya ketika ditemui di sini.


Dia mendakwa, sikap lepas tangan itu telah menyebabkan satu pergaduhan yang lebih besar berlaku melibatkan dua kumpulan pelajar pada 20 April lalu sehinggakan 23 pelajar diambil keterangan.


Sementara itu, Stephen Perumal Velu pula berkata, dalam insiden pergaduhan pada 20 April lalu, anaknya merupakan salah seorang daripada 23 pelajar yang dibawa ke balai polis untuk diambil kenyataan.


Dia mendakwa, semasa kesemua pelajar termasuk anaknya dibawa ke balai polis, pihak sekolah langsung tidak memaklumkan perkara itu kepada ibu bapa.


Timbalan Pengarah Jabatan Pelajaran negeri, Mahmud Karim berkata, insiden pergaduhan di SMK Taman Sri Muda sedang dalam perhatian pihaknya.


Sementara itu, polis membuka dua kertas siasatan berhubung kes pergaduhan melibatkan dua kumpulan pelajar di sekolah itu.


Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Zahedi Ayob berkata, laporan pertama pada 13 April lalu melibatkan seorang pelajar tingkatan tiga yang didakwa cedera dipukul di dalam kelas disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan cedera dengan sengaja.


Beliau berkata, kes kedua melibatkan pergaduhan dua kumpulan pelajar tingkatan empat dan lima yang dilaporkan pada 20 April lalu pula disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan iaitu melakukan rusuhan.


(Utusan Malaysia, 27 April 2011)

27 Apr 2011

Momentum desak Pengetua sekolah ditukar meningkat

SHAH ALAM: Ibu bapa dan bekas pelajar sebuah sekolah menengah kebangsaan di Seksyen 25 di sini meningkatkan momentum untuk mendesak pengetuanya ditukarkan dengan segera.

Mereka memulakan petisyen dengan mengumpul minimum 500 tandatangan sebagai usaha mahu meminta Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Jabatan Pendidikan Selangor (JPS), Kementerian Pendidikan dan kerajaan memberi perhatian serius terhadap pengetua yang memanipulasi keadaan yang wujud di sekolah.


“Kami mahu pengetua sekolah ditukarkan dengan kadar segera,” kata salah seorang ibu pelajar yang menunjukkan salinan petisyen tersebut.


Petisyen itu menyebut, “kami kecewa dengan cara pentadbiran Puan Megawati Hasbullah selaku Pengetua SMK Taman Sri Muda, Shah Alam. Dia tidak adil, tidak bertanggungjawab dan tidak layak menjadi pengetua.


“Banyak masalah timbul sejak dia menjadi pengetua di sekolah ini hampir empat tahun lalu. Sikap lepas tangan dan tidak bertanggungjawab wanita ini menyebabkan nama sekolah tercemar, pelajaran anak-anak terjejas dan sekolah ini tidak lagi selamat.”


“Ibu bapa berkenaan kecewa kerana pengetua itu cuba mengalihkan perhatian dan meletakkan kesalahan kepada orang lain terhadap segala kelemahannya sebagai pentadbir di sekolah itu.

“Beliau menyalahkan guru, pelajar, polis, ibu bapa serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru-Guru (PIBG),” menurut petisyen itu.

“Usaha mengumpul tandatangan dimulakan pada jam 3:00 petang semalam. Sehingga 5:00 petang semalam, hampir 200 tandatangan sudah diperoleh,” kata salah seorang ibu yang menjadi penyelaras bagi mengumpulan tandatangan ini.

Sementara itu, 12 ibu bapa para pelajar sekolah menengah di sini yang menerima undangan untuk menghadiri mesyuarat melahirkan rasa kecewa terhadap pihak pengurusan sekolah apabila mesyuarat di antara pengetua, JPS, PPD, polis dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru-Guru (PIBG) tidak menjadi kenyataan.

“Selepas menunggu sejam kami menyedari pengetua, wakil JPS, wakil PPD dan wakil parti politik mengadakan perbincangan berasingan.

“Kami sangat kecewa dan sedih kerana diperlakukan seperti orang bodoh kerana menunggu selama lebih sejam untuk mencari jalan penyelesaian tetapi perbincangan tertutup diadakan di bilik lain tanpa pengetahuan kami,” kata salah seorang bapa pelajar yang enggan namanya disiarkan.


Dalam pada itu, beberapa guru di sekolah tersebut mendedahkan bahawa pengetua sekolah itu mula menyebarkan fitnah dan khabar angin berbaur perkauman mengenai guru-guru lain di sekolah itu.


Guru-guru itu yang tidak mahu nama mereka didedahkan berkata, pengetua memberitahu mereka secara terbuka bahawa punca pergaduhan di sekolah pada 20 April lalu adalah akibat perbuatan guru-guru kaum India.


“Walaupun kami guru kaum Melayu, hubungan kami bersama guru-guru kaum India di sekolah ini sangat rapat dan tidak ada sebarang masalah. Tetapi kini pengetua cuba menanam bibit-bibit perpecahan dan perkauman dalam kalangan guru dan pelajar.


“Tindakan pengetua bertentangan dengan niat murni kerajaan dan rakyat
yang cintakan perpaduan dan keamanan.


Kami percaya, pengetua berbuat begini kerana terdesak selepas ibu bapa berani mengadakan perhimpunan aman, membuat laporan polis serta menuntut pengetua menjelaskan punca segala masalah di sekolah sejak 4 tahun lalu,” kata beberapa guru Melayu di sekolah tersebut.


Guru-guru tersebut berharap segala masalah segera selesai secara baik dan tidak ada mana-mana guru, pelajar dan ibu bapa menjadi mangsa manipulasi yang dibuat demi menyelamatkan seorang individu yang bersalah.


Mereka tidak mahu nama dan identiti mereka didedahkan kerana takut dikenakan tindakan atau menjadi mangsa pihak tertentu.


(K Pragalath, Free Malaysia Today, 27 April 2011)

Ibu Bapa, Penduduk Mulakan Kempen!

Khabarnya ibu bapa, penjaga dan bekas pelajar serta penduduk pelbagai kaum di kawasan sekitar sebuah sekolah menengah kebangsaan di Shah Alam sudah memulakan kempen khas sebagai usaha serius dan tegas dalam meminta Pejabat Pendidikan Daerah, Jabatan Pelajaran Selangor, Kementerian Pelajaran dan kerajaan memandang serius isu seorang pengetua yang dikatakan terus menyalahgunakan kuasa dan memanipulasi keadaan demi kepentingan peribadi. Tambahan pula, tindakan pengetua itu didapati jelas bertentangan dengan impian murni mewujudkan perpaduan dalam kalangan pelajar dan guru pelbagai kaum. Baca berita lanjut DI SINI. Nota: Foto sekadar hiasan.

26 Apr 2011

Mesyuarat pemuafakatan: Ibu bapa terasa ‘bodoh’

SHAH ALAM – Sekumpulan ibu bapa kepada pelajar sebuah sekolah menengah kebangsaan di sini terasa diri mereka dilayan seperti orang bodoh apabila diminta menunggu sahaja di sebuah bilik di sekolah itu sementara mesyuarat berlangsung di bilik lain.

Dalam peristiwa pada 25 April 2011, seramai dua belas ibu bapa memenuhi undangan menghadiri ‘Mesyuarat Pemuafakatan Antara JPNS, PPD, Polis, PIBG dan Pihak Pengurusan Sekolah’ berdasarkan surat yang dititipkan melalui anak-anak mereka pada Sabtu lalu.


Beberapa ibu bapa terbabit memberitahu media bahawa mereka menghormati surat undangan itu yang ditandatangani pengetua sekolah berkenaan dan mereka sudah berada di sekolah pada jam 2:30 petang seperti diminta.


“Kami ditempatkan di Bilik Gerakan sekolah itu bersama-sama beberapa guru, polis dan wakil PIBG tanpa ada sebarang perbincangan atau mesyuarat pemuafakatan seperti dijanjikan,” kata mereka.


Surat undangan tanpa nombor rujukan dan bertarikh 20 April 2011 itu menyatakan bahawa “pihak sekolah ingin menjemput tuan hadir ke sekolah bagi berbincang mengenai isu yang berlaku, ekoran daripada pergaduhan yang terjadi di sekolah pada 19 April 2011 (Selasa) dan 20 April 2011 (Rabu)”.


Ibu bapa itu berkata, pengetua memberi alasan tidak boleh memulakan mesyuarat kerana masih menunggu pegawai dari Jabatan Pelajaran Selangor (JPS).

Sumber dalaman mengesahkan bahawa tidak lama selepas itu, pengetua keluar dari Bilik Gerakan.


“Selepas menunggu hampir sejam, kami menyedari bahawa pengetua, wakil JPS, wakil PPD dan seorang wakil sebuah parti politik sedang mengadakan perbincangan berasingan di bilik lain.


“Kami sangat kecewa dan sedih diperlakukan seperti orang bodoh kerana menunggu lebih sejam bagi mesyuarat pemuafakatan ke arah menyelesaikan masalah, tetapi perbincangan tertutup diadakan di bilik lain tanpa pengetahuan kami,” kata ibu bapa.

Beberapa individu yang turut berada di Bilik Gerakan mengesahkan bahawa ibu bapa berkenaan meninggalkan tempat itu pada sekitar jam 4:00 petang kerana kecewa dengan layanan yang diberikan oleh pengetua yang mengundang mereka ke mesyuarat itu.

Dalam pada itu, menurut sumber, semasa perbincangan tertutup berlangsung, aspek utama yang ditekankan adalah bahawa pengetua langsung tidak bersalah, sebaliknya semua masalah (pergaduhan) yang berlaku adalah disebabkan para guru.

Sebelum ini, ibu bapa yang membuat laporan polis pada 21 April 2011 membuat kenyataan bahawa “pengetua yang mengarahkan polis untuk bawa pelajar ke balai” tetapi kemudian pengetua memutar-belit cerita dengan berkata bahawa “bukan dia (pengetua) yang suruh pihak polis datang dan dia (pengetua) tidak boleh halang pihak polis”.

25 Apr 2011

Perhimpunan Aman Ibu Bapa di Hadapan Sekolah

SHAH ALAM – Sekumpulan ibu bapa mengadakan perhimpunan secara aman di hadapan sebuah sekolah menengah kebangsaan di sini selama hampir 20 minit, bermula tepat jam 12:45 tengah hari, 25 April 2011.

Foto-foto berkaitan perhimpunan aman itu boleh dilihat di Facebook DI SINI manakala rakaman video oleh MalaysiakiniTV pula boleh ditonton DI SINI.


Beberapa laporan berita berkaitan juga boleh dibaca di blog ini bermula 18 April 2011.

Pengetua lepas tangan, ibu bapa buat laporan polis

SHAH ALAM, 25 April 2011 – Sekumpulan ibu bapa kepada pelajar yang dikatakan terlibat dalam pergaduhan di kawasan sekolah dan dibawa ke balai polis untuk diambil keterangan pada 20 April lalu, mengesahkan sudah membuat laporan polis terhadap pengetua sekolah terbabit.


Gopalan Sithambaram berkata, para ibu bapa berkenaan tidak berpuas hati dengan perbuatan pengetua itu dan mahu Kementerian Pelajaran mengambil tindakan wajar terhadap beliau.

“Polis telah menahan 23 pelajar dalam kawasan sekolah dan dibawa ke balai polis di mana foto mereka diambil dan keterangan mereka dicatatkan polis sebelum kesemua pelajar itu diberi taklimat oleh pegawai Jabatan Pendidikan Selangor (JPS).

“Perkara ini sepatutnya boleh diselesaikan di sekolah sahaja oleh pentadbiran sekolah tanpa melibatkan polis atau membawa pelajar terbabit ke balai polis,” katanya.


Menurut Gopalan dalam laporan yang dibuat di Balai Polis Seksyen 11, di sini, “pengetua beritahu saya, bukan dia yang suruh pihak polis datang dan dia tidak boleh halang pihak polis”.

“Kami (ibu bapa) tidak puas hati kerana pelajar yang ditahan itu tidak terlibat dalam pergaduhan tersebut dan beberapa guru sekolah itu sendiri menjadi saksi dalam hal ini,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi bapa, Stephen Perumal Velu mengesahkan bahawa pengetua berkenaan memang berada di sekolah semasa polis datang pada 20 April.

“Puan pengetua yang mengarahkan polis membawa 23 pelajar itu ke balai polis.

“Anak saya pun ditahan sedangkan semasa kejadian, anak saya berada bersama guru disiplin sekolah,” katanya dalam laporan berasingan yang dibuat di balai polis yang sama.

Kesemua ibu bapa yang membuat laporan polis menyatakan bahawa mereka “tidak puas hati dengan pengetua ini kerana dia tidak meneliti perkara yang sebenarnya dan sengaja tahan pelajar tersebut”.

“Pihak sekolah juga tidak memaklumkan kepada ibu bapa tentang hal penahanan tersebut dan sehingga jam 8:00 malam (20 April), pelajar masih belum balik ke rumah,” kata laporan polis itu.

Dalam laporan itu, ibu bapa terbabit juga menyebut bahawa mereka telah berusaha menemui pengetua pada pagi 21 April untuk mendapatkan penjelasan mengenai punca sebenar anak-anak mereka ditahan dan dibawa ke balai polis.

“Pengetua beritahu yang dia tidak tahu,” kata laporan itu.

Laporan polis yang dibuat oleh ibu bapa itu secara individu juga menyebut dengan jelas: “Saya tidak berpuas hati dengan perbuatan pengetua ini dan minta pihak Kementerian Pelajaran mengambil tindakan yang sewajarnya kepada pengetua tersebut”.


Seorang ibu, Quah Saw Choon berkata, surat dan laporan sedang disediakan untuk diserahkan secara langsung kepada pihak berkenaan di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan.


“Daripada maklumat yang saya terima, kebanyakan ibu bapa, penjaga dan bekas pelajar sekolah itu tidak menolak kemungkinan bersedia mengadakan perhimpunan aman bagi meluahkan rasa tidak puas hati terhadap pengetua berkenaan.

“Tindakan berhimpun secara aman ini bertujuan menarik perhatian Putrajaya terhadap segala masalah yang berlaku di sekolah itu sejak hampir empat tahun lalu,” katanya.

Pengetua berkenaan gagal dihubungi untuk mendapatkan komen sama ada sebarang usaha diambil untuk menyelesaikan masalah.


Manakala kerani yang menjawab telefon pagi tadi hanya memberikan jawapan “tidak pasti”.

24 Apr 2011

Trivia Blog

Statistik di blog pada jam 10:40 malam, 23 April 2011 menunjukkan bahawa biodata saya (versi Bahasa Malaysia) sudah dikunjungi 1,999 orang sejak 28 November 2009 manakala biodata dalam versi Bahasa Inggeris dikunjungi 513 orang sejak 31 Januari 2010. Panduan, syarat dan perbincangan mengenai penggunaan bahasa yang betul apabila mencatat sesuatu di dinding Facebook saya pula dibaca oleh 560 orang sejak 28 Januari 2010. Sila klik pada rajah di atas untuk melihatnya dengan lebih jelas.

23 Apr 2011

Pengguna hairan ‘Bahasa Hindi’ di laman SPA

Seorang pemuda warganegara Malaysia terkejut kerana portal rasmi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia (SPA) memaparkan kandungan dalam tulisan Hindi apabila beliau memilih “Bahasa Tamil” pada pilihan yang diberikan.



Pemuda itu yang menggunakan nama Macxi Sivesangkaran pada akaun Facebook menyatakan demikian dalam aduan kepada saya pada pagi 22 April 2011.


“Tak ada pakar bahasa dalam bahagian Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia yang boleh bezakan tulisan Tamil dengan Hindi; atau buat-buat tak nampak,” tanyanya dalam aduan yang turut dipaparkan di ruangan status akaun Facebook miliknya.


Dalam aduannya yang dipaparkan di dinding (wall) akaun Facebook saya, pemuda itu bertanya “bagaimana cara untuk buat aduan tentang perkara ini? Saya sudah pun hantar e-mel melalui bahagian aduan laman web ... tiada apa-apa usaha diambil untuk mengubah tulisan Hindi ke Tamil”.


Pada jam 5:30 petang 23 April 2011, saya melayari laman www.spa.gov.my dan mendapati bahawa apa yang dikatakan oleh Macxi Sivesangkaran adalah benar kerana apabila saya membuat pilihan ‘B. Tamil’, halaman yang muncul bukan dalam tulisan/bahasa Tamil.


Saya tidak menolak kemungkinan pemuda dari Ipoh, Perak itu mengemukakan aduan kepada saya selepas membaca catatan di blog Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) mengenai jawapan yang diberikan Unit Komunikasi Korporat, Kementerian Pelajaran Malaysia menerusi portal rasmi kementerian berkenaan baru-baru ini. [BACA DI SINI]


Dalam isu itu, jawapan yang diberikan kementerian berkenaan adalah berikutan suatu berita di akhbar Makkal Osai pada 31 Mac 2011 tetapi beberapa pihak seperti Gapena dan Pena hanya tiba-tiba mula “kecoh mengeluarkan kenyataan balas mengenai kandungan Kamus Dewan” selepas Kavyan mengeluarkan kenyataan rasmi menerusi blog pada 17 April 2011 bahawa “pengguna Bahasa Malaysia tidak hanya terdiri daripada kaum tertentu; sebaliknya masyarakat pelbagai kaum di negara ini”. [BACA DI SINI]


Terdapat juga individu yang mengemukakan “cadangan” di Facebook bahawa saya sepatutnya ditahan di bawah ISA kerana kononnya “cuba menggugat ketenteraman rakyat di negara ini” semata-mata kerana saya (dan Kavyan) berjuang mengangkat kedudukan Bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi, bahasa kebangsaan, bahasa komunikasi dan bahasa perpaduan! [BACA DI SINI]


Sehingga hari ini, Kavyan tidak menerima sebarang penjelasan rasmi daripada Unit Komunikasi Korporat, Kementerian Pelajaran Malaysia berhubung kenyataan yang turut disiarkan di portal berita The Malaysian Insider pada 17 April 2011 [BACA DI SINI].


Sementara itu, saya tidak menolak kemungkinan pihak tertentu bakal mengeluarkan kenyataan “kurang cerdik”, “kurang ilmu”, “tidak faham bahasa” – atau ringkasnya “bodoh” – selepas membaca aduan ini mengenai tulisan Hindi yang timbul di portal rasmi SPA apabila pengguna memilih ‘B. Tamil’.


Saya selaku pemilik tunggal Perunding Media, Motivasi dan Penerbitan Uthaya serta presiden Kavyan teringin juga melihat pihak mana yang lebih dahulu melakukan “pembetulan”: Kementerian Pelajaran Malaysia atau SPA.



Keterangan foto: Laman portal rasmi SPA yang muncul apabila pengguna membuat pilihan Bahasa Tamil. Sila KLIK pada gambar untuk membesarkannya.

Pergaduhan pelajar: Ibu bapa dakwa sekolah belum maklumkan perkembangan

SHAH ALAM: Ibu bapa kepada sekumpulan pelajar sebuah sekolah menengah yang dibawa ke balai polis Seksyen 15, di sini, untuk diambil keterangan pada 20 April belum menerima sebarang penjelasan daripada pengetua sekolah terbabit.

Wakil jurucakap kumpulan ibu bapa itu, Stephen Perumal Velu berkata, sehingga pagi ini, pihak sekolah belum menghubungi mereka untuk memberi sebarang penjelasan.

“Kami membaca laporan media bahawa ketua polis daerah Shah Alam, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP), Zahedi Ayob berkata, kes itu diserahkan kepada pihak pentadbiran sekolah kerana ia berlaku di kawasan sekolah,” katanya sebagai mengulas laporan berita yang memetik sumber Bernama.

Laporan itu juga memetik satu sumber di Jabatan Pelajaran Selangor (JPNS) sebagai berkata, “kes gaduh itu sudah dianggap selesai, dan perkara itu diserahkan kepada pihak sekolah terbabit untuk ditangani” dan “Pengurusan sekolah memaklumkan bahawa ibu bapa pelajar terbabit sudah dipanggil untuk berbincang mengenainya” pada 21 April.

Menurut Stephen, apa yang dimaklumkan oleh pengurusan sekolah kepada JPNS adalah tidak benar sama sekali kerana mereka (ibu bapa pelajar terbabit) tidak pernah dipanggil untuk berbincang.

“Malah, kami sendiri yang pergi ke sekolah pada pagi 21 April tetapi kecewa dengan sikap puan pengetua yang bersikap lepas tangan dan cuba menyalahkan polis kerana membawa anak-anak kami ke balai.

“Entah ibu bapa siapa yang dipanggil oleh puan pengetua untuk mengadakan perbincangan seperti dilaporkan media; tambahan pula dia beri alasan tidak menghubungi ibu bapa apabila pergaduhan berlaku pada 20 April kerana kononnya tiada rekod ibu bapa dalam simpanan,” katanya apabila dihubungi menerusi telefon pagi tadi.

Stephen juga berkata, sekumpulan ibu bapa telah mengadakan perbincangan dalam kalangan mereka pada malam semalam berikutan kenyataan ACP Zahedi.

“Saya bersama beberapa ibu bapa ada di balai polis Seksyen 15 pada 20 April apabila foto, salinan kad pengenalan dan kenyataan 23 pelajar diambil untuk tujuan rekod.

“Kami mahu tahu adakah puan pengetua yang mengarahkan 23 pelajar itu dibawa ke balai polis pada 20 April akan minta polis batalkan kenyataan yang diambil daripada pelajar,” katanya sebagai mewakili para ibu bapa terbabit.

Stephen yang juga bekas ahli jawatankuasa PIBG sekolah itu berkata rata-rata kesemua 23 pelajar yang dibawa ke balai polis itu masih trauma dan akan terus ada stigma kerana diperlakukan oleh pengetua seperti penjenayah.

Mengenai kenyataan pengerusi PIBG, Anita Atan di dalam media massa, Stephen berkata para ibu bapa hairan mengapa dia mengeluarkan kenyataan bagaikan menjadi jurucakap kepada pengetua sedangkan dia (Anita) bukan kakitangan sekolah itu.

“Anita sebagai pengerusi PIBG pun tidak pernah hubungi ibu bapa untuk berbincang kes ini tetapi apabila kami ke sekolah pada 21 April, dia ada bersama puan pengetua untuk mempertahankan tindakan pengetua serahkan anak-anak kami kepada polis.

“Pengerusi PIBG sudah jadi macam wakil kepada puan pengetua pula dan pada 20 April, wartawan telah cuba hubungi pengetua beberapa kali untuk dapatkan reaksi tapi hanya mendapat jawapan bahawa pengetua sibuk,” katanya yang amat kecewa dengan kelemahan pentadbiran kedua-dua wanita itu.


(K. Pragalath, Free Malaysia Today, 23 April 2011)

22 Apr 2011

Wanita kecewa pengetua 'tidak berwibawa'

SHAH ALAM, 22 April 2011 – Timbalan Ketua Wanita MCA Bahagian Kota Raja turut meluahkan rasa tidak puas hati terhadap cara pengetua sebuah sekolah menengah kebangsaan di sini mengendalikan kes berhubung seorang pelajar Tingkatan 3 yang dibuli dan dibelasah lapan pelajar Tingkatan 4. [BACA DI SINI]



Quah Saw Choon berkata, beliau sangat kecewa dan tidak puas hati dengan sikap pengetua yang tidak mahu mengambil berat kes buli itu dengan alasan bahawa ibu mangsa sudah membuat laporan polis.


“Ibu itu terpaksa membuat laporan polis kerana anaknya (mangsa) mengalami kecederaan luka di bahagian kepala, tangan dan lebam bahagian badan dalam kejadian di sekolah itu pada 13 April lalu.


“Lebih seminggu sudah berlalu tetapi nampaknya puan pengetua tidak mengambil apa-apa tindakan; malah JPS dan PPD juga tidak dimaklumkan tentang kejadian ini secara rasmi oleh sekolah,” katanya selepas bertemu Kia Ooi Meng (ibu mangsa) di Taman Sri Muda, di sini, hari ini.


Ibu mangsa bertemu Saw Choon, yang juga kenalannya, untuk meluahkan rasa bimbang akan keselamatan anaknya (mangsa) yang sudah kembali ke sekolah pada 15 April lalu tetapi masih mengalami trauma berikutan kes buli dan dibelasah itu.


“Apabila saya pergi ke sekolah pada Jumaat lalu (15 April), saya sendiri terkejut kerana pelajar yang anak saya kata telah membuli dan mencederakannya masih ada di sekolah.


“Malah, kini anak saya (mangsa) tida berani bermain di padang sekolah atau padang permainan di luar kerana takut kejadian hampir sama akan berulang,” kata suri rumah itu.


Saw Choon yang juga bekas AJK Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu turut terkejut mengapa pelbagai kes besar berlaku di sekolah itu sejak belakangan ini.


“Anak-anak saya pernah belajar di sekolah ini, anak-anak Ooi Meng juga pernah belajar di sini tetapi tidak pernah timbul kes seperti ini semasa pengetua lama ada di sini.


“Anak lelaki Ooi Meng yang jadi mangsa buli dan pukul oleh lapan pelajar itu memang budak baik, saya kenal sejak kecil dan dia pengawas sekolah sejak Tingkatan 1,” kata Saw Choon yang juga AJK MCA Selangor.


Seorang lagi kenalan mereka, Tamil Chelvi, juga mengenali mangsa sejak sembilan tahun lalu kerana anak-anak mereka belajar bersama sejak Tahun Satu.


“Saya memang tidak akan percaya kalau sesiapa memberi alasan bahawa anak Ooi Meng yang memulakan pergaduhan.


“Saya juga tidak menyalahkan pihak sekolah, tetapi semua yang berlaku ini memberi gambaran kelemahan puan pengetua sebagai seorang pentadbir yang berwibawa,” katanya.


Saw Choon menambah bahawa kejadian rusuhan pada 20 April mungkin tidak berlaku jika pengetua sudah mengambil tindakan tegas dan adil dengan segera pada 13 April berikutan kes buli dan belasah itu.


Dalam perkembangan berkaitan, Bernama melaporkan pada 21 April bahawa Ketua Polis Daerah, ACP Zahedi Ayob berkata, kes pergaduhan dua kumpulan pelajar sekolah itu pada 20 April diserahkan kepada pihak pentadbiran sekolah terbabit kerana insiden berlaku dalam kawasan sekolah. [BACA DI SINI]


Sementara itu, portal berita, Malaysiakini, dalam laporannya pada 21 April memetik pengerusi PIBG sekolah itu, Anita Atan pula sebagai berkata, “Kita tunggu hingga laporan polis selesai. Saya tak boleh nak komen apa-apa” dan beliau menyerahkan isu itu untuk siasatan polis. [BACA DI SINI]


Wakil media boleh menghubungi Uthaya Sankar SB selaku pemilik tunggal Perunding Media, Motivasi dan Penerbitan Uthaya melalui talian 016-3288142 untuk maklumat lanjut, foto dan nombor telefon ketiga-tiga wanita berkenaan.


Keterangan foto: (dari kiri) Tamil Chelvi, Saw Choon dan Ooi Meng menunjukkan foto kecederaan yang dialami mangsa akibat dibuli dan dibelasan lapan pelajar di kawasan sekolah.(Sila KLIK pada foto untuk besarkan.)

Aktiviti Membaca Sempena Hari Buku Sedunia

Serdang – Sempena Hari Buku Sedunia yang disambut pada 23 April setiap tahun, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Serdang Baru 1 mengajurkan aktiviti membaca di bilik darjah pada 22 April 2011.




Guru Besar, Ng Boon Chuan berkata, aktiviti ini diadakan sehari lebih awal kerana Hari Buku Sedunia tahun ini jatuh pada Sabtu.





“Sekolah mengadakan aktiviti pada 20 hingga 22 April dengan melibatkan murid dan guru dalam pelbagai aktiviti berbentuk buku, pembacaan dan bahasa,” katanya sewaktu ditemui di sekolah itu, di sini, hari ini.





Tinjauan pada pagi ini mendapati murid-murid membaca secara beramai-ramai di dalam kelas dengan bimbingan guru. Sesi soalan juga diadakan untuk menguji pemahaman murid terhadap cerita Bahasa Malaysia yang dibaca.





Sila KLIK DI SINI untuk melihat lebih banyak foto. Encik Ng Boon Chuan boleh dihubungi melalui talian 014-6358886 untuk keterangan lanjut.

21 Apr 2011

Ibu bapa kecewa sikap pengetua, mahu buat laporan polis

SHAH ALAM, 21 April 2011 – Sekumpulan lebih 20 ibu bapa yang kecewa dengan sikap seorang pengetua sebuah sekolah menengah kebangsaan, di sini, mengambil keputusan akan membuat laporan polis terhadap wanita itu yang dikatakan menjadi segala punca salah laku di sekolah berkenaan.

Kumpulan ibu bapa itu berkata, mereka telah berusaha mengadakan pertemuan dengan pengetua berkenaan pada pagi ini (21 April) untuk menyelesaikan masalah tetapi terkejut dengan tindakan pengetua yang bersikap “lepas tangan” dan menyalahkan polis dalam isu 23 pelajar dibawa ke balai polis, semalam (20 April).


Salah seorang bapa, Sivaprakasam berkata, mereka bertemu pengetua di sekolah selama hampir sejam tetapi “cakapnya hanya meleret-leret dan tidak menjawab pertanyaan yang kami kemukakan”.


“Kami mahu mendapatkan menjelasan mengapa anak-anak kami yang tidak bersalah ditahan dan dibawa ke balai polis untuk diambil keterangan sedangkan pelajar yang benar-benar terlibat dalam kes itu tidak pula diambil apa-apa tindakan,” katanya pada sidang media selepas pertemuan itu.


Seorang lagi bapa, Stephen Perumal Velu juga hairan mengapa 20 pelajar diminta berbaris seperti banduan dan dibawa masuk ke dalam kenderaan polis tanpa memaklumkan ibu bapa terlebih dahulu.


“Semasa kami bertemu puan pengetua tadi, beliau berkata bahawa dia tiada kuasa menghalang polis yang membawa pelajar ke balai. Apa yang pelik, dia sendiri yang menyerahkan pelajar-pelajar itu kepada polis dan saya sendiri ada di sana semasa kejadian (pada 20 April),” katanya.


Para ibu bapa juga mempersoalkan tindakan pengetua menyerahkan pelajar kepada polis tanpa menghubungi dan memaklumkan kepada ibu bapa tentang apa yang berlaku.


“Pelajar itu ada ibu, bapa atau penjaga, bukannya yatim piatu. Tapi puan pengetua beri alasan bahawa sekolah tidak ada rekod maklumat (nombor telefon) ibu bapa untuk dihubungi,” kata seorang ibu pada sidang media di Taman Sri Muda, di sini.


Persoalan lain yang timbul adalah mengenai tindakan pengetua mengarahkan semua pelajar turun ke tapak perhimpunan sebaik berlaku pergaduhan antara sekumpulan pelajar di luar bilik kaunseling.


“Tindakan kurang bijak puan pengetua menyebabkan pergaduhan itu merebak menjadi rusuhan kaum dalam kalangan pelajar dan perkara ini amat membimbangkan.


“Sebelum ini, tidak pernah ada kes teruk seperti ini berlaku dan kami percaya semua ini berikutan kelemahan puan pengetua sendiri,” kata Sivaprakasam yang juga bekas Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan.


Stephen Perumal pula memaklumkan bahawa rata-rata pelajar yang dibawa ke balai polis untuk diambil keterangan semalam (20 April) tidak pergi ke sekolah pada hari ini.


“Polis sudah berkata bahawa nama-nama mereka akan masuk rekod polis dan kalau ada apa-apa masalah berlaku lagi di sekolah, polis akan cari mereka. Jadi, pelajar takut ke sekolah kerana mungkin pergaduhan berlaku lagi dan mereka akan ditangkap,” katanya.


Kesemua ibu bapa yang mengadakan sidang media mengatakan bahawa anak-anak mereka kini mengalami trauma, fobia, takut, gangguan mental, malu dan aib berikutan insiden diserahkan oleh pengetua kepada polis untuk dibawa ke balai polis untuk disiasat.


“Puan pengetua sepatutnya mengaku bertanggungjawab sepenuhnya dalam isu ini dan tidak boleh menuding jari kepada polis yang hanya menjalankan tugas mengikut keterangan yang beliau (pengetua) berikan.


“Sebagai seorang pentadbir, pengetua sepatutnya boleh menyelesaikan kes di sekolah tanpa perlu menyerahkan pelajar kepada polis,” kata Sivaprakasam.


Berikutan sikap “lepas tangan” pengetua, para ibu bapa terbabit berharap polis akan menyiasat kes ini dengan teliti, termasuk memanggil pelajar yang benar-benar terlibat dalam rusuhan kaum itu.


“Kami bertemu puan pengetua pada pagi ini (21 April) dengan harapan dapat menyelesaikan kes dengan baik tetapi beliau bersikap lepas tangan.


“Maka, kami akan membawa kes ini terus ke Pejabat Pelajaran Daerah, Japatan Pelajaran Selangor dan juga ke Putrajaya jika perlu,” kata Stephen Perumal.


Ibu bapa itu juga mengatakan bahawa mereka akan membuat laporan polis terhadap pengetua sekolah berkenaan.


“Terbukti puan pengetua sudah melakukan pelbagai kesalahan besar yang perlu disiasat oleh polis, PPD, JPS dan kementerian secara telus,” kata Sivaprakasam.


Sidang media yang diadakan oleh ibu bapa itu turut dihadiri Uthaya Sankar SB iaitu pemilik tunggal Perunding Media, Motivasi dan Penerbitan Uthaya (Uthaya’s Media, Motivation and Publication Consultancy) yang juga menyediakan perkhidmatan rundingan media secara percuma kepada anggota masyarakat yang memerlukan panduan cara-cara bekerjasama dengan media.


Wakil media diberi kebenaran memetik maklumat di atas untuk tujuan laporan (berita). Wartawan juga boleh menghubungi 016-3288142 untuk mendapatkan nombor telefon Sivaprakasam dan Stephen Perumal serta foto-foto berkaitan.


Keterangan foto: Sebahagian ibu bapa yang mengadakan sidang media. (Sila KLIK foto untuk besarkan.)